Bukan semua muzik lahir untuk didengar sekali lalu. Ada lagu yang hadir seperti pelukan sunyi: perlahan, jujur dan diam-diam menyentuh ruang paling rapuh dalam hati manusia. Dalam dunia yang semakin riuh dengan hiburan segera, Ari Lesmana memilih jalan berbeza. Bukan sekadar mahu menghiburkan, tetapi mengajak manusia tenggelam bersama emosi yang selama ini mereka cuba sembunyikan. Dari rasa itulah lahirnya MANGU di Kuala Lumpur.
Diumumkan secara rasmi oleh Rockstage Entertainment, konsert solo tersebut bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2026 dalam sebuah persembahan yang dijangka menjadi antara pengalaman muzik paling intim dan emosional tahun ini.
Namun “Mangu” bukan sekadar tajuk konsert biasa. Istilah itu sendiri membawa makna tentang keadaan manusia yang terkesima, termenung atau tenggelam dalam lautan emosi yang terlalu dalam untuk dijelaskan dengan kata-kata biasa. Dan itulah dunia yang mahu dibawa Ari Lesmana ke atas pentas Zepp KL nanti. Sebuah malam penuh renungan, luka, cinta dan kejujuran yang hidup dalam lagu-lagunya.

Bagi ramai peminat Nusantara, nama Ari Lesmana sendiri sudah cukup sinonim dengan karya-karya yang terasa dekat dengan jiwa manusia. Lirik-liriknya bukan sekadar puisi kosong, tetapi seperti catatan hidup yang pernah dialami ramai orang dalam diam.Menurut wakil Rockstage Entertainment, konsert tersebut akan membawa sisi Ari yang lebih peribadi menerusi susunan lagu khas yang dibina untuk malam tersebut.
“Beliau adalah seorang storyteller yang hebat. Kami mahu setiap peminat merasai keintiman dan kualiti bunyi terbaik sepanjang persembahan ini,” ujar wakil penganjur. Namun apa yang benar-benar mencuri perhatian ramai adalah keberanian Ari bereksperimen melangkaui bunyi muzik yang biasa dibawanya sebelum ini.
Untuk MANGU di Kuala Lumpur, beliau bakal bergandingan dengan DJ Firza, produser muzik elektronik yang terkenal dengan sentuhan bunyi sofistikated dan atmosferik. Gabungan vokal lunak dan puitis Ari bersama rentak elektronik moden DJ Firza dijangka melahirkan nuansa “Indie-Electronic” yang lebih segar dan eksperimental. Satu percubaan berani yang dijangka memberi pengalaman audio-visual berbeza daripada mana-mana persembahan Ari sebelum ini di Malaysia.

Turut menambah warna malam tersebut ialah kemunculan istimewa ENAU, artis muda yang sedang meningkat naik menerusi karya-karya penuh emosi dan lirik jujur yang dekat dengan generasi hari ini. Kehadiran ENAU dijangka melengkapkan keseluruhan naratif “Mangu” yang bermain dengan rasa kehilangan, kerinduan dan pencarian diri manusia dalam dunia yang semakin sesak dan melelahkan.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula bukan dilakukan secara kebetulan. Venue bertaraf antarabangsa itu terkenal dengan sistem bunyi berkualiti tinggi dan suasana lebih intimate: sangat sesuai dengan konsep “Mangu” yang mahu penonton benar-benar merasai setiap lagu, setiap bisikan dan setiap emosi yang disampaikan di atas pentas. Penganjuran konsert ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap kempen Visit Malaysia 2026, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi hiburan serantau yang terus menjadi pilihan artis antarabangsa.

Tiket rasmi MANGU di Kuala Lumpur kini sudah mula dijual menerusi MyTicketEmpire dan dijangka habis dalam tempoh singkat susulan sambutan luar biasa daripada peminat Malaysia serta Indonesia. Dan mungkin untuk satu malam nanti, Zepp Kuala Lumpur tidak lagi sekadar venue konsert biasa… tetapi berubah menjadi ruang di mana ribuan manusia datang bersama luka, memori dan rasa yang akhirnya menemukan rumahnya semula melalui muzik.