Dragon Hot Pot Lebar Sayap Ke Malaysia, Terima Pengiktirafan ASEAN Records Menjelang VM2026

oleh: zizi hashim

Membawa kisah jauh dari jalanan Melbourne hingga ke tengah kota Kuala Lumpur, pastinya ada sesuatu yang magis tentang aroma pedas yang menari di udara. Di Low Yat Park, Bukit Bintang, petang itu terasa hidup dengan cahaya neon, tawa manusia dan kepulan wap membawa wangi lada Sichuan yang tajam menggoda. Itulah suasana saat Dragon Hot Pot secara rasmi membuka tirai kehadirannya di Malaysia pada 18 Oktober 2025 baru-baru ini. Bukan sekadar restoran baharu, tetapi pertemuan dua budaya yang disatukan oleh satu bahasa universal, iaitu citarasa.

Terletak di ruang seluas 2,600 kaki persegi, Dragon Hot Pot hadir dengan konsep malatang, hidangan sup panas berempah dari Sichuan yang telah mencipta fenomena di Australia. Ia adalah pengalaman yang menyatukan kepedasan, kehangatan, dan kenangan, kini dibawa ke jantung Kuala Lumpur untuk menyapa deria rakyat Malaysia yang terkenal berjiwa berani terhadap citarasa. Dragon Hot Pot, sensasi ‘malatang’ yang pernah menggoncang Australia, kini rasmi berlabuh di Low Yat Park, Bukit Bintang, membawa pengalaman makan berkuah pedas yang harum, berasap, dan menggoda pancaindera dalam satu mangkuk yang sukar dilupakan.

Restoran pertama Dragon Hot Pot di Malaysia ini membentang keluasan 2,600 kaki persegi dan dirasmikan dengan penuh meriah oleh Samuel Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Tourism Malaysia. Beliau menyifatkan kehadiran jenama ini sebagai penambahan berharga dalam peta gastronomi Malaysia, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang kini giat digerakkan.

“Pembukaan Dragon Hot Pot ini tepat pada waktunya. Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sahaja meraikan pelancongan, tetapi juga keunikan rasa dan budaya kita,” ujar beliau. “Malah, dengan peruntukan RM700 juta bagi sektor pelancongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, termasuk RM500 juta untuk VM2026, kehadiran jenama ini memberi nafas baharu kepada industri makanan dan gaya hidup di ibu kota.”

Turut disentuh ialah inisiatif kerajaan memperkenalkan potongan cukai sehingga RM1,000 bagi aktiviti pelancongan tempatan. Ia bukan sahaja menggalakkan rakyat menjelajah tanah air, tetapi juga menghidupkan semula ekonomi komuniti setempat, termasuk pengusaha makanan seperti Dragon Hot Pot. “Selepas seharian menjelajah kota, hidangan seperti Dragon Hot Pot adalah penutup hari yang sempurna, menghangatkan tubuh dan menyatukan selera,” tambah Samuel.

Ketika majlis perasmian berlangsung, bunyi gendang tarian naga dan gemalai kipas tradisional Cina menyatu dengan sorakan tetamu. Aura klasik bertaut dengan sentuhan moden, diserikan persembahan STEADYGANG dan Diana Danielle yang membawakan nyanyian penuh energi, menghidupkan suasana dengan rentak muzik kontemporari. Kuala Lumpur bernafas dalam dua dunia,  tradisi dan inovasi, kehangatan dan kemodenan.

Namun detik paling membanggakan tiba apabila Dragon Hot Pot Malaysia mencatat sejarah baharu dengan pengiktirafan ASEAN Records sebagai “Jenama Hotpot Mala dari Australia dengan Pilihan Bahan dan Asas Sup Terbanyak di ASEAN.”  Bayangkan, 162 bahan segar pilihan menanti pelanggan di rak layan diri dan 10 jenis asas sup autentik yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa: daripada Signature Malatang, Sichuan Hot & Sour, Mala Spicy Stir-fry, hingga ke Collagen Broth, Pickled Mustard Soup, dan pilihan Vegan Soup. Setiap mangkuk menjadi ruang kreativiti, setiap hirupan menyimpan kisah rasa tersendiri.

Di sinilah daya tarikan sebenar Dragon Hot Pot: setiap pelanggan menjadi chef kepada mangkuknya sendiri. Dengan harga RM6.90 setiap 100g (minimum 300g), pelanggan bebas membina kombinasi sempurna, sama ada memilih hirisan daging lembu dan kambing yang lembut, udang segar, kepah, kerang pisau, atau bahan yang lebih eksotik dan berani seperti darah itik dan bebola ikan berintikan keju. Dan tentu saja, mi menjadi jiwa hidangan ini, dari mi bayam, mi lobak merah, suun halus hingga mi segera klasik yang sentiasa menjadi kegemaran ramai.

Asas supnya dimasak perlahan lebih 12 jam menggunakan ayam tua dan lebih 20 herba Cina tradisional, menghasilkan aroma dan kepedasan yang seimbang, cukup untuk memikat hati sesiapa yang mendambakan keseimbangan antara rasa dan kehangatan. Menariknya, semua hidangan disediakan secara mesra Muslim. Dragon Hot Pot Malaysia kini juga dalam proses mendapatkan pensijilan halal JAKIM, bukti komitmen mereka untuk memastikan setiap pelanggan dapat menikmati pengalaman autentik tanpa was-was.

Sementara menunggu kuah mendidih, pengunjung boleh menjengah kaunter snek yang menawarkan pilihan ringan seperti Stuffed Glutinous Rice Cake dan Fried Potato Strips berharga RM11.90, dua hidangan yang katanya sukar untuk dikongsi walau diniatkan begitu.Tambahan istimewa buat penggemar minuman DIY Drink Bar yang kini tular dalam kalangan pelanggan muda.

Dengan hanya RM6.50 untuk segelas tanpa had, pengunjung boleh mencipta minuman mereka sendiri, mencampur boba, grass jelly, sago, dan konjac, sebelum menambah Taro Milk Tea atau Hawthorn Drink sebagai pelengkap. Ia bukan sekadar minuman, tetapi ritual kecil yang menyeronokkan sebelum menyelam ke dalam kuah pedas yang mendidih.

Di sudut lain, sauce bar menjadi tarikan tersendiri: campuran minyak cili, kicap, sos bijan, dan tauhu jeruk disediakan untuk menghasilkan keseimbangan rasa yang sempurna, sesuai dengan selera tempatan yang gemar bereksperimen. Bagi Louis Kuo, Pengasas Dragon Hot Pot Malaysia, matlamat utama mereka adalah untuk menjadikan hot pot sebagai hidangan yang inklusif.

“Kami mahu orang ramai menikmati hot pot dengan cara yang mudah tanpa formaliti, tanpa menunggu lama. Cepat, fleksibel, tetapi tetap memuaskan,” katanya. “Ia sesuai untuk makan tengah hari ringkas, makan malam santai, atau sesi lepak selepas kerja. Kami ingin menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup di Kuala Lumpur.”

Restoran ini dikendalikan oleh Taste of Malaysia Hot Pot Sdn. Bhd., dan Malaysia kini menjadi pasaran keempat Dragon Hot Pot selepas Australia, Indonesia dan Vietnam, dengan Jepun dijangka menyusul tahun depan. Dalam masa dua tahun, mereka merancang membuka 5 hingga 6 cawangan baharu di seluruh Lembah Klang dan bandar utama, serta menawarkan peluang francais kepada usahawan tempatan.

Sebagai penghargaan, Dragon Hot Pot menawarkan promosi pembukaan istimewa selama 3 hari, 300 gram hidangan Malatang percuma, diikuti kempen ‘gores dan menang’ dari 21 hingga 31 Oktober 2025 dengan hadiah seperti iPad, AirPods, baucar makan, koleksi Labubu, dan makan percuma selama setahun.

Ketika saya melangkah keluar dari restoran petang itu, udara Kuala Lumpur masih menyimpan aroma pedas yang samar-samar. Ada sesuatu yang istimewa tentang bagaimana makanan mampu menyatukan manusia, melintasi sempadan, menyentuh emosi, dan mencipta kenangan baharu.

Mungkin itulah kekuatan sebenar Dragon Hot Pot: bukan hanya tentang rasa yang membara di lidah, tetapi tentang kehangatan yang tinggal lama di jiwa.