
oleh: zizi hashim
Aroma wangi rempah ratus perlahan-lahan memenuhi seluruh ruangan sebaik sahaja saya melangkah masuk ke Serambi Cafe & Restaurant, membuat saya terus faham satu perkara. Sesetengah tempat makan tidak hanya menjual makanan, tetapi turut menjual rasa tenang yang sukar ditemui setelah penat bergelut dengan hiruk-pikuk kota.
Tersembunyi nyaman di 127, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, Serambi TTDI bukan sejenis restoran yang try hard untuk tampak mewah. Sebaliknya, tempat ini hadir dengan pesona yang lebih halus. Ada kelembutan pada ruangnya, ada kehangatan pada suasananya, dan ada sesuatu yang membuat saya terus rasa mahu duduk lebih lama meski makanan belum sampai lagi ke meja.

Dekorasi restoran ini benar-benar cantik dengan sentuhan moden Malaysia yang terasa sangat dekat dengan identiti tempatan. Unsur rotan, tekstur kayu, pencahayaan lembut dan susunan ruang yang santai menjadikan keseluruhan suasana terasa elegan tanpa kehilangan rasa 'rumah'. Setiap penjuru pula terasa cukup estetik sehingga mudah untuk faham mengapa ramai suka bergambar di sini. Namun sejujurnya, kekuatan sebenar Serambi TTDI bukan pada dekorasi semata-mata. Ia bermula saat makanan pertama tiba di meja.
Saya mulakan dengan Cucur Udang Putih sebagai pembuka selera. Dan serius, ini antara cucur udang paling memuaskan yang pernah saya makan sejak kebelakangan ini. Rangupnya bukan jenis keras yang menyakitkan mulut, tetapi cukup garing pada bahagian luar dengan isi yang masih lembut di tengah. Udangnya pula terasa segar dan manis. Lagi sedap bila dicicah bersama sos yang melengkapkan keseluruhan rasa. Ada sesuatu tentang makanan bergoreng panas-panas yang memang terus buat hati jadi tenang.


Kemudian tibalah menu yang menjadi taruhan utama Serambi TTDI iaitu Ayam Percik Meal, menu bestseller mereka. Dan selepas suapan pertama, saya terus faham kenapa ramai datang semata-mata untuk hidangan ini. Kuah perciknya pekat, berlemak dan cukup seimbang antara rasa manis, pedas dan savoury. Ayamnya pula lembut sampai mudah tanggal dari tulang. Jenis lauk yang membuat orang diam sekejap sebab terlalu sibuk menikmati rasa.
Hidangan ini datang bersama nasi, acar timun dan pelengkap lain yang membuat keseluruhan pinggan terasa lengkap. Saya paling suka bahagian acar timun mereka. Bunyi macam kecil, tetapi elemen masam segar itu benar-benar membantu 'membersihkan' palate selepas menikmati kuah-kuah yang kaya rasa. Ia memberi keseimbangan yang sangat penting dalam masakan Melayu tradisional.
Satu lagi menu yang benar-benar membuat saya terdiam ialah Nasi Lemuni โ Thai Aromatic Chicken. Aroma daun lemuni itu sendiri sudah cukup menggoda sebelum makanan disentuh lagi. Harum rempah dan nasi yang lembut membuat hidangan ini terasa sangat nostalgik, seperti masakan ibu atau nenek yang dimasak perlahan-lahan sejak pagi. Ayam Thai aromatic pula memberi sentuhan moden yang menjadikan menu ini lebih menarik tanpa menghilangkan identiti tradisionalnya.


Menurut perkongsian Muhammad Fathi Ab Shukor selaku pemilik restoran ini, Nasi Lemuni sememangnya antara menu paling mendapat perhatian pelanggan dan saya rasa ia memang layak menerima pujian itu. Kemudian saya cuba pula Laksa Serambi. Kuahnya pekat, cukup rasa udang dan rempah tanpa terlalu hanyir atau keterlaluan masam. Jenis laksa yang terasa comforting, sesuai dimakan waktu hujan atau ketika badan penat selepas hari yang panjang.
Bahagian pasta mereka juga menarik kerana Serambi tidak takut bermain dengan gabungan rasa tempatan dan western. Cili Padi Garlic Pasta Smoked Duck misalnya memberi rasa pedas yang menyengat tetapi masih terkawal. Aroma bawang putih dan cili padi benar-benar menaikkan selera. Cuma tekstur smoked duck itu sedikit lembut, hampir seperti sosej, jadi bagi yang sukakan tekstur daging lebih hearty mungkin boleh pilih ayam atau daging.
Namun secara keseluruhan, rasa pasta ini tetap sedap dan unik. Steak & Creamy Fettuccine pula tampil lebih indulgent. Krim sos yang pekat dipadankan dengan steak yang dimasak baik membuat hidangan ini terasa seperti menu kafe premium tetapi dengan harga yang masih munasabah.


Bahagian Rasa Warisan mereka pula benar-benar membuat saya rasa seperti sedang menikmati kenduri kecil dalam suasana moden. Gulai Lemak Cili Api Ayam mempunyai rasa pedas dan smokey yang sangat sedap. Kuahnya pekat, kaya rempah dan terasa seperti dimasak lama untuk mendapatkan rasa yang benar-benar 'masuk'.
Terung Berlado, Acar Timun, Nasi Basmati dan Nasi Serambi melengkapkan keseluruhan pengalaman makan dengan cukup baik. Ada rasa kampung yang masih dijaga walaupun restoran ini bergerak dalam konsep moden dan urban. Paling saya suka tentang Serambi TTDI ialah bagaimana mereka berjaya mengimbangi rasa tradisional dan gaya persembahan moden tanpa membuat makanan terasa kehilangan jiwa asalnya.
Serambi TTDI juga menawarkan pelbagai pilihan lain termasuk menu western, hidangan premium seperti Braised Brisket dan Port Braised Lamb Shank, minuman premium serta servis katering untuk majlis keluarga dan korporat. Dari buffet hinggalah Bento Box, semuanya disediakan dengan fleksibel mengikut keperluan pelanggan.


Dan ya, pencuci mulut mereka memang wajib dicuba. Bingka Ubi mempunyai tekstur lembut dengan rasa ubi yang sangat nyaman. Tetapi bintang sebenar bahagian dessert bagi saya ialah Koci Pulut Hitam. Manisnya cukup sederhana, teksturnya kenyal lembut dan inti di dalamnya memberi rasa nostalgia yang susah dijelaskan. Sejenis kuih yang membuat kita tiba-tiba teringat rumah lama, dapur nenek atau petang-petang zaman kecil dulu.
Serambi TTDI akhirnya membuat saya sedar bahawa makanan paling baik bukan semata-mata tentang rasa sedap. Kadang-kadang ia tentang bagaimana sesuatu hidangan mampu membuat kita berhenti sekejap daripada sibuk dunia dan mengingatkan bahawa hidup masih mempunyai ruang kecil untuk rasa bahagia. Dan anehnya, saya pulang malam itu dengan perut kenyangโฆ tetapi hati terasa jauh lebih kenyang daripada sebelumnya.

UNTUK TEMPAHAN :
๐Lokasi: Serambi Cafe & Restaurant, TTDI KL 127, Jalan Aminuddin Baki, TTDI KL
๐ Selasa - Ahad | 12 tengahari - 10 malam
๐ฒ 011-10991606
๐ Facebook: https://www.facebook.com/serambikl/
๐ Instagram: https://www.instagram.com/serambi.ttdi/
๐ Tiktok: https://www.tiktok.com/@serambi.ttdi
๐ Menu Lengkap: https://serambicaferestaurantttdikl.restaurants-info.com/menu
Notakaki: Serambi Cafe & Restaurant TTDI juga menyediakan ruang untuk pelbagai acara seperti sambutan hari jadi, majlis korporat, gathering, seminar, pertunangan dan acara keluarga dalam suasana yang selesa, estetik dan santai. Selain dine-in, mereka turut menawarkan servis katering, buffet serta Bento Box mengikut bajet dan keperluan pelanggan. Sesuai untuk yang mahu buat event sambil menikmati hidangan sedap dalam ambiens moden Malaysia yang sangat cantik.
