oleh: zizi hashim
Hidup kadang-kadang tak beri kita isyarat. Ia hanya datang tanpa dijangka, tanpa aturan. Ibarat seekor kucing yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu, dan membawa bersama badai taufan yang tidak terlihat. Begitulah nasib Hank Thompson. Dahulunya bintang sukan baseball di sekolah tinggi, kini dia hanya seorang bartender biasa di sudut kelam New York, cuba menjalani hidup tanpa mengungkit masa silam. Dia hanya mahu hidup sederhana, diam-diam, jauh dari silau dunia yang pernah melukainya. Cukup dengan memiliki kekasih yang menyayanginya (Zoë Kravitz), pekerjaan yang tenang, dan harapan kecil pada pasukan baseball kegemarannya yang sedang mengejutkan dunia.
Hank bukan seseorang yang mencari masalah. Dia hanya mahu hari-hari yang tenang di bar tempatnya bekerja, sesekali tersenyum dengan kekasihnya yang penuh kasih. Namun apabila jirannya, Russ (Matt Smith) seorang punk-rocker yang hidupnya penuh teka-teki meminta tolong menjagakan kucingnya, segalanya mulai berubah. Dari satu permintaan kecil yang kelihatan remeh, Hank tiba-tiba terperangkap dalam dunia jenayah bawah tanah yang penuh liku. Satu demi satu gengster mula muncul, masing-masing memandangnya seperti mangsa atau sasaran. Dia jadi buruan, walau dia sendiri tak tahu apa sebenarnya yang mereka inginkan darinya.
Apa yang menarik dalam 'Caught Stealing' bukan hanya kejar-mengejar, tumbuk-menumbuk atau jeritan lorong belakang kota. Ia kisah tentang lelaki yang cuba hidup dengan tenang, cuba berdamai dengan dirinya sendiri tetapi dipaksa menghidupkan semula naluri bertarung demi bertahan. Ada kepingan memori lama yang masih mencengkam, ada rasa gagal yang belum disembuhkan, dan kini semuanya dihantui semula oleh satu situasi yang gila, melampau namun tetap terasa dekat dan manusiawi.
Austin Butler memegang watak Hank dengan nuansa yang rentan tetapi kuat, seseorang yang tidak sengaja melangkah ke kancah kemusnahan, tapi tetap mencari jalan keluar dengan kecerdasan akal, bukan kekuatan otot fizikal. Di sisi lain, Zoë Kravitz bawa cahaya kecil yang jadi sauh emosi dalam kekacauan yang berlaku. Barisan pelakon hebat lain seperti Regina King, Liev Schreiber, Matt Smith dan Vincent D’Onofrio menambah warna dan dinamika yang menjadikan cerita ini jauh dari klise.
Sentuhan pengarahan Darren Aronofsky, sutradara yang selalu tahu bagaimana merayakan sisi gelap jiwa manusia, kembali dengan sentuhan yang penuh tekanan emosi. Satu nama besar disebalik Black Swan atau The Whale, kali ini dia mengekstrak kegilaan dari benda-benda yang nampaknya biasa. Dialog yang penuh sindiran halus, lorong-lorong kota yang kelam dan basah, serta sunyi yang menyesakkan, semuanya bergabung menjadi puisi visual yang memukul perlahan tetapi mendalam. 'Caught Stealing' berubah menjadi meditatif, kelam tapi mempesona, membawa kita menyusuri lorong-lorong yang dipenuhi rasa kehilangan, penyesalan dan sedikit humor hitam. Dialog yang tajam dan persekitaran kota yang lembap dan kelam menambahkan tekanan psikologi yang terasa menyesakkan dada.
Filem ini diadaptasi dari novel oleh Charlie Huston, yang juga menulis skripnya dan mengekalkan nada noir kontemporari dengan adunan jenaka sinis serta kekerasan dunia gelap yang tidak pernah tidur. Ia seperti gabungan antara Coen Brothers dan Scorsese, dengan gaya visual yang perlahan membakar, mencengkam tanpa kita sedari. Kadangkala, hidup hanya perlu satu keputusan kecil seperti menerima tanggungjawab menjaga kucing jiran untuk mengubah seluruh arah hidup.
'Caught Stealing' mengingatkan kita bahawa tidak semua perkara buruk datang tanpa makna. Dan dalam pelarian yang nampak gila ini, kita mungkin jumpa semula diri kita yang hilang sejak lama. Jangan lupa tarikh 30 Oktober 2025! Sebuah filem yang keras, pelik, lucu, dan menyentuh, menanti untuk membuat jantung anda berdebar dan jiwa anda tertanya-tanya.