Berbuka Bersama Hael Husaini: IRAMA Signature Satukan Rasa Warisan Dan Pesona Muzik Ramadan

oleh: zizi hashim

Suasana Ramadan menemukan satu irama yang berbeza apabila IRAMA Signature di IOI City Mall Putrajaya menghidupkan malam berbuka puasa yang tidak sekadar tentang santapan, tetapi juga tentang pertemuan rasa, muzik dan kenangan. Acara “Berbuka Bersama Hael Husaini” yang bakal berlangsung pada 16 Mac 2026 menjadi sebuah pengalaman istimewa apabila penyanyi terkenal tanah air itu berkongsi pentas dan meja makan bersama para tetamu yang bertuah.

Sebanyak 100 tetamu terpilih telah dijemput menyertai pengalaman eksklusif ini selepas menyertai cabutan bertuah yang dianjurkan oleh IRAMA Signature. Penyertaan dibuka kepada pelanggan yang berbelanja RM200 dan ke atas bermula 1 Februari hingga 15 Mac 2026, menjadikan malam tersebut sebagai penghargaan khas buat pelanggan setia restoran itu. Atmosfera malam tersebut pasti terasa lebih bermakna apabila para tetamu bukan sahaja menikmati hidangan berbuka puasa, tetapi juga berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung daripada Hael Husaini, menjadikan pengalaman makan malam itu seakan sebuah showcase kecil yang intim dan penuh emosi.

Hidangan yang akan disajikan pada malam tersebut merupakan pilihan terbaik daripada dapur IRAMA Signature. Antara menu yang menjadi tumpuan termasuk Ayam Percik, Pais Barramundi, Masak Lemak Udang, Sambal Belacan, Sambal Hijau Petai, Kerabu Mangga, Keropok Ikan serta Nasi Beringin, sebuah rangkaian rasa yang menggambarkan kekayaan citarasa Nusantara yang menjadi identiti restoran tersebut. Setiap hidangan seolah membawa cerita tersendiri, tentang tradisi dapur Melayu, tentang aroma rempah yang mengikat memori, dan tentang kegembiraan yang sering hadir ketika meja makan dikongsi bersama orang tersayang.

Pemilihan Hael Husaini sebagai wajah utama kempen Ramadan IRAMA Signature bukanlah sesuatu yang kebetulan. Penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu penuh emosi itu dianggap mampu mewakili semangat kebersamaan yang sering menjadi inti pati sambutan Aidilfitri. Muziknya yang sering mengiringi momen perayaan dan pertemuan keluarga menjadikan kolaborasi ini terasa begitu selari dengan konsep restoran tersebut. 

Menurut Ikhwan Siru, pemilik bersama IRAMA Signature, acara ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan yang telah menyokong restoran tersebut sejak pembukaannya di IOI City Mall pada Disember 2025. Beliau menjelaskan bahawa sokongan pelanggan membawa makna besar kepada perkembangan IRAMA Signature, justeru acara ini dirancang sebagai cara untuk memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada mereka. Kehadiran Hael Husaini untuk berbuka puasa bersama serta membuat persembahan secara langsung menjadikan malam tersebut lebih istimewa, di samping memperlihatkan usaha IRAMA Signature untuk terus memperkenalkan kolaborasi menarik kepada para pengunjung.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Arshad Kamarulzaman, pengasas Irama Dining Group (IDG). Beliau menyifatkan acara tersebut sebagai satu perayaan bukan sahaja kepada restoran IRAMA Signature, tetapi juga kepada visi lebih besar kumpulan itu dalam membawa citarasa ikonik Malaysia ke meja makan masyarakat.Menurutnya, melihat para tetamu menikmati hidangan daripada rangkaian restoran IRAMA di bawah satu bumbung memberikan kepuasan tersendiri, terutama apabila detik itu turut disertai momen kebersamaan bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang bulan Ramadan.

Selain acara berbuka puasa eksklusif tersebut, IRAMA Signature turut memperkenalkan pakej Rumah Terbuka Aidilfitri yang ditawarkan bermula pada hari ketiga Syawal. Pakej tersebut direka untuk memudahkan syarikat, keluarga dan organisasi yang ingin menganjurkan rumah terbuka tanpa perlu berdepan kesukaran seperti kekangan tempat letak kereta, penyediaan makanan atau kerja pembersihan selepas acara. Pakej yang ditawarkan bermula daripada RM69.90 hingga RM139.90 seorang, dengan kapasiti sehingga 150 tetamu, menjadikan IRAMA Signature sebuah destinasi yang sesuai untuk majlis perayaan yang meriah dalam suasana restoran yang elegan.

Menu bagi pakej tersebut turut menampilkan pelbagai hidangan klasik Hari Raya seperti Nasi Hujan Panas, Ayam Masak Merah, Daging Gulai Kerisik, Roti Jala bersama kuah kari, Satay Ayam dengan kuah kacang, serta pelbagai pencuci mulut tradisional seperti Seri Muka dan Sago Gula Melaka. Bagi pakej yang lebih premium, tetamu turut boleh menikmati hidangan seperti Lamb Flap Gulai Kerisik, Udang Sambal Hitam, Ketupat Palas, Rendang Kerang, serta stesen hidangan istimewa seperti Char Kuey Teow Udang, Cendol dan Ice Kacang. 

Sebagai restoran utama di bawah Irama Dining Group, IRAMA Signature membawa konsep yang berakar daripada irama warisan Malaysia. Restoran ini menghimpunkan pilihan hidangan daripada tujuh restoran IRAMA yang terkenal, menjadikan setiap hidangan sebagai refleksi tradisi, seni kulinari dan kebersamaan yang telah lama menjadi identiti masyarakat Malaysia.

Terletak di Lot GE-11, Symphony Walk, Ground Floor IOI City Mall Putrajaya, IRAMA Signature terus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi gastronomi yang menggabungkan rasa tradisi dengan sentuhan kontemporari. Melalui acara seperti “Berbuka Bersama Hael Husaini”, IRAMA Signature tidak sekadar menyajikan makanan, tetapi mencipta pengalaman yang menyatukan manusia melalui dua bahasa yang paling mudah difahami oleh semua iaitu rasa dan irama.