oleh: zizi hashim
22 Jul
22Jul

Riuh sebuah festival tidak pernah lahir hanya daripada bunyi pembesar suara atau sorakan ribuan penonton. Sebaliknya, ia bermula jauh lebih awal, iaitu di saat nama demi nama diumumkan, keterujaan mula berputik, dan para peminat mula menghitung hari untuk berkumpul di bawah langit yang sama, meraikan muzik tanpa sempadan.

Begitulah suasana yang kini mengiringi Latihan Pestapora Malaysia 2026. Kurang sebulan sebelum tirainya dibuka pada 15 Ogos 2026, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu melengkapkan pengumuman barisan artis Fasa 2, sekali gus menyempurnakan senarai penghibur yang bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dalam sebuah festival muzik rentas budaya yang menemukan Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas.

Lima nama baharu yang diumumkan terdiri daripada Tipe-X dan Last Child dari Indonesia, selain Ruffedge, Lah Ahmad serta DJ Disko Santan & Friends mewakili Malaysia. Kehadiran mereka melengkapkan barisan festival yang sejak awal diperkenalkan sebagai platform meraikan kepelbagaian muzik, budaya dan semangat serumpun.

Antara yang paling dinantikan pastinya Last Child, yang bakal membuat penampilan sulung di Malaysia, sekaligus memberi peluang kepada peminat tempatan menikmati persembahan secara langsung daripada kumpulan yang cukup dikenali menerusi lagu-lagu beremosi seperti Diary Depresiku dan Duka. Sementara itu, Tipe-X, antara kumpulan ska paling berpengaruh di Indonesia sejak pertengahan 1990-an, dijangka menghidupkan pentas dengan tenaga luar biasa serta rangkaian lagu yang telah menjadi runut bunyi generasi peminat ska selama lebih dua dekad.

Dari Malaysia pula, kemunculan Ruffedge dan Lah Ahmad bakal mengembalikan nostalgia era kegemilangan R&B tempatan. Deretan lagu yang pernah menjadi siulan ramai dijangka menghangatkan suasana, manakala DJ Disko Santan & Friends akan melengkapkan pengalaman festival menerusi seleksi muzik yang menyuntik tenaga sepanjang acara berlangsung.

Dengan pengumuman Fasa 2 ini, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini tampil dengan barisan penuh yang menghimpunkan 15 artis dari dua negara. Gabungan nama-nama besar merentas pelbagai genre menjadikan festival ini bukan sekadar medan persembahan, tetapi ruang pertemuan budaya yang menyatukan peminat muzik Nusantara dalam satu pengalaman yang sukar diulang.

Apa yang membezakan Latihan Pestapora daripada festival lain ialah pengalaman yang ingin dibina buat setiap pengunjung. Selama 12 jam, pentas akan dipenuhi persembahan muzik tanpa henti, diselang-seli dengan pelbagai aktiviti yang menjadikan festival ini lebih daripada sekadar konsert. Pengunjung turut disediakan sebotol air mineral percuma ketika memasuki festival, selain kemudahan stesen isian semula air minuman bagi memastikan keselesaan sepanjang acara. Pelbagai vendor makanan dan minuman juga akan memenuhi kawasan festival, menjadikan pengalaman menikmati muzik lebih santai dan lengkap.

Seiring pengumuman artis Fasa 2, jualan tiket kini memasuki kategori General Admission Phase 2 pada harga RM249. Bagi mereka yang hadir secara berkumpulan, penganjur turut memperkenalkan Bundle Pesta, iaitu setiap pembelian empat tiket General Admission akan menerima satu tiket percuma, menawarkan penjimatan lebih menarik kepada peminat yang ingin menikmati festival bersama keluarga atau rakan-rakan. Pada masa sama, tiket kategori tempat duduk masih dijual, namun bilangannya semakin terhad.

Festival ini turut disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuk Perbadanan Stadium Malaysia, Warrior, Sunway Putra Hotel, Malaysia Airlines, selain rangkaian stesen radio ERA, HITZ, MIX, SINAR dan THR GEGAR. Sokongan daripada Astro Gempak, MeleTOP, World of Buzz, Foodie serta Tourism Malaysia pula memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara festival muzik terbesar yang menghimpunkan peminat serumpun tahun ini.

Di sebalik pentas yang bakal bergema dan ribuan penonton yang akan memenuhi Bukit Jalil nanti, Latihan Pestapora Malaysia sebenarnya membawa makna yang lebih besar. Ia membuktikan bahawa muzik tidak pernah mengenal sempadan. Apabila irama dari Kuala Lumpur bertemu melodi dari Jakarta, yang terhasil bukan sekadar sebuah festival. Yang terlahir adalah sebuah perayaan budaya yang menghubungkan dua negara melalui bahasa paling indah, iaitu muzik.

Comments
* The email will not be published on the website.