Sebelum Jakarta, Malaysia Dulu! Latihan Pestapora 'Pemanas Pentas' Menuju Festival Utama

oleh: zizi hashim

Sebuah kolaborasi muzikal berskala besar bakal menggoncang Malaysia! Sudah bersediakah anda? Festival muzik lintas negara secara rasmi mengumumkan line-up artis fasa satu yang akan tampil dalam edisi perdananya pada tanggal 26 Julai 2025. Didorong semangat pertukaran budaya dan cinta terhadap muzik, acara ini diberi gelar 'Latihan Pestapora Malaysia' merupakan hasil kerjasama strategik antara 2 nama besar industri hiburan iaitu Hitman Solutions dari Malaysia dan Boss Creator, penyelenggara asal Indonesia yang menaungi festival ikonik Pestapora.

Sidang media pelancaran itu diadakan dengan meriah di The Campus Ampang dan dihadiri wakil media, artis dan krew produksi dari kedua-dua negara. Dalam suasana penuh antusias, pihak penganjur mengumumkan nama 24 artis dari Indonesia dan Malaysia yang akan membawakan beragam warna muzik ke panggung Kuala Lumpur, menandakan langkah awal perluasan Pestapora ke luar dari negara asalnya.

Dari Indonesia, nama-nama seperti .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji, dan Pamungkas menjadi tajuk utama yang ditunggu-tunggu. Sementara itu, dari Malaysia, hadir barisan penyanyi dan kugiran terkenal seperti Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik, dan banyak lagi yang akan menunjukkan kekuatan industri kreatif tanah air. Paduan ini akan membawa para penonton menjelajah genre muzik mulai dari pop, rock, hip-hop, elektronik, hingga indie dan alternatif—mewakili spektrum muzik serumpun yang luas dan berwarna.

Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan Hitman, berkata dalam ucapannya, “Setiap tahun kami melihat betapa banyaknya warga Malaysia yang sanggup terbang ke Jakarta hanya untuk menghadiri Pestapora. Itu membuktikan betapa kuatnya pengaruh festival ini. Kini, kami rasa sudah waktunya membawa sebahagian dari pengalaman magis itu ke tanah air sendiri. Ini lebih dari sekadar konsert, ini adalah perayaan bersama.”

Apa yang membezakan 'Latihan Pestapora' dari festival biasa adalah peranannya sebagai "preview" atau pemanasan rasmi menuju acara utama Pestapora di Jakarta yang akan berlangsung pada bulan September mendatang. Dengan konsep 'Satu Hari, Dua Negara, Banyak Cerita Musik' festival ini menjadi pintu masuk bagi warga Malaysia untuk menikmati semangat yang sama yang telah menjadikan Pestapora sebagai fenomena budaya di Indonesia.

Semangat luar biasa telah ditunjukkan sejak dari awal lagi. Lebih 2,000 tiket telah dijual sebelum pengumuman artis dibuat, menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap nama besar Pestapora sebagai festival yang bukan sahaja menghiburkan malah membentuk ruang kreatif dan menyatukan masyarakat. Menurut penganjur, festival ini bukan sahaja menghimpunkan pemuzik, malah mewujudkan peluang kerjasama antara artis, pencipta kandungan, peniaga kreatif dan peminat dari seluruh nusantara. Khalayak akan dilayan bukan sahaja dengan persembahan muzik, tetapi juga pengalaman silang budaya yang mengasyikkan.

Menurut Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan salah seorang pengasas Boss Creator, "Kami percaya kuasa muzik boleh menembusi sempadan negara. Tahun ini kami mahu berkembang ke Malaysia kerana kami melihat potensi luar biasa dalam bakat dan minat pasarannya. Harapannya, Latihan Pestapora dapat menjadi forum untuk pemain industri kreatif dari kedua-dua negara bertukar karya, memperkenalkan identiti masing-masing dan berkembang bersama."

Festival ini juga tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada rakan rasmi yang terlibat, antaranya ERA FM, ERA Sarawak, ERA Sabah, HITZ FM, SINAR FM, MIX, THR GEGAR, dan SYOK (sebagai Rakan Radio Rasmi); World of Buzz dan Radish Merah (Rakan Media Rasmi); Batik Air dan BookCabin (Rakan Perjalanan); dan Hotel Sunway Putra (Hotel Rasmi). Sokongan tambahan datang daripada Universal Music Malaysia dan Tapao Fest sebagai rakan strategik, serta The Campus Ampang sebagai lokasi rasmi sidang media.

INFORMASI TIKET
Latihan Pestapora menawarkan beberapa kategori tiket bagi pengunjung dengan berbagai pilihan pengalaman:
●  General Admission – Mulai dari RM129
●  Rockzone – Mulai dari RM199 (area lebih dekat ke panggung)
●  Tiket Kanak-anak – RM70
● Akses Express Lane – Tambahan RM100
Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi: www.latihanpestaporamalaysia.com
Untuk pertanyaan lanjut, penonton boleh menghubungi penganjur di +6012-2655783 atau menghantar e-mel ke concerts@hitman.group.

Tidak sekadar sebuah lagi festival, 'Latihan Pestapora Malaysia 2025' adalah ruang bersama, suara kolektif, dan simbol persahabatan budaya yang mekar dari nada dan irama. Bersialah untuk menyaksikan sejarah baru dalam kolaborasi muzik serantau.