Kilauan lampu, sorakan penonton, dan dentuman muzik meriah akhirnya membawa momen bersejarah ke layar kaca apabila seekor kucing ragdoll bernama Evian bersama pemiliknya, Nor Anis Halyatie, dinobatkan juara Super ‘Meow-del’ pertama Malaysia. Gelaran ini dimahkotakan pada pentas akhir Cat Fashion Week TV3 yang berlangsung 18 Ogos 2025 yang lalu, sambil meninggalkan 7 finalis lain dengan keanggunan yang sukar ditandingi. Trofi kemenangan dan wang tunai RM5,000 kini menjadi kenangan manis buat pasangan unik itu.
Sorotan pentas seakan mimpi surreal, 8 ‘meow-nalist’ iaitu Juny, Omey, Goyem, Chibbu, Evian, Winter, Kristoff, dan Mocha melangkah megah bak selebriti antarabangsa. Busana gemerlap, props yang penuh teliti, dan kasih sayang yang diterjemah menjadi karya fesyen menjadikan acara ini lebih daripada sekadar pertandingan hiburan. Ada pemilik sanggup melabur hingga RM5,000 untuk gaun jahitan tangan, ada pula yang mereka sendiri kostum berpandukan warna bulu dan kilauan mata si bulus kesayangan.
Sang Raja Bernama Evian
Dengan tema ‘royalty’, Evian tampil bagaikan raja di singgahsana. Rona biru gelap pada jubah baldu berhias manik emas menyerlahkan pesona bangsawan, terinspirasi daripada warna matanya yang memukau. Anis tersenyum seakan masih tidak percaya. “Tak sangka langsung kami boleh menang. Masuk pun sekadar suka-suka. Konsep royalty memang kena dengan karakter Evian yang macam raja. Tegas terutama waktu makan. Hadiah ni mungkin akan saya raikan dengan ayam rebus kegemarannya,” ujarnya penuh syukur.
Naib Juara dan Tempat Ketiga
Naib juara dimiliki oleh Juny, si ratu berbulu gebu milik Nur Farahin, yang mempersonakan dengan gaun merah mewah hasil jahitan tangan suami tercinta. Persembahan mereka menyulam kasih keluarga hingga mampu menyentuh hati seisi dewan. Tempat ketiga jatuh kepada Chibbu bersama Sharifah Nurulawwal, dengan konsep Mesir Purba yang dramatik — lengkap kostum berhias permata, props padang pasir, bahkan dua ‘dayang’ pengiring yang menghidupkan fantasi silam.
FELIX – Si Bulus Paling Memikat
Gelaran khas ini dimenangi Goyem, si comel milik Siti Rohani dari Kedah. Muncul dengan tema misi operasi ala koboi moden, Goyem mengejutkan penonton dengan gimik keluar dari kotak — seakan mengulang detik pertemuan pertama antara dia dan tuannya.
Pesona Finalis Lain
Suara di Balik Tabir
Menurut Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, “Persiapan mereka seperti ke Anugerah Juara Lagu. Semua konsep lahir daripada peserta sendiri, dan kami hanya membantu memperhalusi agar lebih sempurna.” Panel juri terdiri daripada Mohd Jeffrey, Mark Adam, Shiha Zikir, dan Rizman Nordin turut melontar kekaguman. Jeffrey menekankan penjagaan bulu serta kesihatan kucing yang mengagumkan; Shiha menyifatkan ia pengalaman seronok yang wajar dijadikan acara tahunan; Rizman pula teruja kerana dapat menilai fesyen kucing buat pertama kali; manakala Mark Adam melihatnya sebagai langkah bijak, seiring Malaysia antara negara dengan pemilik kucing tertinggi di dunia.
Lebih Dari Sebuah Pertandingan
Cat Fashion Week nyata mengubah lanskap fesyen dan hiburan tempatan, mengangkat kucing sebagai bintang utama sambil menyalakan kesedaran terhadap kebajikan haiwan. Dengan tajaan PURINA FELIX – Rasa Memikat, Kucing Buat Apa Saja!, rakan radio rasmi Hot FM serta rakan digital SAYS, acara ini menjadi jambatan baharu antara dunia fesyen, seni, dan kecintaan pada si bulus.Senarai penuh pemenang:
Malam itu, pentas Cat Fashion Week bukan sahaja menobatkan seorang juara, tetapi menghidupkan bukti bahawa kasih terhadap kucing mampu diterjemahkan menjadi karya yang penuh magis.