oleh: zizi hashim
04 Oct
04Oct

Nada pertama Mengukir Takdir mengalun seperti doa yang dibisikkan di tengah malam yang panjang, lembut namun menggetarkan. Di sebalik harmoni itu, tersimpan semangat dua jiwa bernama Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, pasangan adik-beradik yang sejak awal perjalanan seni mereka tidak pernah memisahkan muzik daripada misi kemanusiaan. Karya ini, lahir seiring dengan penyertaan mereka dalam Global Sumud Flotilla ke Gaza, seolah menjadi gema batin tentang perjuangan, pengharapan, dan ketundukan kepada takdir yang ditulis Tuhan.

Dicipta oleh Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri, dan diterbitkan di bawah naungan Alternate Records & Talents, lagu ini melangkaui batas muzik konvensional. Ia memadukan elemen Arab, lapisan koir dan vokal dua bersaudara yang saling berpaut dalam harmoni, menjadikan Mengukir Takdir bukan hanya lagu perjuangan, tetapi juga refleksi jiwa yang mendalam.

“Dari awal kami tahu, lagu ini bukan lagu mudah,” ujar Heliza dan Hazwani dengan senyum tenang. “Mengukir Takdir menuntut tenaga yang luar biasa. Teknik vokal yang tinggi, emosi yang tulus, dan jiwa yang benar-benar menyerah kepada makna liriknya. Tapi setiap kali kami menyanyikannya, terasa seolah sedang berbicara dengan Allah.”

Proses rakaman dijalankan dalam suasana intens, mengambil masa 5 jam bagi sesi demo dan tempoh sama untuk rakaman akhir. Di bawah bimbingan Wan Saleh yang pernah bekerja bersama mereka sebelum ini, setiap nota disusun seperti hela nafas secara cermat dan jujur. “Beliau memahami warna suara kami, tahu di mana letak lembutnya doa dan kerasnya perjuangan,” kata mereka lagi.

Keindahan Mengukir Takdir tidak hanya terletak pada melodi, tetapi pada lapisan makna yang mampu disentuh dari pelbagai sisi kehidupan. Ada yang mendengarnya sebagai lagu perjuangan saudara di Gaza, ada yang melihatnya sebagai seruan untuk memperkuat diri menghadapi takdir hidup, dan ada yang merasakan ia sebagai lagu penguat bagi setiap wanita yang bertahan dalam diam.

“Setiap pendengar berhak menemukan takdirnya sendiri melalui lagu ini,” ujar mereka. “Kami hanya menyampaikan. Selebihnya, biarlah ia menjadi perbualan antara hati manusia dan Tuhan.” Gabungan dua suara ini bukan sahaja menghidupkan lirik, tetapi juga mencipta ruang untuk pendengar merenung: tentang sabar, redha dan kekuatan dalam kehilangan. Seolah setiap baitnya memeluk jiwa yang sedang mencari arah, sambil mengingatkan bahawa di sebalik luka, ada kasih Ilahi yang sedang menenun makna.

Dengan keluaran ini, Mengukir Takdir menandakan permulaan kolaborasi rasmi antara The Helmis dan Alternate Records & Talents. Ia juga menjadi simbol bahawa muzik spiritual dan kemanusiaan masih mampu berdiri megah di tengah arus hiburan yang sering dikuasai oleh formula popular.

Seperti firman dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6, yang turut menjadi inspirasi lagu ini: “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” Setiap bait Mengukir Takdir menggemakan ayat ini, menuntun pendengar untuk percaya bahawa ujian bukan akhir, tetapi pintu menuju kebangkitan.

Kini Mengukir Takdir telah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music, menanti untuk dijadikan zikir bagi hati yang sedang belajar berdamai dengan takdirnya sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.