oleh: zizi hashim
Langit petang itu redup, angin lalu membawa tenang. Di sebuah ruang kecil yang penuh gema gitar dan suara jujur, lahirlah sebuah lagu. Bukan dari strategi, bukan dari perancangan, tetapi dari hati yang pernah jatuh, lalu memilih untuk bangkit. Lagu itu mereka beri nama "Lagu Tiga".
Dukes, sebuah band yang semakin teguh berdiri dalam dunia Indie Rock tempatan, hadir kembali dengan naskhah terbaru yang menyentuh. Tidak menggempur dengan bunyi yang berat, tetapi menyusup masuk dengan lirik yang tenang, dalam, dan mengajak kita untuk merenung. Ziyyad di posisi vokal, Rayyan dan Jimbo sebagai penjaga rentak gitar, Umar memegang nadi bass, dan Cheng di posisi dram, 5jiwa yang mencipta gema tersendiri sejak awal penubuhan. Kini, mereka membuka halaman baru dengan "Lagu Tiga", single pertama daripada album baharu yang bakal menjengah telinga dan hati peminat tahun ini.
Momen tercetusnya lagu ini bukan di bilik mesyuarat atau studio mewah, tapi di tengah jamming santai, saat tiada yang dirancang, tiada yang ditekan. Hanya perasaan yang jujur mengalir, dan dari situ, terbentuk sebuah melodi yang tak memerlukan banyak hiasan. Liriknya, hasil kolaborasi Ziyyad Imran dan Hazim Osman, hadir seolah-olah telah sedia tertulis dalam angin, dan hanya perlu disambut oleh tangan yang benar-benar mengerti.
“Segalanya datang begitu organik. Kami tak banyak ubah bait lirik asal kerana setiap patah perkataan itu lahir dari rasa sebenar. Itu kekuatan sebenar lagu ini... ketulusannya,” kata Ziyyad, mengenang momen penciptaan lagu tersebut. "Lagu Tiga" tidak dibina untuk menjadi anthem kegilaan, tetapi untuk menjadi teman yang mengerti sunyi. Ia berbicara tentang jatuh dan kehilangan, tentang rasa tidak cukup dan ingin menyerah. Namun dalam keheningan itu, ada bisikan lembut yang memujuk bahawa kita masih boleh memilih untuk bangkit, walau perlahan, walau seorang diri.
Menghasilkan lagu dengan jiwa sebesar ini bukan mudah. Dukes akui cabaran paling utama adalah mencari keseimbangan antara melodi yang sederhana namun kuat, dengan lirik yang halus tetapi mendalam. Keduanya perlu seiring, agar mesej yang ingin disampaikan tidak hilang di tengah dentuman muzik. “Lagu Tiga untuk mereka yang pernah rasa kecewa. Untuk mereka yang sedang mencari cahaya kecil dalam gelap yang panjang. Kami mahu lagu ini menjadi pelita. Tak perlu terang, cukup dengan hanya menyala.” ujar mereka penuh harapan.
Di sebalik nuansa Indie Rock yang mendasari muzik Dukes, naskhah ini membawa warna baru dalam perjalanan seni mereka. Ia menandakan fasa baharu bukan sahaja dari segi bunyi, tetapi juga dari segi jiwa. Lagu ini bukan hanya untuk didengar, ia untuk dirasai, untuk dipeluk oleh mereka yang sedang patah, atau yang perlahan-lahan menyusun semula serpih hati. Dengan "Lagu Tiga", Dukes tidak sekadar memperkenalkan sebuah single. Mereka sedang menuturkan kisah hidup. Kisah yang mungkin milik sesiapa sahaja, yang pernah rasa hilang, dan kini sedang mencari arah. Nikmatilah!