oleh: zizi hashim
21 Jul
21Jul

Setiap manusia pernah mendamba sesuatu yang tidak tergapai, dan di celah-celah langit yang tak berbatas itu, Kael menghantar satu karya yang terasa seperti bisikan dari hati yang pernah luka namun masih percaya pada keajaiban. Angkasa, single keempatnya bersama Alternate Records, bukan hanya sebuah balada pop moden. Ia adalah serpihan jiwa yang melayang perlahan, menghampiri kita dengan tenang lalu menyusup masuk ke ruang yang kita sangka sudah kebal pada rasa.

Terhasil daripada gabungan kreatif antara Kael, komposer prolifik Omar K dan penerbit muzik berbakat Iqie Hugh, Angkasa membentangkan sebuah puisi sonik tentang 2 jiwa yang saling mencintai, namun terkandas di dua dunia yang tidak pernah berselisih di bumi. Seperti siang dan malam yang tak pernah bersentuhan, namun berkongsi langit yang sama.

Kelembutan muziknya mengundang tenang, tetapi tidak lesu. Emosinya halus tetapi dalam. Susunan minimal memberi ruang untuk vokal Kael bersinar, membawa pendengar masuk ke wilayah paling sunyi dalam hatinya. Melodi yang tidak terikat pada acuan tipikal pop memberi dimensi baharu, lembut namun berdentum dalam diam, sedih tetapi tetap mengendong harapan.

"Meski bulan dan matahari berbeza, kau pagi dan ku malam, tetap di angkasa yang sama...” Lirik ini membekas lama setelah lagu tamat. Ia berbicara tentang cinta yang mungkin tidak dapat dimiliki secara fizikal, tetapi tetap hidup di ruang spiritual. Omar K menyifatkannya sebagai kepercayaan pada cinta yang murni walau dilahirkan dalam keadaan yang mustahil, ia tetap bersatu di langit emosi yang sama.

Kael sendiri menyatakan bahawa Angkasa adalah karya paling peribadi dalam katalog seninya. “Lagu ini menonjolkan sisi saya yang paling tulen,” katanya. “Cabaran terbesar adalah mencari perkataan yang paling jujur dari dalam hati, lalu membentuknya jadi melodi yang puitis dan bermakna.” Dalam setiap baitnya, terasa bahawa Kael bukan hanya menyanyi, tetapi juga menulis surat cinta kepada seluruh semesta yang pernah mencintai dalam diam.

Proses pembikinan lagu ini memakan masa 3 bulan, setiap langkah diperhalusi: dari penulisan, susunan muzik, hingga ke rakaman. Namun rakaman vokal utama hanya memerlukan satu hari. Seolah-olah segala yang ingin diungkap sudah lama menunggu untuk keluar. Omar K menyifatkan Kael sebagai artis yang bersedia, profesional dan penuh semangat. Tenaga yang terpendam itu jelas terpantul dalam hasil akhir yang begitu rapi dan menyentuh.

Apa yang membuat Angkasa begitu mudah melekat di hati ialah keseimbangannya, ia tidak bergantung kepada klimaks dramatik. Lagu ini dibina dengan perlahan, seperti malam yang menyelimuti kota, memberi waktu untuk perasaan berkembang tanpa dipaksa. Genre pop balada moden yang digabung dengan elemen elektronik minimal dan atmosferik memberikan rasa ‘ethereal’ yang memikat, seolah-olah kita sedang hanyut di ruang antara awan dan bintang.

Kael tidak sekadar menyanyi, dia membalut rasa dengan lapisan visual, mood dan naratif. Angkasa dijadikan sebagai karya yang lengkap, bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk dialami. Lagu ini sesuai mengiringi majlis perkahwinan, video kenangan, hari ulang tahun atau bahkan hanya untuk diam-diam menghargai seseorang dari kejauhan. "Romantis itu tak boleh dipalsukan,” ujar Kael. “Saya dedikasikan lagu ini untuk semua pasangan, sahabat dan pencinta.”

Harapannya? Agar Angkasa bukan sahaja diterima oleh khalayak Malaysia, tetapi juga mampu merentas sempadan. “Saya berharap lagu ini dapat menembusi ke negara jiran, dan membawa nama seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya, yakin dan penuh semangat. Dan kini, Angkasa sudah pun tersedia di semua platform digital seperti Spotify dan YouTube Music. Tapi seperti langit yang luas, anda tak sekadar lihat, anda juga perlu merasa. Dengarkan dengan hati yang terbuka, dan mungkin anda juga akan temui seseorang di angkasa yang sama.

Comments
* The email will not be published on the website.