oleh: zizi hashim
Seorang pelakon, pelawak dan penyanyi. Tiga peranan yang selama ini dijunjung penuh rasa cinta oleh Joey Daud. Namun di balik wajah ceria dan jenakanya, tersimpan seorang seniman yang sentiasa mencari ruang untuk berkata sesuatu, tentang dunia, tentang masyarakat, tentang impian yang kian usang di mata ramai. Pada tarikh yang disemat makna, 20 Mei 2025, Joey kembali menghidupkan api dalam jalur seni muziknya, kali ini lewat karya yang cukup menggugah: sebuah single baharu bertajuk 'Wamwamsam'. Bunyinya mungkin mengundang senyum, bahkan tawa, tapi di balik judul penuh humor itu, terhampar makna yang jauh lebih dalam dari sekadar gurauan ringan.
'Wamwamsam' bukanlah sekadar lagu yang mahu buat kita terhibur. Ia seperti surat terbuka dari seorang anak kampung kepada bangsanya. Dalam balutan komedi pop rock eksperimental, Joey menghidangkan sindiran sosial yang menggelitik, lirik sinikal yang membakar dan rentak rancak yang menggoda telinga. Semuanya disulam kemas dengan tema besar: wawasan dan pendidikan sebagai kunci masa depan. Tak perlu menunggu lama untuk menyedari, lagu ini berdiri atas pengalaman hidup yang sebenar. "Saya tulis lagu ini dari apa yang saya nampak, apa yang saya lalui, apa yang saya percaya. Wawasan tu bukan benda lucu… ia hala tuju hidup," kata Joey dalam satu perbualan yang sarat emosi.
Lebih 3 dekad lalu, Joey Daud pernah menjadi artis rakaman pertama yang ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir di bawah label Luncai Emas. Kini, selepas perjalanan panjang yang penuh warna, beliau kembali ke rumah lamanya, dengan semangat yang segar dan suara yang masih lantang. Luncai Emas tidak ragu menyambut pelawaan Joey seolah-olah satu sirih yang pulang ke gagang, membawa cerita baru yang ingin diceritakan semula, tapi kali ini dengan lebih berani dan nakal. Joey tidak bersendirian dalam pengembaraan muzik ini. Ilham Nasir dan Hidayat Nasir, dua komposer muda berbakat besar, menyuntik nafas segar dalam susunan muzik yang lincah dan aneh dengan cara yang baik. Nada-nada pop bertemu dengan kerangka rock, dibumbui elemen eksperimental yang membuat lagu ini terasa seperti rollercoaster emosi, kau ketawa, tapi kemudian termenung.
Menambah warna dalam dunia 'Wamwamsam', muncul sosok dari timur, A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah, Isohbatos. Dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang lincah dan berani, A.D menyuntik semangat kebersamaan dari satu Malaysia. Saat dia membuka mulut, seolah-olah dinding geografi Semenanjung dan Borneo runtuh serta-merta. “Lagu ni bukan lagu satu kawasan saja, ini lagu untuk semua,” ujar Joey penuh yakin. Namun magis 'Wamwamsam' tidak terhenti di lagu semata. Video muzik rasminya dibayangkan seperti sebuah filem pendek bukan hanya sebagai hiburan visual, tetapi juga sebagai pembuka jalan kepada filem 'Daud M' yang sedang dibangunkan. Watak yang pernah membekas di hati penonton kini diangkat semula, dengan layar yang lebih luas dan naratif yang lebih mendalam.
Lebih menyentuh, karya ini diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada mendiang sutradara agung, Mamat Khalid. Di tangan Amen, kesinambungan seni ayahandanya bukan sekadar diteruskan, tetapi dihidupkan semula dengan cara yang segar dan setia pada semangat asal: menertawakan realiti, sambil menyelit hikmah yang menggigit. Video muzik tersebut mengisahkan tentang seorang pelajar kampung yang punya mimpi besar, tapi tersepit dalam sistem yang tidak peduli. Dalam suasana sekolah retro yang melatari visual, watak-watak guru eksentrik dan sindiran sosial menjadi cermin kepada banyak hal yang masih belum berubah. Kau ketawa, ya tapi di penghujungnya, ada perasaan sepi yang menyelinap masuk ke dalam dada.
'Wamwamsam' adalah seruan. Ia memanggil generasi muda untuk melihat semula tujuan hidup, untuk menghargai pendidikan bukan sebagai beban peperiksaan, tapi sebagai cahaya penentu arah. Dalam dunia yang terlalu cepat dan seringkali dangkal, Joey tampil sebagai seniman yang mahu berkata sesuatu dengan gaya yang lucu, tetapi niat yang sangat serius. Di saat ramai memilih jalan mudah dalam berkarya, Joey memilih lorong yang pelik, yang mencuit dan mencakar. Tapi mungkin itulah fungsi seni. Untuk buat kita berfikir, dalam diam yang gelak.