Bicara Cinta Fian Ali Tentang 'Setia' Dalam Dua Warna Berbeza

oleh: zizi hashim

Ada cinta yang bersuara lembut, menunggu dalam diam. Ada juga cinta yang datang dengan semangat, membakar luka jadi kekuatan. Dua rasa ini disulam indah dalam karya terbaharu penyanyi muda yang sedang mencipta jejaknya sendiri, Fian Ali menerusi lagu berjudul "Setia", hasil ciptaan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38, Amir Jahari, dengan lirik nukilan bersama Datuk Ayu Puteh. "Setia" bukan hadir begitu saja. Lagu ini ibarat cermin bagi hati yang pernah remuk, namun memilih untuk tetap percaya. Ia menjadi nadi cerita dalam drama bersiri popular TV3, 'Bukan Sekadar Lafaz 2' dan yang menariknya ia tidak berdiri dalam satu versi sahaja, tetapi hadir dengan dua rupa jiwa: versi perlahan yang sarat emosi dan versi rancak yang memberi nyawa baru pada makna kesetiaan.

Fian tidak menyanyikan lagu ini sekadar untuk berkongsi melodi. Baginya, "Setia" adalah cara untuk memahami luka dan bagaimana ia mengajarkan seseorang untuk tetap memilih kasih, meskipun dihimpit badai. “Sedih tak semestinya kena menangis, kan? Lagu ni lebih real, lebih jujur,” ujar Fian dalam satu pertemuan yang penuh ketulusan. Namun seperti cinta yang jujur, perjalanan mencipta "Setia" juga hadir dengan ujiannya sendiri. Sesi rakaman terpaksa ditangguh kerana tubuh tidak mengizinkan, namun semangat tidak padam. Kata Amir Jahari padanya: "Suara tak semestinya perfect. Kalau ada rasa, itu yang penting. Baru sedap dan sampai." Kata-kata itu jadi pembakar semangat untuk Fian, yang melihat pengalaman bekerjasama dengan Amir sebagai sesuatu yang tidak ternilai.

“Amir bukan saja sabar, tapi dia benar-benar dengar. Dia faham saya sebagai penyanyi yang masih mencari tapak. Banyak nasihat yang dia bagi, bukan hanya untuk lagu ni, tapi juga untuk cara saya faham muzik dengan lebih dalam,” ujar Fian, matanya bersinar sedikit bila menyebut nama Amir, seperti seorang pelajar yang benar-benar menghargai gurunya. Amir Jahari pula punya ceritanya sendiri tentang proses melahirkan "Setia". Inspirasi itu datang semasa dia berada jauh di Yogyakarta, sebuah kota yang penuh seni dan sejarah. 

“Saya nampak Fian sebagai seorang yang tenang, sopan dan ada satu disiplin dalam dirinya. Jadi saya rasa, lagu ni memang sesuai untuk dia. Malah, saya dah boleh bayangkan dua versi untuk lagu ni, sejak awal,” kongsinya dengan nada yakin. Dua versi itu bukan dibuat sekadar untuk kepelbagaian bunyi, ia membawa dua sisi emosi. Versi perlahan mengalun luka dengan kejujuran, mengajak pendengar untuk tenang dan merasa. Versi rancak pula seperti langkah yang tetap mahu terus berjalan walau hati masih membawa parut. Kedua-duanya adalah wajah sebenar cinta yang dewasa, cinta yang tidak lari walau diuji, cinta yang tetap memilih untuk setia.

Dalam dunia muzik yang sering berubah haluan, kehadiran "Setia" ibarat tiupan angin lembut yang mengingatkan kita bahawa perasaan itu masih ada tempatnya. Lagu ini bukan sahaja memperkuatkan kedudukan Fian sebagai suara baharu yang layak diperhitungkan, tetapi juga memberi ruang untuknya menyatakan sisi lain dirinya. Lebih matang, lebih dalam, lebih berani. Kini, "Setia" boleh didengarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music. Ia bukan sekadar lagu latar bagi drama yang mengundang air mata, tetapi juga satu karya yang boleh berdiri sendiri, menatap mata pendengar dan bertanya dengan jujur: kalau cinta itu diuji, masihkah kamu mahu setia?

Dua versi, dua jiwa. Tapi satu cerita, tentang cinta yang memilih untuk tinggal, walau hati sudah hampir pergi.