oleh: zizi hashim
18 May
18May

Sesebuah semesta tidak dibina dalam satu malam. Ia tumbuh perlahan-lahan, melalui petunjuk kecil, simbol yang tersembunyi dan persoalan yang sengaja dibiarkan tergantung dalam kepala penonton. Selepas mencetuskan fenomena luar biasa menerusi Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning awal tahun lalu, Astro Shaw kini kembali menggegarkan peminat dengan pendedahan baharu menerusi Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha, sebuah video misteri yang membuka dimensi lebih gelap dan penuh teka-teki dalam dunia sinematik mereka.

Jika sebelum ini Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning menjadi titik permulaan yang menemukan karakter-karakter ikonik seperti Inspektor Sani dan Inspektor Khai daripada Polis Evo, Kahar dari High Council serta bayangan adiwira legenda Keluang Man, kali ini Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha membawa penonton lebih jauh ke dalam sisi misteri ASCU yang semakin kompleks.

Namun menariknya, Astro Shaw menjelaskan bahawa Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha bukanlah sekuel kepada “The Beginning”. Sebaliknya, ia memperkenalkan bayangan lain yang seolah-olah membuka pintu kepada konflik dan dimensi baharu dalam semesta tersebut. Dalam video berdurasi 1 minit 52 saat itu, penonton diperlihatkan kehadiran satu karakter misteri yang kelihatan seperti sedang memburu sesuatu. Dalam masa sama, kemunculan sebuah kitab dengan simbol segitiga terus mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan peminat tentang kaitannya dengan dunia ASCU.

Dan seperti biasa, Astro Shaw sengaja membiarkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Di bawah seliaan Alfie Palermo selaku Pengarah Kreatif ASCU, video tersebut diarahkan oleh dua nama muda yang semakin mencuri perhatian dunia kandungan digital dan VFX tempatan iaitu Mshaffuan dan Sofyank. Sinematografinya pula dikendalikan Nicholas Chin, pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

Gabungan visual gelap, efek sinematik dan gaya pengarahan moden membuat Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha terasa jauh lebih besar daripada sekadar video promosi biasa. Ia seperti serpihan puzzle yang perlahan-lahan membentuk dunia sinematik tempatan berskala besar pertama di Malaysia. Bagi memperluaskan lagi pengalaman peminat, Astro Shaw turut bekerjasama dengan Kopi WONDA menerusi platform digital khas dikenali sebagai Spill The Beans atau STB. Menerusi watak Wan Daud sebagai “penghubung”, STB bakal membongkar pelbagai petunjuk tersembunyi, teori dan easter eggs berkaitan ASCU bagi mengajak peminat terus menganalisis setiap perkembangan dunia tersebut.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, video ASCU sebelum ini berjaya meraih lebih 26 juta tontonan di media sosial selain mencetuskan gelombang teori dan perbincangan luar biasa dalam kalangan peminat. “Penonton melihat video tersebut sebagai puzzle sehingga mencetuskan pelbagai teori untuk dirungkai. Kehadiran ASCU: Kitab Kataha dijangka mencipta lebih banyak persoalan dan perdebatan,” katanya. Beliau turut menyifatkan pendekatan ini menjadikan peminat bukan lagi sekadar penonton pasif, tetapi aktif membina teori dan menyusun sendiri hubungan antara setiap filem dalam ASCU.

Lebih menarik, pelancaran rasmi Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha turut berlangsung di Immersify Kuala Lumpur, sebuah galeri seni media imersif pertama Malaysia yang terletak di Bukit Bintang City Centre. Ruang seluas 30,000 kaki persegi dengan teknologi visual berskala besar dan zon 360 darjah itu bakal menjadi lokasi pengalaman imersif untuk filem-filem Astro Shaw seperti Malam Terlarang, Keluang Man dan Polis Evo tidak lama lagi.

Dan mungkin di situlah arah sebenar ASCU sedang bergerak, bukan lagi sekadar filem yang ditonton di layar, tetapi dunia yang perlahan-lahan hidup di sekeliling penontonnya sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.