oleh: zizi hashim
27 Oct
27Oct

Seperti api kecil yang enggan padam meski dilanda angin panjang, Cradle kini kembali bernafas, menghela semula semangat yang hampir dua puluh tahun tertangguh. Setelah sekian lama diam dalam gema sejarah, band rock alternatif yang pernah menembus era 90-an ini kembali menuntut ruangnya dengan album studio terbaharu, “Hela Nafasku”, sebuah karya yang menjadi jantung kepada kelahiran semula legasi muzik mereka.

Tiga dekad lalu, nama Cradle berputik di tengah gelombang grunge tempatan, membawa vibrasi yang merentas masa dan terus bergema di hati peminat. Kini, dengan hembusan baharu dan barisan anggota segar, Addy Rasidi, sang pengasas dan gitaris utama, menyambung perjalanan yang pernah tertunda, bersama Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (bes), dan Adha Lizam (dram).

Bagi Addy, Hela Nafasku bukan hanya pengumuman kembalinya Cradle, tetapi kesinambungan satu perjuangan panjang. Pernyataan yang menolak takdir diam, meraikan muzik yang berjiwa Nusantara. Single pertama mereka, Ayuh!, menjadi penanda aras kebangkitan itu, membawa energi segar tanpa melupakan akar tradisi bunyi yang membesarkan mereka.

Hela Nafasku yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sememangnya satu keraian. Album ini hadir pada tahun ke-30 Cradle, ketika ramai menganggap album penuh sudah tidak relevan, bagi kami, ini simbol kesetiaan terhadap muzik sebenar,” ujar Addy yang turut bertindak sebagai Produser Album, Pengarah Artistik dan Penyusun Muzik.

Dirakam di Studio 47, Singapura dan Sonic, Malaysia, album ini memuatkan 11 buah lagu baharu, sebahagiannya hasil ciptaan Addy dan Eiz sendiri. Di bawah label Rasa Karya milik Datuk Ramli Sarip yang juga bertindak sebagai Penasihat Eksekutif, projek ini menjadi hasil pertemuan dua generasi. Pengalaman dan tenaga baharu bertaut menjadi satu bahasa muzik yang matang namun berani.

“Cradle semasa masuk studio hanya ada saya dan Eiz. Lama saya mencari pemuzik yang sejiwa. Kebetulan, sesi santai bersama Zul Wahab akhirnya menemukan kami. Adha pula, walau muda, punya aura luar biasa. Saat saya lihat dia bermain, saya tahu dia memang ditakdirkan untuk Cradle,” cerita Addy tentang pertemuan yang melengkapkan pasukan itu.

Cradle pernah menggoncang pentas menerusi album “Gurindam Keluli” (1996) dan “Ceritera Awan” (2008) yang melahirkan lagu Ayu, pemenang Lagu Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008. Kini, dua dekad kemudian, mereka mengulang sejarah dengan kejujuran yang sama, namun dalam bentuk yang lebih mendalam.Vokalis baharu, Eiz Mohd, yang sebelum ini dikenali menerusi projek Gerilia bersama Along Exists, menyifatkan usaha menghidupkan semula Cradle sebagai satu cabaran besar, namun mengujakan. 

“Cradle membawa satu aliran muzik yang jarang dilakukan band tempatan lain. Gabungan kami berempat menjadikan bunyi Cradle kini lebih unik, ada warna yang tersendiri,” katanya.

Kelahiran Hela Nafasku juga diraikan melalui persembahan eksklusif Cradle Live! pada 14 November 2025, bertempat di Poolside Bistro, Ideas Hotel, Kuala Lumpur. Malam itu bakal menyatukan nostalgia dan tenaga baharu dengan penampilan Datuk Ramli Sarip sebagai tamu khas. Tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160 termasuk bufet makan malam boleh didapatkan di www.iLassoTickets.com/cradlelive atau melalui hotline +6011 1329 7822.

Kisah di sebalik pembikinan album ini tidak hanya tentang muzik, tetapi juga tentang ketekunan dan kepercayaan pada takdir. Eiz dilamar seawal 2017, namun hanya bersetuju lima tahun kemudian, menandakan bahawa setiap pertemuan dalam dunia seni punya waktunya sendiri. Dan ketika semua garis masa itu akhirnya bertaut, Cradle lahir semula dengan hembusan yang lebih segar, matang dan ikhlas.Hela Nafasku adalah naskhah yang menyatukan pengalaman dan keghairahan. Ia berdiri sebagai bukti bahawa dalam dunia yang semakin berpusing pantas, masih ada jiwa yang mahu menulis sejarah dengan muzik sebenar.

“Impian untuk menghidupkan semula Cradle lama terpendam apabila saya sibuk dengan projek solo. Kini tempoh hibernasi telah tamat, dan Cradle kembali sebagai legasi untuk generasi baharu,” ungkap Addy dengan nada yang sarat harapan. Album ini menjadi tafsir tentang ketabahan, cinta terhadap bunyi dan keyakinan bahawa setiap hela nafas yang diberi masih mampu mencipta keajaiban.

Bagi peminat yang pernah membesar dengan gema Ayu dan Gurindam Keluli, kini tiba masanya untuk kembali menghidupkan semangat itu. Hela Nafasku kini tersedia untuk pra-tempahan dan boleh didengari di semua platform digital utama. Miliki album ini, dengarkan kisahnya, dan saksikan sendiri 'Cradle Live! 2025' kerana setiap hela nafas yang dihembus mereka adalah lagu yang ditulis untuk jiwa yang enggan menyerah.

Comments
* The email will not be published on the website.