Filem Seram 'Polong' Kisah Hantu Belaan Balas Dendam Kematian Tuannya

oleh: zizi hashim

Secebis kisah mistik dari negara jiran tidak lama lagi akan diubah menjadi hidangan seram yang menakutkan! Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) sedang sibuk membuat persiapan untuk filem pertama mereka berjudul "POLONG" yang bakal membuatkan bulu tengkuk penonton berdiri. Berangkat dari mitos horor yang dikenal luas di kawasan Nusantara, "POLONG" bukan sekadar cerita hantu biasa, tetapi ukuran spiritual yang membangkitkan ketakutan yang paling dalam.

Mengisahkan tentang sosok Maria Hadi, seorang wanita yang hidup bergelumang dengan ilmu hitam dan dosa-dosa silamya. Di penghujung hayat, dia berupaya mencari ampunan, namun keputusannya melepaskan polong belaan kepada orang yang salah melahirkan bencana. Makhluk ghaib ini kemudian menjadi pembawa dendam setelah kematian Maria, dan sumpah laknat yang ditinggalkannya harus ditanggung oleh para pewaris.

Zulkarnain Azhar, sang sutradara yang dipercaya menakhodai projek ini, tidak dapat menyembunyikan rasa antusiasnya. "Filem ini punya daya pikat tersendiri. 'POLONG' bukan hanya soal hantu dan jumpscare, tapi lebih dalam mengangkat tema dosa masa lalu, legasi turun-temurun, dan akibat yang tidak terhindar dari perbuatan tercela, terutama penggunaan ilmu hitam." ujarnya penuh semangat.

"Kami ingin 'POLONG' menjadi cermin bagi kegelapan yang kita bawa dalam diri kita sendiri, entah itu berupa dosa yang terpendam atau trauma yang belum selesai." tambah Zulkarnain yang sebelumnya telah melahirkan karya-karya hits seperti "Takluk", "Air Force", dan "J Revolusi". Seleksi nama-nama hebat akan menghiasi barisan pelakon filem ini. Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa dipercaya untuk melakonkan watak-watak dalam kisah menyeramkan ini. Proses penggambaran itu sendiri dijadualkan akan dimulai pada bulan Mei 2025.

"Kami pilih genre seram bukan tanpa alasan," tutur Onn Norshal Hamzah, produser eksekutif GSPSB. "Selepas memerhati trend pasaran dan mengadakan diskusi yang mendalam, kami percaya filem seram masih mempunyai daya tarikan luar biasa kepada penonton. 'POLONG' mempunyai potensi komersial yang tinggi dan dijangka mampu bersaing di arena filem tempatan dan antarabangsa." 

Menurut Onn Norshal, usahasama dengan 10 Star Cinemas Sdn Bhd sebagai distributor dan agen pemasaran merupakan langkah strategik untuk memperkuatkan posisi filem ini sebelum tayangan di pawagam. "Mereka mempunyai komuniti rangkaian pawagam dan pasukan pengedaran profesional yang sangat berpengalaman. Kami percaya mereka mampu menyampaikan 'POLONG' kepada target pasaran yang kami sasarkan." jelasnya.

Apa yang membuatkan filem ini semakin istimewa adalah sentuhan peribadi Zulkarnain Azhar yang tidak hanya bertindak sebagai sutradara, tapi juga sebagai penulis skrip dan penerbit bersama Peter Toyat. Dengan sokongan produksi dari Apuu Films Sdn Bhd serta Claire & Chloe sebagai penerbit bersekutu, "POLONG" dipersiapkan mengikut piawaian kualiti yang tinggi. Meski tarikh tayangan masih belum diumumkan, filem seram ghaib ini telah pun mencuri tumpuan peminat genre seram yang dahagakan hidangan segar dan cerita mistik khas nusantara.

Golden Star Pictures Sdn Bhd hadir sebagai rumah produksi utama yang menerbitkan filem ini, dengan sokongan Apuu Films Sdn Bhd yang mengendalikan proses produksi. Sementara itu, 10 Star Cinema Sdn Bhd diberi kepercayaan mengendalikan aspek pengedaran dan tayangan dalam rangkaian pawagam. Onn Norshal Hamzah mengambil peranan sebagai Penerbit Eksekutif mengetuai projek itu, dengan Claire & Chloe menyertai sebagai Penerbit Bersekutu. Zulkarnain Azhar banyak memakai topi dalam produksi ini, baik sebagai Pengarah, Penulis Skrin, dan juga Penerbit bersama Peter Toyat.

Filem ini bakal dihiasi dengan lakonan daripada beberapa bintang terkenal seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa yang bakal menghidupkan watak dalam kisah seram ini di layar lebar. Sebagai filem genre Seram, "POLONG" dijadualkan memulakan penggambaran pada Mei 2025, dengan tarikh tayangan akan diumumkan kemudian.

Justeru, bersiap sedialah untuk menahan nafas dan pegang erat tangan rakan anda apabila "POLONG" akhirnya menerjah skrin layar lebar tidak lama lagi. Sebabnya, ini bukan sekadar cerita seram biasa - ini adalah pelarian daripada dosa lama yang tidak pernah diampunkan, dendam roh yang melintasi ambang maut, dan sumpah laknat yang merebak kepada generasi seterusnya!