oleh: zizi hashim
02 Oct
02Oct

Lampu-lampu kristal Pavilion memantul lembut pada permaidani merah yang terbentang panjang. Malam 30 September 2025, Dadi Cinema bertukar wajah menjelma menjadi ruang tempat seni bersentuhan dengan keagungan istana. Majlis Tayangan DiRaja filem 3 Hajat berlangsung penuh meriah dan kemuliaan, diserikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman, bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu, serta paduka anakanda-anakanda baginda.

Kehadiran kerabat diraja ini melengkapkan majlis bersejarah pada malam itu adalah simbolik pengiktirafan bahawa cerita yang dilahirkan dari bumi Terengganu ini memiliki roh yang perlu disaksikan, dihayati, dan dikenang bersama. 3 Hajat mengangkat nilai-nilai kekeluargaan, pengorbanan, dan penebusan yang sejagat namun tetap berakar umbi pada budaya tempatan. Malam itu, ketika lampu pawagam dipadamkan dan tayangan bermula, jarak antara istana dan rakyat menjadi kabur. Semua menonton cerita yang sama, cerita tentang seorang bapa dan anak, tentang masa yang semakin suntuk, tentang 3 hajat yang mungkin terlalu banyak untuk diminta namun terlalu sedikit untuk sebuah kehidupan.

Mulai 2 Oktober 2025, 3 Hajat akan ditayangkan di 70 pawagam seluruh negara. Penonton dijemput untuk menyaksikan sebuah pengalaman sinematik yang sarat dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang, penyesalan, dan pengharapan, menjadikannya antara karya drama paling dinanti tahun ini. Sesi tayangan media yang berlangsung di Kuala Lumpur memberi peluang kepada pengamal media menyaksikan karya istimewa ini, dan reaksi awal menunjukkan filem ini mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dari segenap lapisan masyarakat.

3 Hajat mengangkat dua anti-hero dengan sisi gelap masing-masing, yang akhirnya dipertemukan dalam keadaan yang hampir mustahil. Ia eksplorasi tentang penebusan, perdamaian, dan ikatan kekeluargaan yang disampaikan dalam kualiti sinematik tinggi. Zul Huzaimy mencipta sesuatu yang langka: sebuah filem tempatan yang berani menggarap kegelapan tanpa kehilangan harapan, yang menyentuh luka tanpa menjadi melodramatik, yang mempersoalkan tanpa menghakimi.

Filem berdurasi 88 minit ini merupakan hasil kolaborasi antara KRU Studios dan Astro Shaw, dua nama besar yang telah menjalin kerjasama lebih sedekad menerusi beberapa projek. Kali ini, mereka membawa sesuatu yang berbeza: sebuah drama eksperimental yang merangkumi nilai sinematik tinggi dengan pendekatan penceritaan yang tidak konvensional.

Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif "3 Hajat" merangkap Ketua Astro Shaw, menyatakan keyakinan bahawa genre drama sebegini mampu memikat hati penonton, terutama dengan jalan cerita yang dekat dengan masyarakat, kualiti visual yang kemas, serta gandingan hebat antara bintang senior Eman Manan dan pelakon versatile Amerul Affendi.

"KRU Studios sinonim dengan kekuatan teknikal dan teknologi, manakala Astro Shaw menerusi aset, pemasaran dan tenaga kreatif. Justeru kami mengharapkan sinergi ini mampu mencipta impak bermakna kepada industri," ujarnya. Dato' Norman Abdul Halim, Penerbit Eksekutif mewakili KRU Studios, turut menegaskan bahawa filem ini menandakan detik bersejarah kerana merupakan drama eksperimental pertama mereka. Malah, beliau berhasrat menerbitkan sekurang-kurangnya satu filem sebegini setahun, menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta latar komuniti Malaysia yang kaya dengan cerita.

Ketika Sultan dan Sultanah Terengganu menyaksikan filem ini di Tayangan DiRaja, mereka turut menyaksikan cermin masyarakat, cermin yang memperlihatkan bahawa setiap keluarga memiliki lukanya sendiri, setiap hubungan bapa-anak memiliki kompleksiti yang tersendiri, dan kadang-kadang 3 hajat terakhir adalah semua yang kita perlukan untuk membuat segalanya bermakna.

Malam itu, sinema menemui mahligai. Dan dalam pertemuan itu, kita semua diingatkan: cerita yang baik tidak mengenal pangkat atau darjat. Ia hanya mengenal kebenaran hati manusia.

Comments
* The email will not be published on the website.