Kembalinya Dunia yang Terinfeksi, '28 Years Later' Siap Gegar Pawagam 20 Jun 2025

oleh: zizi hashim

Setelah hampir 3 dekad sejak virus "Rage" melanda dunia, pengarah pemenang Oscar, Danny Boyle, dan penulis Alex Garland kembali bersatu dalam karya terbaru mereka, '28 Years Later'. Filem ini dijadualkan tayang di pawagam pada 20 Jun 2025, menandakan babak baru dalam saga pasca-apokaliptik yang bermula dengan '28 Days Later' (2002) dan diteruskan dengan '28 Weeks Later' (2007).

Dalam dunia yang masih dikawal ketat oleh kuarantin, sekumpulan mangsa yang terselamat menetap di sebuah pulau kecil yang dihubungkan ke daratan utama melalui satu-satunya jalan yang dijaga rapi. Apabila salah seorang daripada mereka memutuskan untuk menjelajah ke daratan yang gelap dan berbahaya, dia menemui rahsia, keajaiban, dan kengerian yang telah mengubah bukan sahaja mereka yang terinfeksi, tetapi juga mangsa lain yang terselamat.

'28 Years Later' dibintangi oleh Jodie Comer, Aaron Taylor-Johnson, Jack O'Connell, Alfie Williams, dan Ralph Fiennes. Menariknya, Cillian Murphy, yang memegang watak utama dalam filem pertama, kembali sebagai penerbit eksekutif. Walaupun tidak muncul secara rasmi dalam senarai pelakon, trailer terbaru menimbulkan spekulasi tentang kemunculan semula wataknya, Jim, dalam bentuk yang mengejutkan. Lebih menarik lagi, '28 Years Later' difilemkan sepenuhnya menggunakan iPhone 15 Pro Max, memberikan sentuhan visual yang unik dan mendalam. Langkah ini mengingatkan kita kepada pendekatan digital dalam filem asal, menambahkan elemen realisme yang menakutkan kepada naratif.

Bukan sekadar sekuel; filem '28 Years Later' iniadalah permulaan kepada trilogi baru dalam francais ini. Filem kedua, bertajuk '28 Years Later: The Bone Temple' dijadualkan tayang pada 16 Januari 2026, dengan Nia DaCosta mengambil alih kerusi pengarah. Aaron Taylor-Johnson dijangka kembali memegang watak Jamie dalam kesinambungan cerita ini.

Sejak pelancaran trailer rasmi pada Disember 2024, '28 Years Later' telah mencetuskan kegembiraan di kalangan peminat genre seram. Dengan lebih 10 juta tontonan dalam masa 48 jam, trailer ini menjadi trending nombor satu di YouTube, menandakan minat yang tinggi terhadap kesinambungan kisah dunia yang dilanda virus ini. Dengan gabungan elemen visual yang menakjubkan, naratif yang mendalam, dan tenaga kreatif yang berpengalaman, '28 Years Later' dijangka menjadi salah satu filem yang paling dinanti-nantikan pada tahun 2025. Bagi peminat siri ini dan pencinta filem seram, bersiaplah untuk menyelami dunia yang penuh dengan ketegangan, misteri, dan kengerian yang belum pernah disaksikan sebelum ini.