oleh: zizi hashim
30 Aug
30Aug

Percaturan populariti kembali panas. Nama besar, bintang yang sedang mendaki, karya yang mencetuskan fenomena dan figura yang menguasai percakapan khalayak kini memasuki satu gelanggang yang sama apabila Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 kembali dalam skala yang lebih besar. Membawa tema “Power”, AMT 2026 mempertaruhkan 16 anugerah, termasuk tujuh kategori baharu yang memperluaskan lagi medan persaingan dan memberi ruang kepada lebih banyak sisi industri hiburan tempatan untuk diraikan.

Pentas kemuncaknya bakal berlangsung pada Ahad, 18 Oktober 2026, jam 9 malam, dengan siaran langsung menerusi TV3 dan Tonton. Namun sebelum nama pemenang diumumkan dan trofi bertukar tangan, kuasa memilih terlebih dahulu diserahkan kepada kelompok yang selama ini menjadi nadi kepada populariti seseorang selebriti, tak lain tak bukan peminat mereka. Selari dengan tema “Power”, AMT 2026 bergerak menerusi tiga elemen utama. “Star Power” meraikan keunikan dan kekuatan yang membuat seseorang selebriti menyerlah, sementara “Fan Power” meletakkan peminat sebagai penentu kemenangan. Melengkapkan rangka itu ialah “Melodi’s Power”, menggambarkan peranan platform berkenaan dalam menggerakkan momentum arena hiburan tempatan.

Tiga bentuk ‘kuasa’ ini akhirnya bertemu pada satu titik: siapa yang mempunyai pengaruh paling kuat sehingga mampu menggerakkan peminat untuk mengundi? Persaingan kali ini pula menjadi lebih luas apabila tujuh kategori baharu diperkenalkan, iaitu Lagu Terhangat, Drama Sangat Terhangat, Direktor & Filem Terhangat, Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat. Sembilan kategori yang dikekalkan ialah Fresh Rising Star Terhangat Darlie, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Viral Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat dan Tonton Original Terhangat.

Meneliti senarai Top 10, persaingan Selebriti Maskulin Terhangat sahaja sudah cukup untuk membuat peminat berbelah bahagi. Syafiq Kyle, Datuk Yusry Abdul Halim, Shukri Yahaya, Beto Kusyairy, Ikmal Amry, Amir Ahnaf, Kamal Adli, Hael Husaini, Amir Masdi dan Fattah Amin membentuk kelompok sepuluh calon kategori tersebut. Bagi Selebriti Feminin Terhangat, persaingan menemukan Anna Jobling, Mimi Lana, Sophia Albarakbah, Daiyan Trisha, Tracie Sinidol, Fasha Sandha, Emma Maembong, Aina Abdul, Aisha Retno dan Siti Khadijah Halim.

Sementara muzik menyaksikan Aisha Retno, DOLLA, Hael Husaini, Mimifly, Amir Masdi, Ernie Zakri, Aina Abdul, Khai Bahar, Hujan dan K.O.I beradu pengaruh untuk gelaran Selebriti Muzik Terhangat. Nama-nama itu bukan asing dalam radar hiburan semasa. Ada yang menguasai skrin, ada yang kuat di pentas muzik dan sebahagiannya pula memiliki kelompok peminat yang cukup ampuh di media sosial.Di AMT, semua kekuatan itu akan diuji menerusi satu bahasa yang sama iaitu undi.

Kategori Selebriti Couple Goals Terhangat pula antara yang berpotensi mencetuskan percakapan. Antara 10 pasangan yang tercalon ialah Syamel & Ernie Zakri, Fattah Amin & Amira Othman, Syafiq Kyle & Mimi Lana, Datuk Yusry Abdul Halim & Datin Lisa Surihani, Aiman Hakim Ridza & Zahirah Macwilson, Datuk Seri Vida & Datuk Fazley Yaakob, Janna Nick & Dini Schatzmann, Datin Intan Najuwa & Datuk Ahmad Azraf Azman, Anzalna Nasir & Hanif Zaki serta Ain Edruce & Amirul Hafiz.

Persaingan menjadi lebih sengit apabila AMT tidak hanya melihat siapa yang popular secara individual, tetapi turut meraikan pasangan, keluarga dan keserasian dua figura yang berjaya menarik perhatian khalayak. Untuk Selebriti Chemistry Terhangat, antaranya terdapat gandingan Anna Jobling & Jazmy Juma, Amira Othman & Irfan Haris, Hael Husaini & Dayang Nurfaizah, Kamal Adli & Ain Edruce, Sharnaaz Ahmad & Shukri Yahaya serta Amir Ahnaf & Siti Khadijah Halim.

Muzik mendapat satu lagi sorotan menerusi kategori baharu Lagu Terhangat. Antara karya yang memasuki Top 10 ialah "Jodoh Lebaran" nyanyian Aisha Retno, "Dalam Diam" oleh Zynakal, Zamir Harith & Bel Janni, "Adek Saye Abe Sore" oleh Eda Ezrin & Den Manjo, "Sayang Orang Sama" oleh Adira Suhaimi, serta "Nurcinta" oleh Amir Masdi. Turut bertanding ialah "Tiwikarma" oleh K.O.I, "Kota Ini Tak Sama Tanpamu" oleh Nadhif Basalamah, Aziz Harun & Aisha Retno, selain "Menamakanmu Cinta" oleh Dato Sri Siti Nurhaliza & Ade Govinda dan "Kopi" oleh NAZU & Fahimi.

Lagu-lagu ini datang daripada warna muzik dan kelompok pendengar yang berbeza. Maka sukar meneka siapa akan mendominasi apabila kemenangan akhirnya berpulang kepada kekuatan sokongan peminat. Ruang baharu turut diberikan kepada karya televisyen dan layar lebar. Kategori Drama Sangat Terhangat mempertaruhkan judul seperti Doa Yang Terlindung, Sumpah Ibuku, Setia Itu Mahal, Yes! Captain Zul Aaryan, Dorm 403, Bila Cinta Menjadi Dosa, Khianat Yang Terpilih, Anom Suraya, Jiwa Seorang Pentaksub dan Kerana Cinta Itu Dusta.

Untuk Direktor & Filem Terhangatsenarainya turut mencerminkan kerancakan filem tempatan yang terdiri daripada Nizam Razak menerusi Papa Zola The Movie, Usamah Zaid dengan Ejen Ali The Movie 2, Razaisyam Rashid menerusi Tarung: Unforgiven, Zulkarnain Azhar dengan Polong, hinggalah Abhilash Chandra & Syafiq Yusof menerusi Blood Brothers: Bara Naga. Sementara kategori Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO mempertemukan Shila Amzah, Alif Satar, Hael Husaini, Yuna, Bront Palarae, Aina Abdul, Syafiq Kyle, Datuk Rosyam Nor, Nigel Sparks dan Khairul Aming.

Kesemua kategori dan calon diumumkan menerusi pelancaran digital “Malam Start Menekan!”, sekaligus membuka tirai perjalanan menuju malam kemuncak AMT 2026. Undian digital dibuka selama enam minggu, dari 3 September hingga 8 Oktober 2026 menerusi Tonton. Setiap akaun berdaftar menerima lima undian, manakala pemegang akaun Tonton yang melanggan pelan tiga bulan menerima 2,500 undian dan pelanggan pelan 12 bulan pula memperoleh 10,000 undian. Di sinilah Fan Power benar-benar memainkan peranan. Populariti mungkin membawa seseorang ke dalam senarai pencalonan, tetapi untuk membawa pulang trofi, peminat perlu menterjemahkan sokongan itu menjadi undian.

Kemeriahan Oktober tidak berakhir selepas malam anugerah. Enam hari kemudian, CUCKOOTOPIA – Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 Dihangatkan Oleh AMT 2026 bakal mengambil alih Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2026, bermula 6.30 petang sehingga tengah malam. Antara tarikan utamanya ialah bintang Korea Selatan merangkap Duta Global CUCKOO, Lee Junho.Turut berada dalam barisan persembahan ialah penyanyi Taiwan Trevor Kuo, Duta CUCKOO Phei Yong, selain Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Ella, Mimifly, ALPHA, 3P, Jeryl Lee, Umairah, Odda, Emily dan Janice Yoong, bersama 15 peserta program realiti 8TV, Youthopia.

AMT 2026 sendiri mendapat sokongan CUCKOO sebagai Penaja Terhangat, Darlie sebagai Penaja Bersama, Mentos sebagai Rakan Penaja dan Grab sebagai Rakan E-Hailing. Buat julung kalinya, 8TV tampil sebagai Rakan Media bersama TV3, disokong Hot FM sebagai Rakan Radio serta XTRA dan OhBulan! sebagai Rakan Digital. Akhirnya, semua jalan menuju satu malam. 18 Oktober 2026, jam 9 malam, nama-nama yang selama berbulan-bulan menghuni skrin, carta, media sosial dan percakapan peminat akan mengetahui sejauh mana ‘power’ mereka benar-benar berbicara. Kerana di AMT 2026, bintang boleh memiliki Star Power, Melodi mempunyai Melodi’s Power, tetapi trofi tetap memerlukan satu kekuatan yang tidak boleh dipandang ringan iaitu Fan Power. Anugerah Melodi Terhangat 2026 disiarkan secara langsung pada 18 Oktober 2026, Ahad, jam 9 malam menerusi TV3 dan Tonton.

Comments
* The email will not be published on the website.