Gelora rumah tangga kembali menyala menerusi Andai Itu Takdirnya 2, kesinambungan karya daripada sentuhan emas novelis Siti Rosmizah yang kini hangat bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran 104 (RIA), Astro. Musim kedua terbitan SR ONE Sdn. Bhd ini menyambung denyutan konflik yang pernah mencetus fenomena pada 2023, namun kali ini dengan emosi yang lebih tajam dan pertaruhan yang lebih berat.
Sepuluh episod awal sudah cukup membuat penonton menghela nafas panjang melihat sikap ‘red flag’ Aizril yang masih terjerat dengan bayang ‘penyondol’. Watak yang dijayakan Shukri Yahya itu terus menguji kesabaran apabila mendesak izin berpoligami dengan Azreen (lakonan Nadia Brian) atas alasan menyelamatkan syarikatnya yang hampir muflis.


Sementara itu, Aleya yang dibawakan Hannah Delisha tidak lagi berdiri sebagai wanita yang mudah dipatahkan. Walaupun kini berdepan kecacatan pada tangan, dia tampil dengan ketegasan yang mengejutkan ramai. Keputusan Aizril menyimbah muka Aleya dengan sup panas selepas termakan hasutan Azreen menjadi babak yang mencetuskan kemarahan penonton. Adegan yang memperlihatkan rapuhnya kepercayaan dan betapa mudahnya seorang suami terjerumus dalam manipulasi.
Namun, Aleya musim ini jauh berbeza. Dia berani menyuarakan pendirian, malah sanggup meminta cerai serta memberi izin kepada Aizril untuk menikahi Azreen. Ironinya, lelaki itu pula tidak mahu melepaskan, sebaliknya mahu kedua-duanya hidup dalam poligami. Konflik yang mengikat tiga hati ini semakin kompleks, memaksa penonton mempersoalkan makna kesetiaan dan harga sebuah maruah.


Menurut Hannah, pembentukan karakter Aleya yang lebih tegas lahir daripada perbincangan bersama pengarah Feroz Kadir. “Rasa sayu dan hancur kerana dikhianati itu pasti ada. Aleya akan menangis apabila berdepan masalah itu. Namun kali ini dia lebih berani melawan dan tegas dengan pendirian terhadap Aizril. Dia juga tidak akan menumpahkan air mata di hadapan anak-anak demi menunjukkan dirinya kuat. Tapi apabila bersama rakan baik dan ibunya, dia akan menangis,” ujar Hannah.
Watak Aizril pula kekal dengan sisi panas baran dan celaru, terutamanya apabila terpaksa membuat keputusan berkaitan wanita dan perniagaan. Dilema antara mempertahankan rumah tangga atau menyelamatkan bisnes menjadi konflik dalaman yang meretakkan segala yang pernah dibina.


Drama 40 episod ini turut dibintangi Fahrin Ahmad, Puteri Sarah Liyana, Laila Nasir, Aida Khalida dan Idzham Ismail, menjadikan naskhah ini lebih sarat dengan warna dan dinamika. Tayangan menerusi slot MegaDrama di Astro Ria serta platform Sooka memastikan kisah ini terus menjadi perbualan hangat setiap minggu.
Andai Itu Takdirnya 2 tidak sekadar menyambung cerita lama. Ia menguji batas sabar, menggugat persepsi tentang cinta dan tanggungjawab, serta memperlihatkan transformasi seorang wanita yang akhirnya memilih untuk berdiri atas kakinya sendiri.
