Dentuman rock tidak pernah benar-benar mati. Ia cuma menunggu waktu untuk kembali menggoncang jiwa generasi lama dan baharu dalam satu malam yang penuh gelegar emosi. Tahun 2026 bakal menjadi saksi bagaimana seorang legenda bernama Awie kembali menakluk pentas megah dengan konser solo terbesar sepanjang lebih empat dekad perjalanan seninya menerusi 'AWIE ROCK KING - LAST MAN STANDING 2026'.
Bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September 2026, konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini bukan sekadar persembahan biasa. Ia hadir seperti sebuah tribute skala besar terhadap perjalanan seni seorang figura yang pernah jatuh, bangkit dan terus berdiri dalam dunia muzik yang sentiasa berubah wajah. Nama “Last Man Standing” sendiri membawa simbolik yang cukup berat. Di sebalik gegaran gitar dan sorakan ribuan peminat nanti, tersembunyi kisah tentang ketahanan seorang anak seni yang enggan hilang ditelan zaman.


Dari era Wings sehingga perjalanan solo yang membentuk identiti tersendiri, Awie menjadi antara nama yang tetap utuh mempertahankan bahasa rock dalam nadinya. Yang menjadikan konsert ini lebih istimewa adalah konsep naratifnya. Ia bukan cuma himpunan lagu popular untuk dinyanyikan bersama penonton, tetapi sebuah perjalanan emosional yang menyusuri setiap fasa kehidupan seni Awie. Dari zaman awal penuh idealisme, era kegemilangan, sehingga cabaran mempertahankan relevansi dalam industri hiburan yang semakin kompleks. Semua itu akan diterjemahkan melalui susunan muzik, visual dan penceritaan berskala mega.
Puluhan pemuzik berpengalaman serta artis undangan popular juga bakal menghiasi pentas malam tersebut. Menariknya, setiap penyanyi yang terlibat akan membawakan karya-karya ikonik Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasi yang dibinanya selama ini. Pendekatan ini bukan sahaja menyatukan generasi lama dan baharu, tetapi turut menjadikan konser tersebut seperti sebuah selebrasi besar terhadap sejarah rock tempatan.


Menurut Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali sebagai Bombay, hubungan profesional antara beliau dan Awie telah terjalin hampir empat dekad. Sebuah kemistri yang lahir daripada pengalaman panjang mengendalikan konsert-konsert besar sehingga tercipta satu kefahaman yang sukar diterjemah dengan kata-kata. Bagi Bombay, gelaran “Rock King” bukan sekadar julukan kosong, tetapi pengiktirafan terhadap sumbangan besar Awie dalam membentuk evolusi muzik rock Malaysia.
“Dari era Wings, kemudian ke perjalanan solo Dato’ Awie, sehingga kembali ke pelbagai fasa evolusi seni beliau, kami sering bekerjasama dan kolaborasi ini telah membentuk satu kemistri yang kuat dan kukuh dalam meningkatkan taraf dan mutu setiap persembahan konsert yang kami lakukan bersama,” katanya.
Dalam nada yang cukup jujur, Awie turut mengakui dirinya terharu dengan kesetiaan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak era awal bersama Wings, seterusnya ketika bergerak solo hingga ke hari ini. Baginya, setiap fasa tersebut menjadikan dirinya lebih matang dan lebih kuat untuk terus bertahan dalam industri yang sentiasa berubah. Sokongan peminat yang tidak pernah surut sejak dahulu menjadi sebab utama beliau masih berdiri gagah di atas pentas hingga hari ini. Ada rasa syukur, ada nostalgia, dan ada penghormatan mendalam buat mereka yang terus setia bersama perjalanan seninya.


Sebagai penerbit dan pengarah konsert, Bombay menegaskan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk memastikan konsert tersebut mencapai standard tertinggi demi memberikan pengalaman terbaik kepada peminat yang hadir. “Kami mahu konsert ini menjadi satu karya yang memberi impak, malah berpotensi menjadi sebuah masterpiece dalam industri muzik tempatan. Ini penting kerana penonton meluangkan masa dan membayar untuk hadir, jadi kami ingin memberikan pengalaman yang setimpal dan berkualiti tinggi,” katanya.
Konsert 'AWIE ROCK KING - LAST MAN STANDING 2026' turut mendapat sokongan stesen radio ERA FM, Sinar FM dan GEGAR sebagai radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal digital rasmi bagi memastikan liputan meluas menjelang malam bersejarah itu. Tiket konsert dijual bermula RM98 hingga RM5998 menerusi platform iLasso Tickets, menawarkan pelbagai kategori termasuk couple seat dan table package untuk pengalaman menonton lebih eksklusif.
Lebih daripada sebuah malam hiburan, AWIE ROCK KING - LAST MAN STANDING 2026 terlihat seperti sebuah manifestasi cinta terhadap muzik rock yang masih berdenyut dalam jiwa masyarakat. Sebuah malam yang mungkin akan dikenang sebagai antara konser paling monumental pernah dipentaskan oleh legenda bernama Awie.