oleh: zizi hashim
Hadirnya sebuah malam yang menyatukan generasi dan zaman, tidak sekadar melalui hubungan darah, namun melalui melodi yang lahir dari hati. Atilia Haron, penyanyi bersuara jazz yang halus dan penuh karektor, bakal berdiri sejajar di atas pentas dengan wanita yang menjadi inspirasinya sejak hari pertama dia belajar mengenal lagu, ibunya sendiri, Salamiah Hassan seorang ikon dan legenda seni suara Malaysia. Bersama, mereka akan menjelmakan 'Konsert Gelombang Bahagiaku', sebuah persembahan istimewa anjuran Mujik Wand Production yang akan berlangsung pada 16 Ogos 2025, bertempat di Plenary Theatre, KLCC, tepat jam 8:30 malam. Malam itu nanti bakal menjadi sebuah pelayaran emosi, pengakuan kasih, dan perayaan 2 jiwa dalam satu gelombang seni.
Bagi Atilia, konsert ini bukan sekadar pentas, bukan juga hanya kolaborasi. Ia adalah doa yang sekian lama dipanjatkan dan akhirnya terjawab, sebuah impian kecil yang disimpan diam-diam sejak dia duduk di barisan penonton, melihat ibunya menyanyi di atas pentas ketika kecil. “This is a dream come true for me,” ungkapnya sambil tersenyum. “Sejak saya kecil, saya memang ingin menjadi seperti ibu saya. Sekarang, dapat berkongsi pentas yang begitu megah dengannya… saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia.” Di sebalik suara lembut dan senyum manis Atilia, tersembunyi perasaan hormat, cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap wanita yang bukan saja melahirkannya, tetapi juga mengasuh jiwanya dengan irama dan kata-kata. Konsert ini adalah hadiah jiwa dari anak kepada ibu, bukan dalam bentuk bunga atau kata-kata manis, tetapi dalam bentuk lagu yang bergema terus dari lubuk hati.
Salamiah Hassan, dengan pengalaman lebih 5 dekad, membawa gaya dan keanggunan era yang berbeza. Manakala Atilia, dengan sentuhan jazz moden dan pop yang lembut, mewakili dunia yang lebih kontemporari. Namun malam itu, dua dunia ini akan berpadu. Bukan untuk bersaing, tetapi untuk saling melengkapi. “Ini kali pertama saya dan Atilia berada di atas pentas sebesar ini bersama. Walaupun gaya kami berbeza, saya percaya penyatuan ini akan jadi sesuatu yang sangat istimewa,” kata Salamiah yang tahun ini meraikan ulang tahun ke-55 penglibatannya dalam dunia seni, menerusi kempen istimewa bertajuk ‘Salamiah Hassan: #Legacy’. Perbezaan itu bukan jurang, tetapi jambatan. Lagu-lagu yang akan dipersembahkan malam itu akan mencerminkan lintasan dua zaman, dari keanggunan klasik hingga ke nuansa moden, semuanya disulam dengan harmoni kasih antara ibu dan anak.
Antara momen paling ditunggu dalam konsert ini ialah persembahan duet sulung mereka, menerusi sebuah lagu terbaru berjudul “Age Is Just A Number”, sebuah karya yang tidak hanya menghibur, tetapi juga menyampaikan mesej kuat tentang usia, keberanian, dan keindahan menjadi diri sendiri. “Lagu ini adalah refleksi perjalanan kami. Dua wanita yang masih memilih untuk bermimpi dan berkarya, tanpa mengira usia atau label,” ujar Atilia. Lagu ini dijangka menjadi anthem yang mengangkat semangat bukan saja buat wanita, tetapi buat semua yang pernah merasa ragu untuk terus mencintai hidup dan apa yang mereka lakukan.
Bagi Atilia, saat yang paling dia nantikan bukanlah tepukan gemuruh atau lampu pentas yang terang, tetapi saat dia dan ibunya menyanyi sambil saling menatap mata, menyampaikan isi hati melalui suara. “Itu akan jadi momen paling magis. Bila kami menyanyi sambil saling berpandangan, saya rasa penonton juga akan dapat rasa keajaiban itu.” Salamiah turut berharap, para penonton akan pulang malam itu dengan hati yang hangat dan jiwa yang tersentuh, bukan hanya kerana lagu, tetapi kerana cinta yang terpancar jelas antara seorang ibu dan anak. “Saya sangat bersyukur kerana dapat berkongsi cinta terhadap muzik dengan anak saya sendiri. Kami mungkin berbeza, tapi cinta terhadap seni menyatukan kami dengan cara yang indah.”
Bukan semua impian datang dengan mudah. Atilia dan ibunya memulakan langkah ini dengan usaha sendiri, bergerak dengan sokongan rakan-rakan terdekat dan mereka yang percaya akan misi seni ini. “Ada cabaran, pasti. Tapi kami buat perlahan-lahan. Ini konsert yang mesti dibuat. Syukur ada yang sudi bantu dan percaya. That’s enough.” kata Atilia penuh ikhlas. Konsert ini dicipta bukan hanya untuk para peminat muzik, tapi juga untuk semua yang memahami nilai sebuah keluarga, kasih tanpa syarat, dan cinta yang tak lapuk dimakan waktu. “Kami ingin bawa sesuatu yang dekat dengan hati. Persembahan yang bukan hanya menghibur, tapi menyentuh,” Atilia mengakhiri dengan janji.
Tiket rasmi mula dijual 13 Mei 2025, jam 10:00 pagi di:👉 ticket2u.com.my/event/43440
Kategori tiket:
Jika malam itu nanti kamu hadir, jangan sekadar dengar… rasakanlah. Kerana di balik setiap bait lagu, ada getar kasih yang tak terucap dengan kata. Konsert 'Gelombang Bahagiaku' bukan hanya sebuah konsert biasa, ia adalah pelukan dalam bentuk suara. Mari raikan bersama...