oleh: zizi hashim
19 Aug
19Aug

Sorotan lampu, riuh tepukan, dan keanggunan luar jangka mencipta satu malam yang akan dikenang, Cat Fashion Week melabuhkan tirainya pada 18 Ogos 2025 lalu dengan kemenangan bersejarah milik Nor Anis Halyatie bersama si ragdoll bangsawan, Evian. Gelaran super meow-del pertama Malaysia itu disempurnakan dengan trofi berkilau serta wang tunai RM5,000, diikuti sorakan penonton yang masih bergema dalam ingatan. Goyem pula, si bulus dari Kedah yang penuh keletah, membawa pulang Anugerah FELIX – Si Bulus Paling Memikat, hadiah istimewa daripada penaja Purina.

Keghairahan acara ini melampaui jangkaan, 3.2 juta penonton TV3 menyaksikan kemuncaknya (sumber: Nielsen). Laman sosial pula meletup dengan capaian lebih 515 juta interaksi; dari Siri Kucing AI hinggalah ke foto-foto pra-penjurian, semuanya menjelma fenomena baharu di kalangan pencinta si bulus (sumber: Meltwater & SproutSocial).

Namun di sebalik gemerlapan pentas, terhampar kisah-kisah kecil penuh dedikasi. Setiap finalis melalui perbincangan intensif bersama produksi, demi memastikan konsep mereka benar-benar mekar di pentas. Ada yang melabur tenaga dan masa untuk mendapatkan fabrik import, ada juga yang berdepan cabaran melatih kucing agar selesa menyarung kostum di bawah cahaya spotlight dan tatapan ratusan mata.

Keunikan acara ini terletak pada gabungan kesungguhan manusia dan ketenangan haiwan. Pemilik bukan sahaja berfikir tentang busana atau tema, malah menimbang keselesaan dan ekspresi si bulus, sebuah proses kreatif yang menuntut kesabaran. “Ia seperti mencipta memori baru bersama sahabat yang berbulu,” kata seorang peserta, mengisyaratkan bahawa pertunjukan ini lebih daripada sekadar perlumbaan fesyen.

Variasi tema yang lahir daripada imaginasi peserta mencipta warna pada pentas akhir, daripada props buatan tangan hinggalah rekaan baju yang menjelmakan fantasi dan gaya. Penonton bukan sahaja terhibur, malah memperoleh panduan berguna tentang grooming dan penjagaan kucing melalui perkongsian juri serta peserta.

Dengan sokongan penaja PURINA FELIX – Rasa Memikat, Kucing Buat Apa Saja!, rakan radio rasmi Hot FM, dan rakan digital SAYS, Cat Fashion Week membuktikan bahawa kasih terhadap kucing boleh dipersembahkan dengan penuh gaya, mencipta fenomena budaya pop yang mengikat hati jutaan rakyat Malaysia.

Comments
* The email will not be published on the website.