oleh: zizi hashim
28 Aug
28Aug

Jejak seni Hael Husaini sentiasa hadir dengan kejujuran, seakan memoir yang ditulis menggunakan bahasa nada dan melodi. Kini, penyanyi, komposer dan storyteller yang begitu dekat di hati khalayak itu kembali dengan dua persembahan baharu berjudul “Peluk” (duet bersama Nadeera) serta “Alangkah”, di bawah terbitan Rocketfuel Entertainment. Kedua-duanya bukan sekadar koleksi balada, melainkan naratif penuh emosi yang terpilih sebagai original soundtrack (OST) untuk dua drama bersiri Astro yang sedang menjadi perbualan ramai.

Peluk — Balada Rindu Jarak yang Memanjang
Tema cinta jarak jauh, atau long distance relationship, diterjemahkan dengan kelembutan dalam “Peluk”. Ia mengisahkan kerinduan yang tidak pernah padam, tentang harapan untuk kembali ke pangkuan insan tersayang. Lagu ini mengiringi drama “Mandul Bukan Pilihan” lakonan Hun Haqeem, Mira Filzah dan Ayda Jebat, menjadikan kisah di layar lebih berlapis dengan gema rindu.“Kadang-kadang rindu itu pahit, tapi dalamnya tetap ada keindahan,” kata Hael, menyingkap maksud di sebalik lagunya.

Lebih indah, “Peluk” mempertemukan Hael sekali lagi dengan Nadeera, selepas kerjasama mereka dalam lagu raya “Meriah Lain Macam” yang pernah menjadi viral. Menurut Hael, vokal Nadeera memberi kehidupan pada lirik yang sarat emosi, menjadikan lagu ini manis dan bernyawa.Nadeera sendiri meluahkan rasa syukur, “Lagu ini bagi saya bukan sekadar tentang cinta jarak jauh, tetapi tentang kasih yang tetap utuh meski diuji. Hael banyak membimbing, dan saya rasa amat bertuah diberi kepercayaan.”

Alangkah — Bisikan Cinta yang Tak Selalu Dimiliki 
Jika “Peluk” menawarkan hangatnya rindu, “Alangkah” pula menyelam ke sisi melankolia cinta. Lagu ini dipilih sebagai OST drama “Thariq Ridzwan” lakonan Meerqeen dan Qasrina Karim.“Alangkah” menyingkap getar cinta mendalam yang diselubungi harapan yang tak pasti — seakan bisikan “alangkah baik jika takdir berpihak padaku…”. 

Hael mengaku karya ini lahir daripada pengalaman insan di sekelilingnya, “Ada cinta yang mereka dambakan, tetapi tidak semua berakhir seperti yang diimpikan. Dalam setiap kepedihan, saya percaya masih ada sesuatu yang indah untuk dikenang.”Melodinya yang “galau” memperlihatkan sisi reflektif Hael — seorang pengkarya yang terus mencari keseimbangan antara cahaya dan duka dalam setiap baladanya.

Dari Konsert ke Platform Digital
Menariknya, kedua-dua lagu ini asalnya disusun untuk album sambungan Hael, “Antonim: Part II”. Namun, selepas dibawakan buat pertama kali di konsert “Hael Husaini & Repertoire”, sambutan peminat terlalu besar hingga Rocketfuel memutuskan melancarkannya lebih awal sebagai single digital.“Saat saya nyanyikan lagu-lagu ini di pentas, ramai yang bertanya bila ia akan diluncurkan. Itu membuat saya sedar bahawa muzik saya perlu hadir sebagai sesuatu yang bermakna untuk mereka.” ujar Hael.

Harapan Seorang Storyteller
Pelancaran “Peluk” dan “Alangkah” menandai harapan Hael agar pendengar dapat menjumpai pantulan diri mereka sendiri dalam bait lirik dan melodinya. “Muzik adalah cerminan hati. Jika ‘Peluk’ menjadi penguat untuk yang merindu, biarlah ‘Alangkah’ menjadi peneman bagi yang diuji takdir cinta.” katanya sambil tersenyum.

Kini di Semua Platform
Kedua-dua single ini sudah boleh distrim melalui Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music serta YouTube Music. Sementara itu, video muzik rasmi untuk “Peluk” dan “Alangkah” kini dalam proses pembikinan, dijangka menemui peminat tidak lama lagi.

Comments
* The email will not be published on the website.