oleh: zizi hashim
21 Aug
21Aug

Kuala Lumpur bernafas dengan warna bulan kemerdekaan, dan di tengah denyut kota itu lahir sebuah karya yang menggamit rasa: Cekap, video muzik terbaharu nukilan rapper, penulis lirik dan penggiat seni tempatan, Balan Kash. Diangkat oleh produksi Balan Kash Entertainment, naskhah ini menyulam hip-hop moden, tradisi berakar, dan jiwa kebangsaan dalam visual sarat simbolik yang menggetarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Gemilangnya tahun ini, Balan Kash turut diraikan apabila dua karyanya tercalon bagi kategori “Lagu Hip-Hop Terbaik” di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24). Namun, Cekap membawanya ke ruang lebih mendalam. Bukan sekadar pencapaian seni, tetapi refleksi identiti, keberanian, dan keyakinan yang berakar dalam tanah bernama Malaysia.

“Cekap”, yang menjadi judul album penuh pertamanya dalam bahasa Melayu, lahir sebagai pertembungan unik: dentuman hip-hop moden berpadu dengan alunan klasik India dan nuansa tradisional Malaysia. Kata “cekap” sendiri yang dalam slanga tempatan bermakna tajam, tangkas, tepat diterjemahkan oleh Balan Kash sebagai semangat menyuarakan kebenaran dengan lantang, tanpa kehilangan akarnya. Ia adalah gema yang mengingatkan kita bahawa lebih enam dekad selepas merdeka, perbezaan kita hanyalah warna; denyutnya tetap satu iaitu perpaduan.

Arahan Kinggolddigga menzahirkan sebuah perjalanan visual yang penuh perlambangan. Adegan pembuka, dikir barat berlatarkan lingkaran pemuzik, meletakkan Balan Kash sebagai jambatan antara warisan dan kontemporari. Dari situ, naratif bergerak ke pusat derma darah, metafora lantang bahawa darah kita merah sama, tanpa memandang bangsa atau agama.

Klimaksnya hadir dengan “Circle of Unity”, babak ketika sekumpulan individu berbilang kaum mencelup tangan ke dalam cat merah lalu membentuk lingkaran bersama. Perselisihan yang terlukis antara Balan Kash dan anggota polis akhirnya terlerai dengan genggaman tangan. Lambang perdamaian, penghormatan, dan persefahaman. Keseluruhan babak berakhir dengan latar merah membara, melambangkan keberanian yang tidak pernah padam.

“Bagi saya, Cekap adalah cerminan Malaysia yang saya kenali sejak kecil. Saya dibesarkan di Klang, di tengah masyarakat berbilang kaum yang penuh warna. Dari situ saya belajar, kekuatan kita tercipta saat kita bersatu, bukan bila berpecah,” ujar Balan Kash dengan mata berbinar. Beliau menegaskan bahawa lagu ini adalah karyanya yang paling peribadi. Dedikasi tulus buat tanah air tercinta. “Setiap rakyat Malaysia punya cerita yang berbeza, tetapi kita berkongsi satu semangat. Cekap adalah cara saya meraikan kebebasan, kepelbagaian, dan keberanian untuk terus mara bersama.”

Cekap turut menerima sokongan Dana Kebolehan Pasaran (Domestik 2.0) oleh Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik, sebuah inisiatif daripada MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM). Balan Kash Entertainment menzahirkan penghargaan mendalam kepada usaha kerajaan dalam memperkasa bakat kreatif tempatan agar terus bersinar di peringkat global. 

MV rasmi Cekap kini boleh distrim di saluran YouTube rasmi Balan Kash. Saksikan sendiri bagaimana hip-hop, tradisi, dan semangat perpaduan Malaysia diadun dalam visual puitis yang membakar rasa cinta tanah air. Ini bukan sekadar tontonan, tetapi pengalaman — sebuah seruan halus agar kita ingat bahawa darah kita sama, tanah ini satu, dan jiwa kita terikat pada nama yang sama: Malaysia.

Comments
* The email will not be published on the website.