oleh: zizi hashim
16 Jul
16Jul

Asap tak terlihat, tapi dunia ini tahu, ada sesuatu sedang terbakar dari selatan Semenanjung. Dari celah-celah kerangka besi dan kelam kota Singapura, muncullah satu nama yang kini mula terpahat dalam benak pengikut muzik ekstrim Asia Tenggara: Fyraun. Album penuh sulung mereka, Kings Ov Kings, datang untuk mengaum sekaligus memanggil lewat gumpalan sonik yang menyesakkan dada dan mantera-mantera keras yang menusuk saraf dan menyerang rongga deria secara total. 

Tahun 2022 menyaksikan kelahiran kuartet yang terdiri dari Fyraun (gitar), Anubis (dram), dan Naxzgul (bass/vokal), yang kemudian diperkuatkan oleh Vorg (gitar) setahun kemudian. Bersama, mereka memekikkan nama dendam, kemarahan dan kepercayaan purba ke atas rakaman EP pertama mereka, The Birth of Vengeance. Tapi itu baru mukadimah pertama yang meledak bak tamparan pembuka, telah memberi bayangan tentang arah perjuangan mereka. Yang kini hadir ialah sebuah naskhah penuh, 8 trek yang disusun sebagai ritual sonik, berpaksikan penghujatan, azab dan kebangkitan dari bawah runtuhan sejarah.

KINGS OV KINGS ialah kelahiran semula yang lebih purba, lebih menyakitkan, dan jauh lebih sakral. Ia adalah terbitnya satu naskhah dalam bentuk bunyi, naskhah yang tak memerlukan kertas, hanya cukup dengan kegelapan dan dinding yang retak-retak untuk bergema. Setiap trek menyulam elemen ritualistik dan mitologi Mesir kuno dengan ketepatan bunyi yang mengaum seperti perintah. Album ini tidak berselindung, ia menatap wajah dan menjeritkan kebenaran dari neraka, tanpa rasa ragu.

"Ancient Rites" membuka tirai album seperti imam membuka lembaran kitab sihir dengan dram perlahan, seruan dari ruang hampa, gema padang pasir yang belum terusik. Bukan sekadar intro, tapi pelantaian roh. Terasa seakan ada yang sedang dibangkitkan dari dasar tanah. Kemudian "Blood River" meletupkan segala geram yang disimpan terlalu lama. Riff deras, vokal tajam, dan dentuman dram menghentam tulang temulang. Sungai ini bukan air. Ia darah. Dan darah ini bukan aliran, ia amaran.

Fyraun tidak menghamparkan karpet mewah untuk pendengar; kita dibiarkan merangkak atas tanah keras dan berbatu, menyusur angin panas "Khamaseen". Groove-nya berat, rentaknya ketat, dan vokal menjerit dari tubuh yang tidak terbakar sepenuhnya. "Khamaseen" membawa ke tengah badai padang pasir. Panasnya bukan dari suhu, tapi dari tekanan bunyi. Lagu ini tidak terburu-buru, ia membunuh perlahan, seolah-olah dewa angin sedang mencengkam tengkuk, memperlihatkan kuasa melalui irama yang mengheret, lalu menyeksa.

Dan seterusnya "Ov Locusts & Gnats" hadir sebagai serangan saraf: riff yang menjengkel, struktur terputus-putus dan aura histeria yang dikawal. Lagu ini menyempurnakan fasa gangguan dalam naratif album. Ini gangguan sonik yang tak beri ruang untuk bernafas. Bunyi belalang, riff tersekat-sekat, dram seperti denyutan panik, buat sesiapa yang mendengar terperangkap dalam sarang suara yang menggila.

Kemuncak datang dari "Kings Ov Kings", lagu yang bernafas seperti makhluk purba. Megah, penuh kuasa, dan tidak minta keizinan. Pusat graviti album, trek yang melambangkan pertabalan satu kuasa baru. Vokalnya berapi, riffnya seperti jentera yang membina takhta dari tengkorak. Tidak ada belas kasihan, hanya kebesaran yang kelam. Ia menceritakan tentang kuasa yang tidak lagi mahu bertuhan, tetapi menjadi Tuhan.

Dan saat solo gitar mencakar langit, ia adalah pertabalan. "Death Ov Every Firstborn" perlahan, menyakitkan, dan menghantui. Setiap detik seperti kesunyian yang dipenuhi kehilangan. Vokalnya tidak menjerit tetapi merintih. Bunyi bass seperti langit yang menurunkan kutukan duka dalam bentuk darah. Fyraun memperlahankan tempo tetapi tidak meredakan kekejaman. Riff berat, vokal berdengung dan irama mendap seperti bumi menyedut roh ke bawah.

Apabila "10 Plagues Ov Kemet" tiba, saya sudahpun keletihan emosi tetapi ini belum penghabisan. Lagu ini menyusun semua elemen album: azab, chaos, serpihan mitos. Gaya progresifnya menggabungkan struktur pelik, riff meliar dan vokal yang melonjak antara seruan dan kutukan. Ibarat klimaks sebelum dunia gelap sepenuhnya, meledak sebagai sintesis segala derita. Struktur lagu ini bagai mahakarya teatrikal. Riff vibrant berpusing, tempo silih ganti, dan jeritan yang membawa nama-nama azab. Inilah manifesto bunyi tentang kehancuran mutlak.

Penutupnya, Al Mawt, bukan rehat, tetapi gema maut. Outro tenang tapi menyesakkan, dengan bunyi ambient Timur Tengah, nafas yang menjarak, dan gema seolah-olah dewa telah pergi... atau mungkin ada roh sedang menunggu untuk kembali. Saya tinggalkan album ini dalam senyap yang pedih, ditinggalkan selepas upacara pengebumian yang terlalu agung untuk ditangisi. Semua lagu memberi amaran bahawa ini bukan album untuk mereka yang lemah semangat.

Fyraun membina altar, dan mereka korbankan segala ketakutan dan keberanian di atasnya. KINGS OV KINGS adalah satu daripada segelintir album ekstrim Asia Tenggara yang benar-benar berdiri sebagai naskhah sinematik, teologikal, dan muzikal secara serentak. Apa yang mereka ciptakan adalah sistem kepercayaan baharu yang ditulis dengan riff, disusun dalam darah, dan dipaterikan dengan duka purba.

Secara teknikal, Kings Ov Kings mencerminkan kematangan Fyraun dalam susunan lagu dan juga dalam penyampaian atmosfera. Produksi album mengekalkan keseimbangan: cukup autentik, cukup kemas untuk menyampaikan emosi kompleks. Ia bukan lo-fi sengaja, dan bukan juga overproduced. Ia adalah seperti pasir gurun, halus, panas, dan memedihkan bila masuk ke mata. Pengaruh Morbid Angel, Suffocation, Immortal dan Sadus jelas, tapi Fyraun tidak plagiat. Mereka menyusun semula, mengolah bunyi menjadi mantra bunyi yang padat, mengheret pendengar ke dalam dimensi yang hanya boleh dilalui dengan keberanian.

Apa yang menjadikan album ini penting bukan semata-mata keperkasaan riff atau kemarahan vokal, tetapi penolakan Fyraun terhadap formula. Mereka tidak menjual sound ‘safe’. Mereka membina dimensi sonik di mana setiap lagu ibarat lembaran kitab terlarang, dibaca dengan darah, dimengerti dengan naluri gelap. Dan mereka mengajak pendengar bukan untuk sekadar mendengar, tetapi menyertai. Kings Ov Kings adalah manifestasi dunia Fyraun: dunia yang dipenuhi abu takhta, langit merah saga dan roh-roh yang tidak sempat ditalkinkan.

Bagi yang cukup berani untuk masuk ke wilayah ini, Kings Ov Kings ialah pengalaman yang tidak dijanjikan akan selamat, tapi sudah pasti akan mengubah cara anda mendengar, dan merasai muzik metal itu sendiri. Bagi jiwa-jiwa yang dahagakan sesuatu yang lebih dari riff semata-mata, yang mencari muzik dengan nadi, dengan sejarah, dengan jiwa dan sumpah, KINGS OV KINGS wajib diperolehi. Ia perlu dialami. Sepenuhnya. Dan jika ini adalah panggilan perang, maka berdirilah antara barisan paling hadapan dengan telinga berdesing, dan jiwa yang telah dinodai oleh api suci bernama Fyraun.

Comments
* The email will not be published on the website.