Miri Bersinar Mei Ini dengan 2 Konsert Mega, Masuk Percuma, Hiburan Bertaraf Antarabangsa!

oleh: zizi hashim

Bulan Mei bakal jadi lebih meriah buat warga Miri dan sekitarnya apabila 2konsert mega bertaraf nasional dijadualkan berlangsung di bandaraya yang penuh pesona ini. Yang paling menarik, masuk adalah PERCUMA, terbuka untuk semua! Disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, serta dibawakan oleh TVS dengan kolaborasi strategik bersama Astro, 2 konsert ini bukan sekadar pertunjukan muzik biasa. Ia adalah simbol kejayaan dalam usaha membawa gelombang hiburan besar ke wilayah utara Sarawak, sekaligus merapatkan jurang seni dan budaya antara wilayah.

17 Mei – Konsert MeleTOP TVS Gegarkan Stadium Miri

Tirai dibuka dengan 'Konsert MeleTOP TVS' pada 17 Mei 2025, berlangsung di Stadium Tertutup Miri dan dipersembahkan oleh U Mobile. Sehari selepas konsert, pada 18 Mei, rakaman eksklusif program hiburan terkenal MeleTOP akan turut diadakan, kali pertama program ini dibawa keluar dari Lembah Klang!Antara nama-nama besar yang akan naik ke pentas termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi. Gabungan unik antara irama kontemporari dan nuansa budaya tempatan yang dijamin menghibur. Konsert ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 Astro, MYTV, Unifi TV), Astro ONE dan platform penstriman Sooka.YB Dato’ Sri Hj. Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan Sarawak, mengulas, “Ini adalah momen penting buat industri kreatif kita. Penganjuran berskala besar seperti ini membuktikan kemampuan Sarawak sebagai destinasi hiburan utama. Syabas buat TVS dan Astro atas kerjasama mantap ini.”

21 Mei – Konsert Berkat Gawai-Kaamatan Raikan Budaya

Selang beberapa hari, pada 21 Mei 2025, pentas sama akan menyambut 'Konsert Berkat Gawai-Kaamatan' yang membawa penonton menyelami keindahan budaya melalui muzik. Ella, ratu rock negara, bakal menjadi wajah utama konsert ini, diiringi barisan artis popular seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, dan bintang dari seberang Kalimantan, Marina Jara. Acara bermula jam 7:30 malam dan akan disiarkan semula pada 31 Mei 2025, jam 9 malam di TVS, sesuai bagi yang tidak berkesempatan hadir secara langsung. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga perayaan kepada warisan dan jati diri masyarakat Sabah, Sarawak, dan Kalimantan.

Miri: Kota Persimpangan Budaya dan Muzik

Pemilihan Miri sebagai lokasi utama bukanlah keputusan spontan. Seperti yang dijelaskan oleh Mohamad Sardon Zainal, Pemangku CEO TVS, “Miri berada di kedudukan strategik iaitu berdekatan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Dengan ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya bakal diraikan, ini adalah masa paling sesuai untuk menghadiahkan rakyat sebuah pesta budaya yang meriah.” Elyna Rahmat, dari Astro GenNext pula menambah, “Sudah hampir setahun kami merancang projek ini. Muzik itu menyatukan, dan konsert ini adalah manifestasi semangat perpaduan.”

Akses Percuma, Kualiti Premium

Apa yang membezakan dua konsert ini adalah akses percuma untuk semua, namun dengan mutu produksi bertaraf profesional. Ia juga membuka ruang kepada bakat-bakat muda tempatan dari Sabah dan Sarawak untuk tampil bersama ikon-ikon industri. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal di tvsarawak.my/kejutan-tvs tempat adalah terhad dan sambutan dijangka luar biasa, termasuk dari pelawat luar seperti Brunei dan Kalimantan.

Bulan Mei ini, saksikan bagaimana muzik, budaya dan komuniti berpadu di bumi Miri. Dua konsert, satu semangat — jangan sampai terlepas!