'Sila-Sila Ke Melaka' Lagu Cinta Siti Halijah Anak Jati Melaka Untuk Tanah Bersejarah

oleh: zizi hashim

Alunan suara sarat nostalgia dan kebanggaan melahirkan sebuah karya yang memanggil hati untuk kembali ke akar sejarah. 'Sila-Sila Ke Melaka', dendangan tulus dari anak jati Melaka, Siti Halijah. Lagu ini hadir sebagai jemputan berirama. Jemputan untuk menyusuri lorong-lorong sejarah, mengintai semula jejak pahlawan, dan merasai semangat sebuah negeri yang dulunya nadi empayar. Siti Halijah, bekas ahli Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, bukanlah wajah baharu dalam dunia seni. Namanya pernah bergema ketika menyertai Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia pada tahun 2011, dan juga ketika bergandingan suara bersama Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris dalam lagu raya 'Cinta Lebaran' sebagai salah seorang anggota Kumpulan Akasia.

Langkahnya kini lebih yakin dan bermakna. Bersama komposer sejiwa sekampung, Anwar Jaapar atau lebih mesra dikenali sebagai Cik Mai, mereka mengangkat semula lagu yang pernah menjulang nama mereka menjadi juara dalam pertandingan yang sama iaitu 'Sila-Sila Ke Melaka'. Kemenangan itu bukan hanya detik manis, tetapi pencetus yang menyemai impian agar lagu ini diberi nafas baharu dan dihidangkan kepada khalayak lebih luas. "Lagu ini istimewa. Ia tidak hanya mengenai saya atau Melaka semata, tetapi tentang cinta kita terhadap sejarah, terhadap tanah yang membesarkan kita," ujar Siti Halijah, penuh rasa syukur.

Dengan susunan muzik yang lebih kontemporari oleh Amy Bong, lagu ini disuntik semangat baharu, namun tidak lari dari akar budayanya. Liriknya pula mengalir bak puisi patriotik, menjunjung warisan negeri dengan frasa “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”. Ia mengangkat Melaka bukan sahaja sebagai sebuah negeri bersejarah, tetapi juga sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kisah dan kenangan. 

Berlatarkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2025 yang bakal dilancarkan September ini di Melaka, 'Sila-Sila Ke Melaka' hadir tepat pada masanya. Ia menjadi penghubung antara muzik dan pelancongan, antara seni dan semangat negeri. Lagu ini diharap dapat menyuntik rasa ingin tahu dan bangga kepada rakyat tempatan serta menarik minat pelancong luar untuk menjejakkan kaki ke Melaka, tanah bersejarah yang diiktiraf UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Saya percaya, ini satu langkah baharu buat saya. Walaupun sudah lama dalam bidang muzik, inilah momen yang saya rasakan paling bermakna kerana lagu ini mewakili siapa diri saya dan dari mana saya datang," tambahnya. Peranan penting dimainkan oleh Luncai Emas, selaku penerbit dan pengedar digital, dalam memastikan karya ini sampai ke corong radio, televisyen, dan telinga rakyat Malaysia. Video muzik rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audio kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.

'Sila-Sila Ke Melaka' menjadi salam mesra yang berirama, datang dari hati seorang anak Melaka, untuk seluruh Malaysia. Bukan hanya ajakan santai, tetapi sebuah usaha menghidupkan kembali rasa cinta kepada negeri yang sarat sejarah. Jadi… tunggu apa lagi? Sila-sila ke Melaka, ya...