Tahun berlalu, wajah berubah, namun kenangan enggan pudar. Duyung pernah menjadi sebahagian daripada masa kecil ramai penonton. Ditonton ketika masih beruniform sekolah, disimpan sebagai memori ringkas yang manis. Kini, pada 2025, kisah itu kembali bernafas menerusi Duyung: Legenda Aurora, membawa bersama refleksi usia, kematangan emosi dan pertaruhan baharu yang lebih besar.
Kepulangan watak Puteri lakonan Maya Karin menjadi pusat emosi naskhah ini. Jika pada 2008 Puteri hadir sebagai duyung yang anggun dan penuh misteri, versi terbaharu memperlihatkannya sebagai seorang ibu kepada Aurora dengan naluri keibuan yang tebal dan keputusan yang tidak lagi ringan. Pada usia 46 tahun, Maya Karin membawa dimensi kematangan yang menjadikan Puteri lebih manusiawi, terutama apabila Aurora ditangkap oleh sindiket pukat tunda haram. Soalnya bukan lagi tentang keberanian semata-mata, tetapi sejauh mana seorang ibu sanggup menggadaikan segalanya demi anak.


Jimmy, lakonan Saiful Apek, turut berevolusi. Dari sosok yang mencetus tawa, Jimmy kini berdiri sebagai bapa kepada Dashmond dan pemilik Dash Resort. Pada usia 56 tahun, wataknya lebih berpijak pada realiti. Bertanggungjawab, berprinsip, dan diuji dengan cabaran yang jauh lebih getir berbanding masa lalu. Beban yang dipikul bukan sekadar komedi keadaan, tetapi tanggungjawab keluarga yang menuntut ketegasan.
Perubahan turut dirasai pada Aspalela lakonan Yasmin Hani. Dahulu dikenali dengan pesona dan rasa cemburu yang mudah terbakar, kini Aspalela tampil sebagai ibu kepada Dashmond dan rakan kongsi Jimmy. Walau kematangan jelas terpancar, konflik dalaman tidak pernah benar-benar lenyap. Kehadiran semula Puteri di darat membangkitkan perasaan lama: ego, trauma dan persoalan yang tertangguh sekian lama.
Sementara itu, Orix lakonan Yassin Yahya kekal sebagai penghubung nostalgia. Pada usia 47 tahun, Orix masih setia di sisi Jimmy, melambangkan persahabatan yang bertahan walau masa bergerak. Kehadirannya mengikat masa lalu dengan perjalanan baharu cerita ini: tenang, bersahaja, dan penuh makna. Masuknya generasi baharu memperkenalkan taruhan yang berbeza.


Aurora, lakonan Anna Jobling, bukan sekadar anak kepada Puteri, tetapi simbol masa depan. Cintanya yang terpendam bersama Dashmond (lakonan Ayie Floor 88) meletakkan mereka di tengah konflik apabila Aurora menjadi sasaran Dr Evo, seorang saintis obses terhadap duyung. Penangkapan Aurora mencetuskan misi penyelamatan paling berbahaya dalam sejarah keluarga ini.
Hamlau, lakonan Syaiful Zero, tampil sebagai abang yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi adiknya, meskipun hanya mampu bertahan enam jam di darat. Keberanian ini menambah lapisan emosi, memperlihatkan harga yang perlu dibayar demi darah dan kasih.
Reaksi netizen pula mencerminkan perjalanan masa yang sama. Perbandingan usia pelakon, kenangan menonton ketika sekolah rendah, PLKN, hingga kini sudah berkerjaya. Semuanya menjadi cerminan bahawa penonton turut membesar bersama Duyung. Nostalgia tidak lagi berdiri sebagai kenangan pasif, sebaliknya hidup semula melalui cerita yang berevolusi. Duyung: Legenda Aurora bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025. Kepulangan ini bukan janji untuk mengulang masa lalu, tetapi undangan untuk berdamai dengan usia, menyaksikan bagaimana cerita lama menemukan makna baharu.
