oleh: zizi hashim
Ada suara yang tak sekadar menyanyi. Ia berbisik kepada jiwa, mengetuk pintu hati, dan membangkitkan rasa. Begitulah getar yang dibawa Marygrace, gadis bersuara emas dari Sabah yang kini berdiri megah sebagai wajah baharu muzik Malaysia. Setelah menawan jutaan hati menerusi kemenangan di Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan melancarkan single sulung "Titik Mula", Marygrace kembali dengan satu pencapaian yang bukan kecil iaitu menjadi ikon rasmi Gawai & Kaamatan 2025 anjuran Pepsi dan TV Sarawak (TVS).
Melangkah ke medan budaya, Marygrace membawa bukan hanya namanya, tetapi semangat seluruh Borneo dalam sebuah lagu perayaan berjudul "Happy Gawai Kaamatan". Lagu ini bukan dicipta semata untuk dinyanyikan, ia dihidupkan. Digubah oleh Belle Sisoski, disemarakkan bersama Rezza Shah, trio ini mengalirkan nyawa ke dalam lagu yang memadukan irama moden dan jiwa tradisi. Seperti pesta yang membesar dalam jiwa, lagu ini menyatukan rentak dan budaya, mengangkat suara Dayak dan Kadazandusun ke pentas yang lebih luas dan berani.
“Ini lebih dari pengalaman rakaman biasa,” kata Marygrace, yang menjalani sesi rakaman di Maveriq Studio, Kuala Lumpur. “Saya tak hanya menyanyi… saya menyelami makna. Lagu ini ada jiwa. Ia memerlukan rasa, bukan sekadar teknik.” Baginya, proses ini adalah satu perjalanan, daripada mencapai harmoni tiga suara berbeza, hingga membina ikatan emosi melalui perkongsian kisah budaya masing-masing. Ada tawa, ada air mata kecil, dan ada rasa ‘pulang’ yang jarang hadir dalam studio rakaman biasa.
Pengalaman itu menjadi lebih bermakna apabila mereka terbang ke Kuching untuk merakam video muzik. Di Sarawak Cultural Village dan Nanga Damai Homestay, Marygrace ditemani pemandangan yang bukan sekadar indah tetapi penuh roh dan warisan. Setiap bingkai video menangkap bukan hanya wajah-wajah penyanyi, tapi juga denyut tanah yang mereka wakili.
Dan perjalanan Marygrace belum berhenti di situ. Menyambut Pesta Kaamatan di KDCA Sabah dengan kehadiran Pepsi sebagai penaja utama, Marygrace menjadi lambang semangat baru anak muda Sabah yang membawa suara komuniti ke pentas kebangsaan. Dalam semangat yang sama, beliau juga bakal menggegarkan pentas Here I Am Concert Malaysia bersama Rossa di Axiata Arena pada 14 Jun nanti, serta menyertai barisan bintang seperti Andmesh dan Hael Husaini di Festival Tentang Cinta di SICC, Kota Kinabalu pada 9 Ogos 2025.
Marygrace adalah titik mula yang sedang mekar. Lagu "Happy Gawai Kaamatan" adalah bukti bahawa muzik bukan hanya hiburan. Muzik boleh menjadi jambatan budaya, penyembuh luka, dan pengikat rasa. Ia mengingatkan kita bahawa perpaduan bukan slogan kosong. ia boleh didengar, dirasa, dan disambut bersama.
Hari ini, saat anda menekan ‘play’ di platform digital, izinkan melodi ini membawa anda ke tengah pesta, ke tengah sawah yang menguning, ke tengah pelukan budaya yang tak pernah pudar. Di situlah Marygrace berdiri, mewakili Sabah, mewakili suara muda, mewakili harapan.