Terpaling Solo: Eksperimentasi Seni Jari, Tali Dan Hati, Dari Mimpi Seorang Gitaris

oleh: zizi hashim

Ada sesuatu tentang muzik yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Mungkin itulah sebabnya, ada manusia memilih gitar sebagai bahasa mereka, membiarkan jari jemari bercerita, biar talinya yang menangis dan bersorak. Dan pada suatu petang panas terik di tengah hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur, 11 gitaris berkumpul dengan satu matlamat: tentunya tidak atas nama bertanding, tetapi untuk memberikan secebis dari jiwa mereka kepada dunia. Gitar bergema bagai suara hati yang tak sabar menzahirkan rasa. 

Pada hari itu, sebuah pertemuan jiwa-jiwa yang percaya bahawa muzik boleh menyentuh lebih daripada sekadar telinga telah berlangsung. Ia bukan hanya medan persaingan, tetapi medan impian tempat di mana kejujuran, keberanian dan cinta terhadap muzik dijelmakan melalui petikan demi petikan. Ia menyentuh impian, harapan, dan identiti. Itulah roh yang mengalir dalam acara kemuncak ‘Play To Win: Terpaling Solo Contest’, pertandingan anjuran CK Music bersama Epiphone Malaysia, yang telah menyaksikan lebih 3 minggu pencarian bakat secara terbuka di media sosial yang mencapai kemuncaknya pada 17 Mei 2025 di CK Music Showroom, Kuala Lumpur. 

Sebuah pencarian yang bermula secara maya dari 14 April hingga 5 Mei 2025 memperlihatkan para peserta dari seluruh Malaysia telah memuat naik solo gitar masing-masing yang akhirnya membawa 11 pemain gitar terbaik untuk beradu bakat secara langsung di hadapan mata dan telinga maestro gitar  yang tidak asing lagi bagi peminat muzik tanah air, Edrie Hashim. Pertandingan ini menggunakan lagu instrumental karya asli ciptaan Edrie sendiri, berjudul “Terpaling”, sebagai medan ekspresi. Lebih 50 penyertaan diterima; datang dari segenap pelusuk, dari bilik kecil di kampung hingga ke studio peribadi, dari anak muda yang baru mula mengenal fretboard hingga pemain berpengalaman yang sudah berpuluh tahun menari dengan tali. Semuanya dihantar dengan harapan yang sama: untuk didengar, untuk dilihat, dan untuk diiktiraf. 

Dari jumlah itu, hanya 11 finalis terbaik dipilih ke Final Showdown. Merekalah yang melangkah ke pentas kecil yang sarat makna dan mempersembahkan yang terbaik di hadapan Edrie Hashim sendiri, yang hadir bukan hanya sebagai juri, tetapi sebagai inspirasi, seorang tokoh yang membentuk dan membakar semangat ramai pemain gitar sejak beberapa dekad lalu. Mereka yang melangkah ke Final Showdown adalah Izaidin Hassan, Khairudin Ismail, Muhammad Hanafi, Kyoji Sky, Daniel Sabirin, Azwan Abdul Aziz, Sharuddin Lingkatan, Izzwan Nik Nizam, Nabil Adam, Mohd Nor Sham dan Azlan Ahmad. Mereka tampil dengan gaya masing-masing, ada yang membawa elemen metal, jazz, rock klasik, fusion, membuktikan bahawa gitar bukan satu genre, tetapi satu dunia yang luas.

Bagi pemenang utama, hadiah paling berprestij yang dimenangi ialah sebuah Epiphone Les Paul Modern, gitar ikonik yang menjadi dambaan ramai pemuzik profesional. Namun, lebih daripada sekadar trofi atau gitar, para peserta membawa pulang sesuatu yang tidak ternilai iaitu kenangan, rangkaian networking, maklum balas eksklusif daripada seorang legenda, dan semangat untuk terus maju.

Dan inilah bintang-bintang yang bersinar di pentas akhir... 
Pemenang Tempat Pertama: Izzwan Bin Nik Nizam dengan persembahan yang seimbang antara ketepatan teknik dan melodi sepenuh jiwa.

Tempat Kedua: Daniel Sabirin, pemain muda dengan gaya moden yang bersih dan ekspresif.

Tempat Ketiga: Sharuddin Lingkatan, penuh pengalaman dan rasa, membuktikan kematangan tidak pernah pudar

Tempat Keempat dan Kelima: Kyoji Sky dan Khairudin Ismail, masing-masing membawa pendekatan tersendiri yang unik dan berani.

Edrie, yang menjadi juri utama, bukan hanya sekadar memerhati tetapi benar-benar merasai setiap slot persembahan yang berdurasi lebih kurang 3 minit. Menyatakan kekaguman terhadap kualiti peserta yang hadir, Edrie berkata, “Konklusi hari ni, kita mendapati yang banyak gitaris-gitaris kat Malaysia ni yang berkaliber dan berpotensi,” ujar beliau dengan penuh keyakinan. Namun dalam nada yang sama, beliau juga menyampaikan satu pesanan penting kepada semua peserta agar kehebatan teknikal tidak mengatasi keindahan melodi. “Dia kena macam mana pun, macam mana technical pun, kita kena tastefully done. Kena ada taste tu. Kalau aku tengok dia ada main melodi dan dia masukkan technical, aku tahu dia ada taste,” jelas Edrie, menekankan bahawa muzik bukan sekadar tentang kepantasan jari atau jumlah nota yang boleh dimainkan, tetapi bagaimana setiap nada membawa rasa.

Lebih dari itu, Edrie turut berkongsi impian besarnya untuk industri muzik tempatan. Sebuah visi yang jauh lebih luas daripada sekadar pertandingan ini. “I think it's actually my dream to do that. Untuk buat macam Steve Vai ada 'Favourite Nation'. They can do that. Dia jual satu dunia. It takes a lot of unity,” katanya, merujuk kepada keinginannya untuk membina sebuah platform yang mampu mengangkat nama pemain gitar tempatan ke pentas antarabangsa, seperti mana Steve Vai melakukannya untuk gitaris dunia. Beliau juga menyatakan keterbukaannya terhadap pemain gitar moden dan muzik generasi baru. Tidak terikat pada nostalgia, Edrie menegaskan minatnya terhadap suara-suara segar yang mewakili semangat zaman kini. Meskipun tiada rancangan khusus untuk para pemenang buat masa ini, penganjur menyatakan bahawa mereka menilai kehadiran media sosial peserta, serta cara mereka merakam dan membentangkan persembahan. Sekiranya seseorang peserta mempunyai kehadiran yang kuat, mereka mungkin membuka jalan untuk tajaan dan peluang lebih besar di masa depan.

Di sebalik semua itu, Edrie mengakhiri perjumpaan dengan pesan yang menyentuh hati bahawa muzik sepatutnya tetap menggembirakan. “Kita kena aim for the sky. Music should be fun. You play whatever you want to. Then people will gravitate dekat mana yang dia suka,” katanya dengan nada penuh harapan. Pertandingan ini mungkin kecil dari segi skala, tetapi impaknya besar dalam jiwa komuniti pemuzik. Ia membuktikan bahawa dunia gitar di Malaysia masih hidup, masih hangat dan terus berkembang. 

CK Music, sebagai penganjur dan key dealer rasmi Epiphone, telah menyediakan lebih daripada sekadar pentas, mereka membuka jendela untuk mimpi-mimpi baru. Dan dalam ruang sederhana di Kuala Lumpur itu, pada remang terik petang 17 Mei, bukan sekadar nota gitar yang bergema tetapi gema cita-cita, persahabatan, dan satu pesanan halus bahawa muzik bukan tentang siapa yang paling pantas, tetapi siapa yang paling jujur dalam menyampaikan rasa.

Foto Kredit: Pa Pa Din