oleh: zizi hashim
04 May
04May

Seumpama helaian memori yang koyak tanpa sempat dijahit kembali, kehilangan selalu datang dengan sunyi yang panjang. Ia membekas, menghantui, dan perlahan-lahan mengubah cara manusia melihat dunia di sekelilingnya. Astro menerusi jenama Astro Originals terus memperkukuhkan langkah dalam menghasilkan kandungan premium tempatan dengan mempersembahkan Good Boys Go To Heaven, sebuah siri thriller psikologi yang mengangkat tema berat, emosional dan dekat dengan realiti masyarakat.

Siri terbitan Astro Shaw ini dijadualkan menemui penonton bermula 8 Mei 2026, setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108), selain boleh ditonton lebih awal menerusi On Demand di Astro GO seawal 12.00 tengah malam serta di aplikasi Sooka. 

Dalam usaha memperluas genre thriller psikologi di Malaysia, siri ini diterajui oleh penulis skrip terkemuka Mira Mustaffa, pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia, yang bukan sahaja menulis, malah bertindak sebagai showrunner, membentuk keseluruhan arah penceritaan dengan pendekatan yang lebih berani dan berlapis. Sentuhan pengarahan pula digalas oleh Ariff Zulkarnain, yang sebelum ini dikenali menerusi One Cent Thief 2, membawa gaya visual yang lebih intens dan dramatik, selari dengan emosi berat yang ingin disampaikan. Produksi siri ini dikendalikan oleh Indigo Film, menambah lagi kekuatan dari sudut teknikal dan penceritaan.

Naratif Good Boys Go To Heaven berpusat kepada Yasser, seorang bapa yang berdepan trauma paling mendalam apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemui dalam keadaan tragis selepas dibunuh dengan kejam. Kejadian ini menjadi titik mula kepada perjalanan emosi yang kompleks, di mana kesedihan, rasa bersalah dan trauma saling bertindih, bukan sahaja mempengaruhi Yasser, tetapi turut memberi kesan kepada individu lain di sekelilingnya.

Pendekatan penceritaan siri ini tidak sekadar berlegar pada misteri kehilangan, tetapi menyelami kesan psikologi yang lebih mendalam: bagaimana trauma mampu meresap ke dalam kehidupan seharian, mempengaruhi hubungan, persepsi dan keputusan yang diambil oleh setiap watak. Ia menggambarkan realiti bahawa luka emosi sering kali tidak kelihatan, tetapi meninggalkan kesan yang jauh lebih lama daripada yang dijangka.

Barisan pelakon yang menghuni dunia ini memperkukuh kekuatan naratif. Beto Kusyairy memegang watak Yasser dengan intensiti yang sarat emosi, bergandingan bersama Zahirah MacWilson sebagai Dahlia. Turut menyertai ialah Firdaus Karim sebagai Bahamin, Malek McCrone sebagai Zayd, Amerul Affendi sebagai Inspektor Kamal, Amanda Ang sebagai Sarjan Leona, Sky Iskandar sebagai Ustaz Reyhan serta pelakon kanak-kanak Sayf Mikael yang membawa watak Ahyan.

Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad, naskhah ini merupakan usaha berterusan Astro Shaw untuk mempersembahkan penceritaan yang lebih berani dan relevan dengan skala produksi yang berkualiti tinggi. Pada masa sama, ia menjadi platform untuk mengetengahkan bakat tempatan, termasuk penulis tersohor seperti Mira Mustaffa yang pernah menghasilkan karya popular seperti Sangkar, Nur Kasih, Cinta dan Sepi.

Beliau turut menegaskan bahawa tema kehilangan kanak-kanak yang diangkat dalam siri ini bukan sekadar elemen dramatik, tetapi satu refleksi kepada realiti yang semakin membimbangkan dalam masyarakat dengan harapan ia dapat menjadi peringatan agar isu sebegini tidak dilupakan begitu sahaja selepas hilang dari perhatian media. 

Seiring dengan perkembangan cara penonton mengakses kandungan, Astro turut memperluaskan capaian siri ini melalui platform digital seperti Astro GO dan Sooka, selain menyediakan pelbagai kandungan tambahan di media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X. Dalam masa yang sama, Astro juga menawarkan Pek Astro One bermula dari RM49.99, memberi nilai tambah kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman penstriman yang lebih fleksibel dan menyeluruh.

Mengangkat dunia yang dipenuhi luka emosi dan persoalan yang belum terjawab, Good Boys Go To Heaven hadir sebagai sebuah karya yang menuntut perhatian, bukan kerana sensasinya, tetapi kerana keberaniannya menyentuh sisi paling rapuh dalam kehidupan manusia. Sebuah cerita yang mungkin sukar untuk ditonton dengan ringan, tetapi penting untuk dirasai.

Comments
* The email will not be published on the website.