Kehilangan Yang Belum Terjawab Dalam Filem 'Misteri Fraser 1910'

oleh: zizi hashim

Siapa sangka di sebalik keindahan panorama salah satu destinasi pelancongan paling popular di Malaysia, Bukit Fraser, tersembunyi kisah misteri yang sehingga kini masih menghantui sejarahnya. Louis James Fraser, peneroka asal Scotland yang menjadi tokoh penamaan bukit indah ini, menghilang secara misteri pada tahun 1910, meninggalkan tanda-tanya tanpa jawapan yang kini diangkat ke layar lebar dalam filem "Misteri Fraser 1910". 

Millionaire Film Production Sdn Bhd dengan berani menghadirkan kisah kelam ini melalui sentuhan sinematik yang membangkitkan emosi. Elani Aidid, penerbit filem ini, mendedahkan bahawa inspirasi untuk menceritakan misteri Fraser muncul secara tidak sengaja ketika meninjau lokasi untuk projek filem lain di Bukit Fraser pada 2019.

"Ketika kami berada di sana, kami terbaca tentang sejarah Mr. Fraser yang menghilang tiba-tiba setelah menemui deposit bijih timah yang kaya. Yang menariknya, beberapa jalur pendakian di situ malah dinamai mengikut nama orang-orang yang terlibat dalam pencarian Mr. Fraser, seperti 'Bishop Trail' dan 'Abu Suradi Trail'. Ini memicu keinginan kami untuk menyelidiki lebih dalam dan menciptakan teori fiksyen tentang hilangnya peneroka tersebut," ujar Elani dengan antusias. 

Filem "Misteri Fraser 1910" mengisahkan bagaimana Louis James Fraser tiba-tiba lenyap tanpa jejak, dengan keretanya ditemui di pinggir jalan berhampiran kawasan hutan belantara. Josiah Hogan yang memegang watak Mr. Fraser disokong oleh sejumlah pelakon berbakat seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, dan banyak lagi. Menurut Elani, daya tarikan dari kisah Mr. Fraser terletak pada popularitinya yang sudah terkenal hingga ke luar negara. "Banyak orang yang mencari cerita ini di internet, baik dalam mahu pun luar negeri. Namun perlu diingat, filem ini adalah 50% berdasarkan kisah nyata dan 50% fiksyen yang kami kembangkan dari hasil penelitian cerita penduduk setempat, ditambah elemen komersial untuk kegunaan pawagam," jelasnya.

Elani juga menekankan bahawa keunikan filem ini bukan hanya terletak pada elemen seram semata. "Kekuatan filem ini juga hadir dalam elemen sejarah. Penonton akan dibawa ke dunia klasik tahun 1910 dengan dialog bahasa baku lama, kostum klasik, serta prop yang sesuai dengan zaman tersebut." Filem sulung daripada Millionaire Film Production ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa dengan dicalonkan untuk kategori 'Best First-time Filmmaker' di Lift Off Global Network Sessions Vol. 4 yang diadakan di Pinewood Studio, United Kingdom. "Kami bersaing dengan 26 filem dari pelbagai negara dan mendapat undian tinggi daripada penonton antarabangsa. Kami berharap peminat filem di Malaysia juga akan menyukai karya ini," tambah Elani.

"Misteri Fraser 1910" mengajak penonton untuk menyelami kisah Louis James Fraser yang berasal dari Scotland. Beliau membuka Bukit Fraser pada tahun 1890 dan mengaut kekayaan dari perlombongan bijih timah, kemudian membangunkan kawasan itu menjadi pusat bandar dan perhimpunan sosial untuk golongan elit, terutamanya Tentera British. Mr. Fraser melantik Asan sebagai orang yang dipercayainya untuk menguruskan perniagaannya. Asan tinggal bersama isterinya, Wati, di kuarters pekerja. Tetapi pada tahun 1910, Encik Fraser hilang secara misteri, meninggalkan banglo dan perniagaannya. 

Dengan kehilangan Encik Fraser, Asan diberi tanggungjawab untuk menjaga perniagaan majikannya dan kemudian berpindah ke banglo Mr. Fraser bersama isterinya. Sejak berpindah, pelbagai peristiwa mistik mula mengganggunya membuatkan Wati sering membebel dan seakan-akan dirasuk. Bagi pencinta filem seram dan misteri, "Misteri Fraser 1910" akan tersedia di semua pawagam Malaysia mulai 26 Jun 2025. Pengalaman sinematik yang menjanjikan gabungan fakta sejarah, misteri dan seram yang akan membuatkan anda tertanya-tanya: apa sebenarnya yang berlaku kepada Louis James Fraser?