oleh: zizi hashim
28 May
28May

Bukan semua pengorbanan berakhir dengan kebahagiaan. Ada kalanya, cinta yang dibina dengan setia perlahan-lahan retak hanya kerana hidup memaksa manusia memilih jalan yang tidak pernah mereka bayangkan sebelumnya. Daripada kegelisahan itulah lahirnya Luka Di Hujung Setia, drama terbaharu slot Akasia TV3 yang membawa penonton menyelami sisi paling rapuh sebuah perkahwinan. Tentang cinta yang diuji oleh kesempitan hidup, jarak, kesunyian dan pengkhianatan yang muncul ketika hati sedang lemah.

Drama 28 episod terbitan Country & Universal Sdn Bhd itu mempertaruhkan gandingan emosional antara Dato’ Adi Putra dan Zara Zya sebagai pasangan suami isteri yang perlahan-lahan kehilangan arah dalam rumah tangga mereka sendiri. Turut memperkuatkan naskhah ini ialah barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Cahaya Nilam, Angella Joliey, Puteri Khareeza dan ramai lagi.

Bakal bersiaran mulai 2 Jun 2026, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam di TV3, Luka Di Hujung Setia hadir dengan sebuah cerita yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Apabila tekanan ekonomi dan beban kehidupan perlahan-lahan mula menghakis hubungan yang dibina atas dasar cinta dan pengorbanan. Watak utama, Dhia lakonan Zara Zya, digambarkan sebagai seorang isteri dan ibu yang sanggup meninggalkan kampung halaman demi membantu suaminya, Irsyad lakonan Dato’ Adi Putra, yang kehilangan pekerjaan tetap dan kini hanya bekerja sambilan di sebuah ladang sambil menanggung hutang keluarga.

Demi memastikan kehidupan mereka terus bertahan, Dhia mengambil keputusan berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang kerja yang lebih baik. Namun keputusan yang dibuat demi menyelamatkan keluarga itu akhirnya membuka ruang kepada keretakan yang tidak pernah dijangka. Dalam kesibukan hidup di kota, Dhia mula rapat dengan majikannya, Faris lakonan Irfan Zaini, seorang lelaki yang sering membantunya ketika berdepan tekanan hidup tanpa menyedari lelaki itu sebenarnya sudah berkahwin dengan Nuha yang dibawakan oleh Angella Joliey.

Hubungan yang bermula sebagai persahabatan perlahan-lahan berubah menjadi punca kehancuran rumah tangga Dhia dan Irsyad. Ketika Dhia hanyut dalam kekeliruan emosinya sendiri, Irsyad pula terpaksa membesarkan anak mereka, Aira, seorang diri di kampung sambil menanggung luka yang tidak pernah benar-benar sembuh. Dalam masa sama, kehadiran Zulin lakonan Cahaya Nilam sedikit demi sedikit membuka ruang baharu dalam kehidupan lelaki itu.

Menurut Dato’ Adi Putra, watak Irsyad menjadi antara karakter paling emosional yang pernah dibawanya kerana lelaki tersebut memilih untuk memendam segala rasa tanpa benar-benar melawan keadaan. “Irsyad bukan seorang lelaki yang melawan dengan kemarahan. Dia lebih banyak menanggung, memendam dan cuba mempertahankan keluarga walaupun dirinya sendiri terluka. Itu yang buat watak ini sangat berat,” katanya.

Bagi Zara Zya pula, Dhia bukan sekadar karakter yang mudah dihukum sebagai wanita curang. Sebaliknya, watak itu memperlihatkan bagaimana tekanan hidup dan emosi yang rapuh mampu mengubah seseorang tanpa disedari. “Dhia bukan seorang wanita jahat, tetapi dia membuat keputusan yang salah ketika berada dalam keadaan emosi yang rapuh. Saya rasa penonton akan banyak marah, kecewa dan mungkin juga simpati dengan perjalanan hidup dia,” ujarnya.

Apa yang membuatkan Luka Di Hujung Setia terasa dekat ialah keberaniannya memperlihatkan sisi realistik sebuah perkahwinan. Tidak semua keruntuhan rumah tangga bermula dengan kebencian. Kadangkala, ia hadir perlahan-lahan bermula daripada keletihan, kesunyian dan rasa tidak difahami yang dipendam terlalu lama. Dalam dunia hari ini yang semakin menyesakkan emosi manusia dengan tuntutan hidup dan tekanan ekonomi, drama ini seperti cermin kepada ramai pasangan yang sedang bertarung mempertahankan hubungan mereka sendiri tanpa diketahui sesiapa.

Dengan kekuatan lakonan Dato’ Adi Putra dan Zara Zya, naskhah ini dijangka menjadi antara drama keluarga paling emosional untuk slot Akasia tahun ini. Ia bukan sekadar kisah tentang curang atau cinta yang gagal dipertahankan, tetapi tentang manusia yang perlahan-lahan kehilangan dirinya sendiri ketika cuba menyelamatkan orang lain. Kerana ada luka yang tidak berdarah di luar, tetapi diam-diam menghancurkan hati dari dalam.

Comments
* The email will not be published on the website.