Melissa – 35 Tahun Melakar Memori Suka Duka, Konsert 'Gegar Bumi Selatan' Jadi Saksi

oleh: zizi hashim

Di bawah langit malam Johor Bahru yang bersinar tenang, 4 sosok legenda muzik rock tanahair bakal kembali bersatu di pentas — Aliff, Fareez Undertaker, Ajak Melissa, dan Ancoy — nama-nama yang pernah mewarnai zaman keemasan rock Malaysia lewat kumpulan Melissa. Tahun ini, genap 35 tahun sejak Melissa mula menggempur industri muzik tempatan dengan nada keras dan lirik yang menggigit jiwa. Bermula dengan album sulung Pendirian pada tahun 1990, diikuti Kami Mat Rock (1991) dan Mistik (1993), Melissa membina satu warisan muzik yang tidak mudah dilupakan.

Sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan panjang mereka, satu konsert istimewa bertajuk 'Gegar Bumi Selatan – 35 Tahun Anniversary Melissa' akan berlangsung pada malam Sabtu, 28 Jun 2025, bertempat di The Colosseum Rooftop, City Plaza, Johor Bahru. Tepat jam 9.00 malam, gegaran nostalgia bakal bermula. Konsert ini dijangka akan menjadi sebuah perayaan dan penghormatan terhadap sejarah, dan satu pernyataan bahawa muzik rock, dengan segala letupannya, masih hidup dalam jiwa para pencintanya.

Pentas Rock yang Membakar Semangat
Konsert ini akan menyatukan semua era dan warna muzik Melissa — dari kerasnya "Grunch" hingga lembutnya "Cinta Untuk Nabila", dari balada rock yang meruntun ke blues dan heavy metal yang mendebarkan. Lagu-lagu seperti "Pendirian", "Bencana", "Puteri Nagasari", "Takdir Sebuah Cinta", "Boneka Kaca", "Laduni", malah versi semula lagu "Coronavirus" oleh Melissa Band, semuanya akan kembali bergaung di malam penuh magis itu. Turut memeriahkan pentas ialah 2 band jemputan iaitu Spellbound dari selatan dan Ozon dari utara, 2 nama yang pernah mengukir langkah sendiri dalam peta rock Malaysia.

Melissa Band – Warisan yang Diteruskan
Dalam semangat melestarikan legasi, Ajak Melissa menubuhkan Melissa Band pada tahun 2023. Sebuah pasukan pelapis yang dibina dengan penuh kasih dan harapan. Drummer Black Melissa Band dan gitaris jemputan Kyoji Sky akan menyertai persembahan malam itu, menandakan kesinambungan semangat rock Melissa ke generasi baharu. “Lagu-lagu kumpulan Melissa sememangnya kekal relevan dan evergreen sepanjang zaman,” ujar Aliff. “Inilah masa terbaik untuk meraikan peminat yang masih setia, dan memperkenalkan semula karya kami kepada yang baru mengenalinya.”

Langit Terbuka, Jiwa Terpaut
Dengan pentas terletak di atas bumbung bangunan, konsert ini menjanjikan pengalaman luar biasa — bukan hanya kerana muziknya, tetapi kerana suasananya yang bebas, segar, dan menyentuh jiwa. Di bawah bintang dan ditemani angin malam, para peminat akan dihidangkan lebih 16 buah lagu tanpa henti dalam persembahan berdurasi hampir tiga jam. Konsert ini bukan hanya tentang ulang tahun. Ia adalah penghormatan terhadap sejarah muzik rock Malaysia, khususnya era 90’an yang pernah melahirkan fenomena ‘rock kapak’ — satu gerakan yang tidak mungkin dilupakan oleh generasi yang pernah membesar bersamanya.

ROCKER-ROCKER TANAH AIR, INILAH MASANYA!
Ayuh gegarkan bumi selatan bersama legenda rock kapak, Melissa, dalam satu malam penuh kenangan, emosi dan semangat perjuangan muzik sejati!🔥Lock diari ada 28 Jun 2025 — The Colosseum Rooftop, Johor Bahru. 35 tahun perjalanan seni kini memuncak dalam satu konsert eksklusif, dengan pentas terbuka, langit malam sebagai saksi, dan deruan riff gitar yang bakal menggetarkan jiwa. Jangan lepaskan peluang, jadi lah sebahagian dari gelombang cinta kepada muzik dan nostalgia. Tempah tiket sekarang dan jadi sebahagian daripada sejarah!

Tiket & Maklumat
Harga purata tiket yang ditawarkan ialah RM120, satu nilai berpatutan untuk sebuah pengalaman muzik yang jarang berulang. Untuk pembelian tiket, peminat boleh layari:
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSesc_VXeng6sWPVHf1YRvkzrc9qXWG9POEWyPwK3mF9wCo3ZQ/viewform
Untuk maklumat lanjut, hubungi:
Bumirock Production
Arie: 013-244 3445
Zaza: 013-782 3076