Dunia automotif semakin bergerak pantas ke arah mobiliti elektrik, justeru keperluan pengguna turut berubah seiring dengan tuntutan gaya hidup moden. Mereka bukan sahaja mahukan kenderaan yang cekap tenaga, tetapi juga menawarkan prestasi, teknologi dan nilai pemilikan yang lebih menyeluruh. Menyedari perubahan itu, BYD Sime Motors tampil memperkenalkan BYD SEALION 7 2026, sebuah SUV elektrik yang kini hadir dengan lebih banyak pilihan, keupayaan lebih tinggi dan pengalaman pemanduan yang dipertingkatkan.
Model terbaharu ini menyaksikan pengenalan varian Dynamic, sekaligus melengkapkan rangkaian Dynamic, Premium dan Performance. Selain membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia memiliki SUV elektrik premium, model Premium dan Performance turut menerima naik taraf ketara menerusi kapasiti bateri lebih besar serta keupayaan pengecasan yang jauh lebih pantas. Hasilnya, pengguna menikmati jarak pemanduan lebih jauh, masa pengecasan yang lebih singkat dan keyakinan lebih tinggi untuk perjalanan harian mahupun jarak jauh.


Sejak diperkenalkan pada 2024, BYD SEALION 7 berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV Elektrik Segmen D nombor satu di Malaysia pada tahun 2025, dengan lebih 6,300 unit diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. Bersempena pelancaran model 2026, slogan "Pinnacle of Performance, Redefined for Tomorrow" turut berevolusi menjadi "Pinnacle of Performance, Redefined FURTHER for Tomorrow", menggambarkan peningkatan menyeluruh dari segi prestasi, kemudahan, aksesibiliti dan keyakinan pemilikan.
Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, pengenalan varian baharu itu memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna tanpa mengorbankan aspek prestasi dan teknologi. "BYD SEALION 7 telah membina reputasi sebagai SUV elektrik segmen D utama yang diterima baik oleh pelanggan Malaysia kerana gabungan prestasi, teknologi, praktikaliti dan reka bentuknya. Dengan pengenalan varian Dynamic serta penambahbaikan pada varian Premium dan Performance, pelanggan kini mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk memilih EV yang paling sesuai dengan gaya hidup mereka. Naik taraf ini menjadikan BYD SEALION 7 2026 sebuah pakej yang lebih lengkap, menawarkan nilai lebih tinggi sambil menyokong perjalanan elektrifikasi negara."


Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew, menegaskan kejayaan sesebuah jenama tidak hanya diukur menerusi angka jualan, sebaliknya melalui pengalaman pemilikan yang dinikmati pelanggan setiap hari.
"Kami percaya kejayaan sesebuah jenama tidak seharusnya diukur berdasarkan jualan semata-mata, tetapi melalui pengalaman pemilikan yang diberikan kepada pelanggan setiap hari. Hari ini, BYD memiliki 44 pusat jualan dan pemasaran, 28 pusat selepas jualan serta 12 pusat badan dan cat di seluruh Malaysia. Kami juga baru melancarkan Program BYD Certified Pre-Owned yang menampilkan bilik pameran pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik. Semua pelaburan ini mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan keyakinan, kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan mereka."
Varian Dynamic menjadi pilihan paling mampu milik dengan harga RM163,800, namun 300 pelanggan pertama berpeluang memilikinya pada harga istimewa RM159,800 selepas penjimatan RM4,000. Sementara itu, varian Premium ditawarkan pada harga RM188,800, manakala Performance berharga RM203,800, masing-masing disertakan promosi pelancaran eksklusif termasuk wallbox percuma serta bonus tukar beli.


Dari sudut teknikal, varian Dynamic menggunakan bateri BYD Blade 71.8 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 520 kilometer (NEDC). Varian Premium pula menerima bateri 91.39 kWh yang meningkatkan jarak perjalanan kepada 650 kilometer, selain pengecasan pantas DC sehingga 230 kW. Bagi mereka yang mengutamakan prestasi, varian Performance menawarkan kuasa 390 kW, tork 690 Nm, pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat, serta jarak pemanduan sehingga 600 kilometer. Kesemua varian dibina menggunakan e-Platform 3.0, dilengkapi Blade Battery, sistem ADAS, sembilan beg udara dan pelbagai ciri keselamatan serta teknologi pintar terkini.
Selain prestasi yang dipertingkatkan, BYD turut memberi perhatian kepada pengalaman pemilikan jangka panjang. Setiap varian 2026 BYD SEALION 7 didatangkan dengan pakej jaminan yang komprehensif, termasuk waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 kilometer, waranti bateri voltan tinggi Blade selama lapan tahun atau 160,000 kilometer, serta waranti unit pacuan untuk tempoh yang sama. Sebagai nilai tambah, pelanggan turut menerima aksesori percuma seperti Vehicle-to-Load (V2L) Adapter dan kabel pengecas Type 2 dengan palam tiga pin, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti untuk kegunaan harian

Komitmen BYD terhadap pasaran tempatan turut diterjemahkan menerusi pembangunan ekosistem yang semakin kukuh. Hari ini, rangkaian BYD di Malaysia merangkumi 44 pusat jualan dan pemasaran, 28 pusat servis selepas jualan serta 12 pusat badan dan cat di seluruh negara. Malah, pelancaran BYD Certified Pre-Owned Programme, yang menampilkan bilik pameran pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik, memperlihatkan kesungguhan jenama itu dalam menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama, malah memperkukuh kedudukan BYD sebagai antara peneraju utama dalam mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik yang lebih lestari.
Sempena pelancarannya, orang ramai boleh melihat sendiri model baharu ini di BEYOND YOUR DRIVE Roadshow yang berlangsung di 1 Utama Shopping Centre dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026. Pelanggan yang membuat tempahan mana-mana model BYD sepanjang acara turut menerima kredit pengecasan RM200, selain menikmati pelbagai pakej nilai tambah yang disediakan.


Di sebalik angka prestasi dan inovasi teknologi, BYD SEALION 7 2026 membawa sebuah mesej yang lebih besar. Ia bukan sekadar memperkenalkan sebuah SUV elektrik yang lebih baik, tetapi mencerminkan bagaimana mobiliti masa depan kini semakin hampir, lebih mudah dimiliki dan lebih relevan dengan keperluan rakyat Malaysia.