oleh: zizi hashim
25 Aug
25Aug

Seperti helaian waktu yang menyimpan rahsia kasih, hadir sebuah karya yang memaut jiwa bernama “Nadhif”, single sulung penyanyi muda Isa Azry. Lagu balada penuh emosi ini dilahirkan sebagai penghormatan buat seorang insan yang sering mencintai dalam diam – seorang ibu yang mengorbankan segalanya tanpa pernah meminta kembali.

“Nadhif” bukan hadir kosong; ia lahir daripada sentuhan hati dan kreativiti 3 nama iaitu Jeremy Erskine, Amyr Abadawn dan Magix Mpire, diterbitkan di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd. yang sudah lama sinonim dengan penerbitan karya bermakna. Dalam setiap baris liriknya, terkandung perjalanan seorang wanita dari usia mudanya hingga menjadi sandaran sebuah keluarga; kisah sunyi yang hanya difahami oleh hati yang pernah merasai pengorbanan seorang ibu.

Isa Azry, anak muda dari Perak yang mula mencuri perhatian di aplikasi TikTok, kini melangkah lebih jauh ke dalam dunia muzik dengan single sulung ini. Biarpun baru bertapak, suara dan penghayatannya cukup menyakinkan bahawa dia punya sesuatu yang tersendiri. “Jutaan terima kasih pada semua yang terlibat dalam menjayakan lagu ini, dan dengan rasa rendah hati saya amat berbesar hati kerana Luncai Emas sudi menerima karya ini,” ucap Isa dengan tulus.

Rakaman lagu ini dilakukan di Exuism Record, Singapura, manakala susunan dan produksi dimantapkan oleh Amyr Abadawn dan Magix Mpire. Nuansa muziknya lembut, vokalnya pula membawa kedalaman jiwa yang membuat pendengar ingin mengulanginya berkali-kali. Ia menyampaikan kerinduan, keikhlasan, serta rasa syukur seorang anak terhadap kasih yang tidak pernah padam. “Nadhif” akhirnya berdiri sebagai tanda bahawa cinta seorang ibu ialah cahaya yang tetap bersinar walau tersembunyi di balik pengorbanan.

Bagi para komposer dan penulis liriknya, Nadhif lahir sebagai doa yang dipanjangkan dalam bentuk melodi. “Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi kesempatan menghasilkan lagu ini. Ia ditujukan khas buat para wanita dan anak-anak di luar sana, terutama sekali untuk mengangkat nilai serta pengorbanan seorang ibu. Hargailah mereka selagi masih ada peluang, kerana kasih seorang ibu tiada gantinya,” ungkap mereka penuh harap.

Lebih daripada sebuah lagu, Nadhif adalah memoir kecil yang merakam rasa syukur seorang anak, lalu diserahkan kepada pendengar agar mereka juga merenungi kasih ibu masing-masing. Bagi yang belum menikmati muzik videonya, karya ini sudah tersedia di saluran YouTube Luncai Emas, dan boleh distrim melalui pelantar digital utama. Kerana kasih seorang ibu selamanya meninggalkan gema, dan Isa Azry memilih untuk menulisnya dengan melodi.

Comments
* The email will not be published on the website.