Kolaborasi Epik 'Bara Jiwa' Hayati Semangat Persaudaraan Dan Pengorbanan 'Blood Brothers'

oleh: zizi hashim

Nyalaan semangat, dendam membara, dan ikatan persaudaraan yang diuji. Itulah intipati yang dibawa oleh lagu rock balada epik "Bara Jiwa", hasil kolaborasi istimewa antara 2 nama besar industri muzik tanah air, Azlan Typewriter dan Muzza VELVETTONES, yang kini diumumkan sebagai lagu tema rasmi filem aksi debaran "Blood Brothers: Bara Naga". Dalam setiap not dan setiap bait lirik "Bara Jiwa", terjalin kisah emosi dan semangat yang seolah-olah mewakili jiwa watak-watak dalam filem arahan duo hebat Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof ini. 

Lagu ini menjadi jambatan yang menghubungkan penonton dengan kisah Ariff (Syafiq Kyle), seorang bodyguard yang setia secara tiba-tiba telah dituduh mengkhianati keluarga Mafianya. Dia terpaksa melarikan diri dan membuktikan dirinya tidak bersalah dengan bantuan abangnya, Jaki (Syazwan Zulkifli), untuk membersihkan namanya semasa diburu oleh kawan baiknya, Ghaz, yang mengetuai kumpulan Silent Guard. Filem ini meneroka kerapuhan kepercayaan, pengorbanan yang dilakukan atas nama kesetiaan, dan harga persaudaraan dalam dunia di mana orang yang paling rapat dengan anda boleh menjadi musuh.

Bagi Azlan Typewriter, projek "Bara Jiwa" bukan sekadar lagu, ia adalah sebuah pengembaraan muzik yang menyegarkan. "Sudah sekian lama saya tidak berduet dengan penyanyi lelaki, dan pengalaman bekerjasama dengan Muzza disifatkan sebagai sesuatu yang segar dan penuh karisma," kongsi Azlan. Yang lebih menakjubkan, proses rakaman lagu ini berjalan dengan pantas dan lancar, hanya mengambil masa sekitar satu jam, hasil persediaan rapi kedua-dua penyanyi yang telah menerima demo awal dan memahami dengan jelas peranan masing-masing.

Sebagai seorang komposer, penyanyi dan gitaris yang terkenal dengan sentuhan emosional dalam setiap karyanya, Muzza VELVETTONES mengambil pendekatan yang mendalam dalam mencipta 'Bara Jiwa'. "Lagu ini dicipta sepenuhnya berdasarkan jalan cerita dan emosi utama dalam filem Blood Brothers: Bara Naga," jelas Muzza. "Saya terinspirasi oleh tema pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan konflik dalaman para watak, dengan harapan dapat menterjemah jiwa mereka ke dalam bentuk muzik yang mendalam." Dari segi muzik, Muzza memilih pendekatan rock balada dengan elemen sinematik untuk menyesuaikan mood dan intensiti filem. Proses pembikinan yang teliti ini mengambil masa kira-kira dua bulan, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, rakaman vokal, serta proses mixing dan mastering yang rapi.

Sejak dilancarkan, "Bara Jiwa" telah mencipta fenomena luar biasa di platform TikTok dengan mencatatkan lebih 2.4 juta tontonan. Ini membuktikan sambutan hangat dari peminat yang berkongsi momen-momen dramatik dan inspirasi bersama lagu ini di platform sosial. Lirik video rasmi yang menampilkan babak-babak eksklusif dari filem Blood Brothers: Bara Naga telah dilancarkan pada 14 Mac 2025, memberi para pendengar gambaran visual yang lebih mendalam tentang perkaitan antara lagu dan filem.

Kedua-dua penyanyi menaruh harapan tinggi terhadap impak "Bara Jiwa" terhadap industri muzik dan perfileman tempatan. "Saya berharap 'Bara Jiwa' bukan sahaja diterima baik oleh pendengar, malah mampu membawa genre rock ke satu tahap yang lebih tinggi," ujar Azlan yang turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama lagi dengan Muzza pada masa hadapan. Muzza pula berharap lagu ini mampu memberikan impak emosi yang mendalam kepada penonton dan pendengar, dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara industri muzik dan perfileman tempatan.

Filem "Blood Brothers: Bara Naga" menyajikan barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, dan Amelia Henderson, menjanjikan pengalaman sinematik yang penuh aksi dan emosi. Gabungan antara visual menakjubkan, naratif yang menarik, dan lagu tema yang menggerakkan jiwa, "Blood Brothers: Bara Naga" dan "Bara Jiwa" menghidangkan pengalaman seni Malaysia yang lengkap dan menyentuh. "Bara Jiwa" kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala lirik video rasmi yang menampilkan babak-babak eksklusif dari filem "Blood Brothers: Bara Naga" sudah boleh ditonton di YouTube.