
oleh: zizi hashim
Terukirnya detik bersejarah buat khazanah muzik Malaysia pada tanggal 9 November 2025 apabila Ratu Jazz Nusantara, Dato' Sheila Majid, berdiri megah di hadapan lebih 9,000 peminat setia di Axiata Arena Bukit Jalil. Konsert berskala monumental diberi gelar 'Sheila Majid: 40 Years In Music' bukan sekadar persembahan lazim, tetapi satu malam sarat makna yang meraikan empat dekad perjalanan seni seorang maestro yang tidak pernah pudar sinarnya.
Konsert ini laris terjual jauh lebih awal, bukti nyata betapa besar kecintaan dan kekaguman rakyat Malaysia serta Nusantara terhadap figura agung ini. Seawal petang, deretan peminat sudah membanjiri pintu masuk arena. Saya sendiri tidak mahu ketinggalan jadi saksi sejarah yang terbentang dalam bentuk muzikal. Dari pintu masuk arena lagi, aura nostalgia sudah menghembus. Peminat setia berpusu-pusu hadir, demi melihat Sheila Majid menulis satu lagi bab penting dalam sejarah muzik Malaysia.


Sebaik sahaja lampu pentas malap, cahaya keemasan menyinari pentas utama. Di tengah-tengah suasana penuh gementar, muncul Dato' Sheila dalam busana merah menyala, langkahnya penuh yakin, senyumnya mengundang nostalgia. Tepat ketika lagu "Warna" melantun, sorakan kuat bergema memecah ruang Axiata Arena menandakan bermulanya perjalanan merentas masa yang membawa penonton kembali ke era 1980-an, zaman Dato' Sheila mula mengubah wajah muzik tempatan dengan gaya jazz yang anggun dan penuh jiwa.
Sepanjang hampir 3 jam persembahan, Dato' Sheila menghadiahkan 25 lagu ikonik yang tersusun rapi dan disampaikan dengan penghayatan luar biasa. Lagu-lagu seperti "Legenda," "Antara Anyer dan Jakarta," "Cinta Kita," dan "Dia" menggamit kenangan, menghidupkan kembali memori zaman kegemilangan muzik pop Melayu. Namun, kemuncak emosinya hadir apabila Dato' Sheila memilih untuk menutup malam dengan "Sinaran", lagu abadi yang menjadi anthem sejuta hati.


Meski pernah terkait dengan kontroversi royalti, "Sinaran" tetap kekal sebagai simbol cinta dan semangat dalam industri muzik. Sewaktu lagu itu berkumandang, seluruh arena berdiri, berdansa dan sing-along berjemaah. Dalam nada sebak, Dato' Sheila sempat berbisik, "Malam ini adalah pesta ulang tahun kita bersama. Anda semua adalah keluarga saya." Kata-kata itu disambut dengan tepukan dan sorakan yang menggoncang seluruh arena, momen yang membuktikan betapa kuatnya hubungan antara Dato' Sheila dan peminatnya.
Dari segi produksi, konsert ini boleh dianggap sebagai antara yang paling sempurna dan bertaraf dunia. Sistem bunyi yang dikawal oleh Mac Chew dan Jenny Chin, dua nama besar yang telah lama menjadi tulang belakang muzik Dato' Sheila sejak era album Emosi (1987), benar-benar memberikan pengalaman audio yang luar biasa. Setiap nada kedengaran jernih, seimbang dan penuh tenaga, sementara suara Sheila pula masih merdu dan matang, seolah-olah tiada masa berlalu sejak kali pertama beliau muncul di industri. Tidak ada satu pun elemen yang terasa terganggu, segalanya harmoni, teratur dan mengalir tenang.


Dari aspek visual pula, pereka pentas dan pencahayaan tersohor Steve Ho, yang pernah berkarya dengan Jacky Cheung dan Eason Chan, berjaya mengubah pentas menjadi karya seni yang hidup dan gemalai. Tambahan lagi, penganjur memberikan setiap penonton satu lighting stick (stik lampu) yang mempunyai teknologi formasi cahaya yang diprogramkan membuatkan konsert ini ada tahap tersendiri untuk visual peminat setia.
Letupan bunga api, permainan cahaya dinamik yang menari-nari gemalai, dan kelopak mawar yang gugur perlahan dari siling mencipta suasana yang mempesonakan, metafora kepada perjalanan seni Sheila yang penuh keindahan dan perjuangan. Gabungan bunyi, visual dan emosi ini menjadikan konsert tersebut bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi pengalaman sinematik yang menyentuh hati setiap penonton.
Di sebalik magis malam itu berdiri barisan profesional yang telah lama menjadi nadi kepada Sheila. Selain Mac Chew dan Jenny Chin, konsert ini turut menampilkan John Thomas (dram), Rozhan Razman (bes), Tohpati (gitar), Steve Thornton (perkusi), Kevin Choo (saksofon), Eddie Wen (trompet), Roger Chee (trombon) serta penyanyi latar berbakat seperti Uci, Ira dan Icha. Jennifer Thompson selaku pengarah konsert memainkan peranan besar dalam memastikan keseluruhan persembahan mengalir dengan sempurna, setiap segmen dirancang seperti babak dalam sebuah teater, menjadikan penonton tidak sedetik pun merasa bosan.


Lebih bermakna lagi apabila Kayda Aziz, anak sulung Sheila Majid, tampil di segmen ketiga membawa energi muda yang segar dan bertenaga. Langkah Kayda di atas pentas memancarkan gemalai yang diwarisi daripada ibunya, satu gabungan anggun tradisi dengan kepantasan kontemporari. Ia bukan sekadar persembahan duet ibu dan anak, tetapi simbol kepada legasi seni Sheila yang kini diteruskan generasi baharu dengan lenggok yang sama mempesonakan.
Sheila turut mengejutkan semua dengan mempersembahkan lagu "Catat", lagu yang tidak pernah dinyanyikan secara langsung sebelum ini. "Malam ini saya bawakan khas untuk anda semua," katanya dengan senyuman sebelum seluruh dewan berdiri memberikan tepukan panjang. 'Sheila Majid: 40 Years In Music' adalah perayaan terhadap evolusi dan ketahanan seorang legenda. Dari logistik, kawalan bunyi, pentas, hingga keselamatan, semuanya diurus dengan profesional. Altus Prohouse sekali lagi membuktikan kredibilitinya sebagai penganjur konsert bertaraf dunia yang mampu menyampaikan produksi berskala besar dengan hasil setanding pementasan antarabangsa. Tahniah!


Dan apabila lampu pentas mula malap dan nota terakhir "Sinaran" beralun lembut, ribuan penonton berdiri memberikan standing ovation yang berpanjangan. Sheila menunduk dengan mata yang bergenang. Dari wajahnya terpancar cinta, kelegaan, dan kebanggaan. Empat puluh tahun perjalanan, dari album Emosi hingga Boneka, dari kelab kecil ke arena megah, kisah Sheila Majid bukan sekadar kisah seorang penyanyi, tetapi kisah seorang wanita yang menjadikan seni sebagai takdir dan cinta sebagai bahan bakarnya.
Sebagai seseorang yang sudah menonton banyak konsert tempatan dan antarabangsa, saya berani declare dengan yakin, 'Sheila Majid: 40 Years In Music' adalah antara konsert pop jazz terbaik dan paling bermakna yang pernah saya saksikan. Segala-galanya sempurna: suara masih maintain padu, produksi menakjubkan, pasukan muzik mantap, dan sambutan penonton yang luar biasa. Kalau menurut saya, malam itu bukan hanya milik Sheila Majid, tetapi milik kita semua, mereka yang membesar dengan lagu-lagunya, senandungnya, dan semangatnya. Malam itu membuktikan satu perkara: apabila seni lahir dari hati, ia akan kekal abadi.