oleh: zizi hashim
03 Dec
03Dec

Suatu gema baharu sedang bergetar dari dunia pasca-apokalips, mengisyaratkan kelahiran sebuah saga yang lebih gelap, lebih menggigit, dan sarat kegelisahan manusia. 28 Years Later: The Bone Temple menghampiri pawagam Malaysia pada 15 Januari 2026, mencetuskan debaran baharu buat peminat francais kultus yang pernah merumuskan mimpi ngeri kolektif generasi terdahulu.

Nia DaCosta, sutradara yang terkenal dengan sentuhan visual yang bernada psikologi, kini memegang kemudi kisah yang bermula daripada imaginasi Danny Boyle dan Alex Garland namun kali ini membawa dunia itu ke arah yang lebih tidak terduga. Aura filem ini bergerak jauh melampaui serangan “infected”; ia merungkai sisi paling kelam dalam jiwa manusia yang terus hidup, sekaligus menyoal apa erti bertahan apabila dunia tidak lagi mengenal belas.

Pusat ceritanya berputar pada Dr. Kelson, dibawakan oleh Ralph Fiennes, yang terheret ke dalam hubungan baharu yang tidak waras sifatnya, hubungan yang mampu mengubah struktur dunia pasca-ranap. Bone Temple memperlihatkan bagaimana takdir manusia boleh berganjak melalui keputusan-keputusan kecil yang tampak remeh namun memusnahkan.

Sementara itu, watak Spike (Alfie Williams) terperangkap dalam permainan minda dan kekejaman Jimmy Crystal (Jack O’Connell), mencipta naratif perlumbaan hidup-mati yang meresap ke dalam struktur nadi filem. Dalam wilayah baharu ini, ancaman sebenar bukan lagi wabak, tetapi manusia yang kehilangan jiwa.

Para peminat francais akan menemukan elemen survival, ketakutan visceral dan ketegangan emosional yang lebih kompleks. Nia DaCosta menyuntik lapisan baharu pada dunia 28 Years Later, meneroka bagaimana trauma kolektif mencipta raja-raja kecil yang menguasai puing dunia, serta bagaimana harapan hanya wujud dalam serpihan yang berselerak.

Filem ini diterajui pasukan produksi heavyweight: Andrew Macdonald, Peter Rice, Bernard Bellew, Danny Boyle dan Alex Garland, dengan Cillian Murphy sebagai penerbit eksekutif, simbol bahawa nadi original saga ini masih mengalir kuat. Barisan pelakon yang mantap seperti Erin Kellyman dan Chi Lewis-Parry melengkapi dunia yang kacau tapi mempesona ini. Dengan visual yang sarat kontra, bunyi yang menggetarkan sistem saraf, serta dunia yang dibina dengan ketelitian, The Bone Temple digambarkan sebagai babak paling ambisius dalam trilogi. Ia bukan sekadar kesinambungan, tetapi penafsiran semula kejam tentang apa yang manusia sanggup lakukan demi kelangsungan.

Tanggal 15 Januari 2026 bakal menjadi hari yang mencatat sejarah pawagam Malaysia ketika kegelapan baharu ini menuntut penonton untuk menghadapi pertanyaan yang lebih tajam: sebenarnya siapa monster sebenar dalam dunia yang nyaris tidak bernyawa?

Comments
* The email will not be published on the website.