oleh: zizi hashim
15 May
15May

Ada pertemuan yang terasa mustahil pada awalnya, tetapi apabila dua dunia akhirnya bertembung, sesuatu yang luar biasa perlahan-lahan lahir tanpa dipaksa. Dalam dunia muzik yang semakin selesa bermain di zon sama, Aizat Amdan memilih untuk melangkah lebih jauh. Dia meninggalkan ruang familiar yang selama ini membesarkan namanya demi mencipta sesuatu yang lebih segar, lebih berani dan lebih bernyawa. Dari keberanian itu lahirlah "Ajar Aku", sebuah kolaborasi unik bersama Sekumpulan Orang Gila atau SOG.

Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment, karya tersebut bukan sekadar gabungan dua nama besar berbeza genre, tetapi menjadi simbol eksperimen bunyi yang jarang benar-benar berlaku dalam arus muzik tempatan hari ini. Menggabungkan kelembutan soulful dan penceritaan emosional yang cukup sinonim dengan Aizat bersama energi agresif post-hardcore milik SOG, "Ajar Aku" hadir sebagai karya pop rock progresif dengan sentuhan alternatif moden dan elemen sinematik yang terasa jauh lebih besar daripada kebiasaan.

Menariknya, lagu tersebut tidak lahir melalui perancangan besar atau sesi penulisan formal seperti kebanyakan karya komersial lain. Sebaliknya, semuanya bermula secara spontan ketika rakaman Dari Studio Podcast, podcast yang dikendalikan oleh Aizat yang memberi fokus kepada proses penciptaan lagu secara langsung bersama tetamu jemputan. SOG yang hadir sebagai tetamu episod tersebut pada Mei tahun lalu akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif yang perlahan-lahan melahirkan lagu ini secara organik di depan kamera dan mikrofon.

“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri. Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya ‘Ajar Aku’ lahir secara organik daripada sesi tersebut,” kata Aizat. Namun di sebalik bunyi rock moden dan susunan muzik yang lebih eksperimental, "Ajar Aku" sebenarnya membawa tema yang sangat manusiawi: tentang ego, penerimaan dan keberanian untuk terus belajar daripada kehidupan.

Menurut Aizat lagi, lagu tersebut berbicara tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu meminta tunjuk ajar daripada orang lain. “Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” ujarnya.

Dari sudut bunyi pula, cabaran terbesar mereka adalah mencari keseimbangan antara dua identiti vokal yang sangat berbeza. Aizat hadir dengan tona soulful yang lembut, manakala Raja Nazrin Shah membawa karakter vokal rock yang lebih keras dan agresif. “Kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” jelas Aizat lagi.

Keseluruhan lagu turut diperkukuhkan dengan sentuhan produksi Anas Amdan yang membentuk lapisan strings dan tekstur sinematik yang membuat karya tersebut terasa lebih dramatik dan emosional.

Namun mungkin kejutan paling besar dalam lagu ini adalah kemunculan istimewa Yuna di penghujung lagu. Menurut Aizat, bahagian vokal wanita tersebut pada asalnya hanyalah suara AI yang digunakan sebagai demo sementara ketika proses rakaman di KGE Studio. Namun secara kebetulan, Yuna yang ketika itu berada di studio sama untuk menyiapkan album baharunya terdengar lagu tersebut sebelum menawarkan diri merakamkan bahagian akhir tersebut.

“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” kata Aizat. Yuna juga menjadi antara individu paling awal mempercayai potensi lagu tersebut, termasuk memberi dorongan supaya video muzik rasmi dihasilkan.

Bagi Aizat sendiri, "Ajar Aku" bukan sekadar eksperimen genre, tetapi usaha memperluaskan sempadan muzik tempatan agar lebih terbuka terhadap bunyi dan identiti baharu. “Saya mahu ‘Ajar Aku’ menjadi lagu yang timeless dan terus relevan walaupun masa berlalu,” katanya penuh harapan. Dan mungkin benar… ada lagu yang tidak dicipta untuk mengikut trend sementara. Ia lahir untuk tinggal lebih lama dalam jiwa manusia.

Comments
* The email will not be published on the website.