Aura romantik yang sekian lama dirindukan akhirnya kembali menyapa layar televisyen menerusi Bisik Asmara, sebuah drama bersiri yang menganyam kesunyian, godaan perasaan dan pilihan-pilihan rapuh dalam kehidupan moden. Siri 20 episod terbitan Saphire Screen ini menemui penonton bermula 21 Januari hingga 10 Februari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam menerusi slot Samarinda TV3 serta platform penstriman iQIYI.
Diterajui lakonan Zul Ariffin, Uqasha Senrose dan Sophia Albarakbah, naskhah ini digerakkan oleh arahan Jamal Khan dengan skrip hasil nukilan Rozie Rashid bersama Zakinah Ab Zarith. Gabungan ini menyusun sebuah cerita yang berlapis, mempertemukan watak-watak yang hidup dalam keteraturan luaran, namun bergolak di ruang batin yang tersembunyi.
Farhan, yang dibawakan oleh Zul Ariffin, digambarkan sebagai lelaki berkeluarga yang kelihatan tenang dan bertanggungjawab. Perkahwinannya bersama Sheila (Sophia Albarakbah) teruji oleh jarak dan pengorbanan, apabila Sheila memilih untuk menetap di kampung demi menjaga ibunya, Umi (Ruminah Sidek), yang uzur dan menghidap demensia. Jarak fizikal itu secara perlahan mencipta ruang emosi yang semakin sukar ditutup.

Pertemuan Farhan dengan Noreen (Uqasha Senrose), seorang wanita berdikari dan berkerjaya, bermula tanpa niat tersirat. Namun kesunyian yang lama dipendam, digabungkan dengan kehadiran yang kerap dan empati yang kelihatan tulus, menjadikan batas perasaan semakin kabur. Noreen bukan watak yang hadir secara kebetulan; dia tahu bila harus mendekat, bila harus menekan, dan bila perlu membiarkan emosi bekerja sendiri.
Episod demi episod menyaksikan hubungan yang awalnya tampak tidak bersalah mula berubah arah. Satu penemuan kecil iaitu sehelai baju yang tidak sepatutnya berada di tempat tertentu, menjadi pencetus kepada gelombang kecurigaan dan persoalan yang semakin sukar dielakkan. Cemburu, justifikasi dan pujukan disusun rapi, seakan-akan setiap kata mampu menutup kesalahan yang sedang membesar.
Noreen pula mula meyakini bahawa dirinya lebih memahami Farhan berbanding wanita yang bergelar isteri. Sheila, yang selama ini berkorban dalam diam, perlahan-lahan menangkap perubahan yang tidak mampu lagi disangkal. Ketegangan emosi terus meningkat, memaksa setiap watak berdepan pilihan yang akan meninggalkan kesan berpanjangan.

Menurut Zul Ariffin, watak Farhan mencerminkan realiti ramai lelaki hari ini, “Farhan bukan lelaki jahat. Dia terperangkap antara tanggungjawab dan keperluan untuk difahami sebagai manusia. Cerita ini tidak menuding jari, sebaliknya membuka ruang perbincangan tentang bagaimana keputusan yang dibuat ketika hati sunyi boleh mengubah segalanya,” jelasnya.
Dengan penceritaan yang matang, konflik psikologi yang dirangka teliti serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon utama, Bisik Asmara mengajak penonton menilai semula makna kesetiaan, kejujuran dan batas moral dalam hubungan. Setiap episod hadir sebagai cerminan kepada realiti yang sering disenyapkan, namun dekat dengan kehidupan seharian.
Bisik Asmara ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Episod baharu juga boleh distrim secara eksklusif di iQIYI satu jam selepas siaran televisyen, menerusi laman web rasmi atau aplikasi di Google Play dan App Store.
