Setiap perjalanan seni punya luka, punya cahaya, dan punya bahasa tersendiri. Selepas lebih sedekad menganyam kisah jatuh bangun, Kael akhirnya menyingkap lembaran baru dengan mempersembahkan muzik video rasmi untuk single terbarunya yang diberi judul ‘Angkasa’. Lagu ini hadir bukan hanya sebagai single ke-4 beliau bersama Alternate Records, tetapi sebagai naskhah paling intim yang pernah lahir dari hatinya.
Untuk pertama kali, Kael terjun sepenuhnya ke dalam arus kreatif dari nada pertama hingga ke visual terakhir demi membentuk satu karya yang benar-benar memantulkan jiwanya sendiri. Terbit daripada himpunan rasa, luka, dan harapan, ‘Angkasa’ menjelma sebagai balada pop moden yang membawa pesan tentang keteguhan dan sinar yang masih mungkin ditemui dalam kegelapan. Kael menyifatkan lagu ini sebagai cerminan kematangannya sebagai seorang seniman
“Setiap bait lahir daripada perjalanan peribadi saya. ‘Angkasa’ ialah momen di mana saya benar-benar berani membuka diri kepada dunia. Saya mahu pendengar yang pernah diuji oleh hidup menemukan kekuatan mereka di dalamnya. Dengan kos keseluruhan projek mencecah RM500,000, ini adalah karya paling peribadi, paling bermakna sepanjang karier saya,” ujar Kael dengan penuh kejujuran.
Muzik video ‘Angkasa’ tampil dengan konsep ‘Diamond in the Sky & Masquerade’ di mana permata melambangkan cinta yang abadi dan jernih, manakala topeng membawa simbol sisi diri yang disembunyikan dari dunia. Dua perlambangan ini disatukan untuk mengungkap hakikat bahawa biarpun manusia sering berlapis dengan rahsia, cinta tulen tetap bersinar sebagai cahaya yang mengatasi segala bayang.
Pelancaran yang berlangsung di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada Jumaat lalu menyulam detik yang meriah dan penuh emosi. Peminat setia serta rakan media yang hadir bukan sahaja menyaksikan persembahan langsung Kael dengan lagu ‘Angkasa’, malah dihidangkan dengan tayangan muzik video buat pertama kali.
Suasana pun bergema dengan tepukan panjang yang hangat. Kini, karya yang digarap dari hati ini sudah tersedia untuk dinikmati dunia. Muzik video ‘Angkasa’ boleh disaksikan di YouTube, manakala lagunya juga sudah boleh didengar di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.