oleh: zizi hashim
06 May
06May

Sunyi rumah keluarga selalunya menyimpan rasa hangat, kenangan dan tempat manusia pulang ketika hidup mula terasa terlalu berat. Namun dalam dunia Evil Dead Burn, rumah bukan lagi ruang perlindungan. Ia berubah menjadi neraka yang perlahan-lahan memamah kewarasan manusia satu demi satu. Franchise seram legendaris itu kembali dengan babak paling brutal dan mengerikan setakat ini, membawa penonton masuk ke dalam pesta keganasan yang lebih liar, lebih sadis dan jauh lebih gelap daripada sebelumnya.

Diarahkan oleh Sébastien Vaniček bersama penulis Florent Bernard, filem terbaharu dalam dunia Evil Dead ini membuka lembaran baharu yang dipenuhi darah, kegilaan dan makhluk Deadites yang kembali mengganas tanpa belas. 

Premisnya bermula dengan sesuatu yang kelihatan sederhana. Seorang wanita yang baru kehilangan suaminya cuba mencari ketenangan dengan tinggal bersama keluarga mertuanya di sebuah rumah terpencil. Dalam keadaan masih bergelut dengan kesedihan dan trauma, dia berharap rumah tersebut mampu menjadi tempat untuk dirinya perlahan-lahan sembuh. Namun apa yang menantinya jauh lebih mengerikan daripada kehilangan itu sendiri.

Sedikit demi sedikit, ahli keluarga di rumah tersebut mula berubah menjadi Deadites: makhluk kerasukan yang kejam dan haus darah. Suasana berkumpul keluarga yang sepatutnya menjadi ruang penyembuhan akhirnya bertukar menjadi reunion keluarga dari neraka. Dalam kekacauan yang semakin menggila, wanita itu mula menyedari bahawa janji perkahwinan yang pernah diucapkannya ketika hidup mungkin tidak pernah benar-benar berakhir… walaupun selepas kematian.

Apa yang membuat Evil Dead Burn terasa lebih menyeramkan adalah bagaimana ia bermain dengan emosi kehilangan dan trauma sebelum perlahan-lahan menghancurkan rasa selamat penonton. Keganasan dalam filem ini bukan sekadar gore semata-mata, tetapi datang bersama tekanan psikologi yang membuat setiap babak terasa lebih sesak dan tidak selesa.

Filem ini dibintangi Souheila Yacoub, Tandi Wright, Hunter Doohan, Luciane Buchanan, Errol Shand, George Pullar, Maude Davey dan Greta Van Den Brink yang masing-masing membawa intensiti emosional tersendiri dalam dunia penuh kegilaan tersebut. Di belakang tabir pula, filem ini diterbitkan oleh Rob Tapert dan legenda seram Sam Raimi, nama besar yang cukup sinonim dengan identiti asal franchise Evil Dead sejak dahulu.

Turut bertindak sebagai penerbit eksekutif ialah Bruce Campbell, figura ikonik yang menjadi wajah penting dalam dunia Evil Dead sejak era klasiknya. Kehadiran nama-nama tersebut seakan memberi jaminan bahawa Evil Dead Burn masih mengekalkan roh keganasan asal yang menjadikan franchise ini begitu kultus dalam dunia seram.  Dari sudut visual, Sébastien Vaniček turut dibantu barisan produksi seperti sinematografer Philip Lozano, pereka produksi Nick Connor, editor Maxime Caro dan pereka kostum Sarah Voon yang bersama-sama membina atmosfera seram yang lebih liar dan claustrophobic.

Diterbitkan oleh Ghost House Pictures bersama New Line Cinema dan Screen Gems, filem ini bakal diedarkan oleh Warner Bros. Pictures dan dijadual menemui penonton di pawagam Amerika Utara bermula 10 Julai 2026. Dalam dunia Evil Dead Burn, kematian bukanlah pengakhiran paling menakutkan. Kadangkala, yang lebih mengerikan adalah apabila sesuatu yang sudah mati memilih untuk kembali.

Comments
* The email will not be published on the website.