oleh: zizi hashim
Keheningan Petai Belalang KL yang kelam berasap pecah ketika aku muncul di atas berdiri tegak di atas pentas. Dalam balam-balam cahaya samar, di tanganku ada sabit yang ku sandang simbolik kepada 'Preacher' yang lahir dari kegelapan. Di hadapan, ratusan mata menyala menanti, dan di belakangku, barisan saudara sejiwa bersedia menghunus sonik yang bakal menggoncang malam. Intro bergema, membuka gerbang.
Bersahutan dengan "Preacher Of The Dark" yang berdentum memanggil roh-roh yang terperangkap di udara. Aku merasakan sabit di genggaman menjadi lidah doa, menebas senyap yang cuba mengekang.
Aku melangkah maju, memberi salam.
“Selamat datang ke Petai Belalang… terima kasih kerana menunggu sehingga lewat malam, untuk kami—band headline, penutup segala resah malam ini.”Dan dengan itu, pekikan pertama pun meletup—
1. Preacher of the Dark.
Suara itu, dentuman itu, seakan memanggil roh-roh yang terperangkap di udara. Aku merasakan sabit di genggaman menjadi lidah doa, menebas senyap yang cuba mengekang.“Lagu seterusnya… pembunuhan beramai-ramai…”
2. Morbid Massacre.
Tiba-tiba pentas jadi ruang doa. Aku meminta hadirin mengirim al-Fatihah untuk sahabat-sahabat yang sudah kembali ke sisi abadi—arwah Stone, Pink, Az, Wan Chempedak, Sham Fiduz, dan semua yang telah pergi. Malam itu juga, aku sampaikan berita: Man 16 kembali kritikal. Dalam sorak dan moshpit, aku mohon doa: semoga urusannya dipermudah, semoga sembuh.Seterusnya, lagu keramat. Lagu yang Stone tinggalkan untuk dunia. Lagu yang pernah menggegarkan AIM ke-19, satu-satunya death metal yang sampai ke pentas itu.
3. Mati Senyap.
Aku pekik nama mereka di sebelahku—Emwai si tukang sihir senar gitar, Mie FTG dengan dentuman bass yang mengaum, Awai di hujung gitar satunya lagi—“ingat, laki gua, jangan ngorat”—dan di belakang, legenda yang tak pernah padam, Ollie di drum.Api makin membara.
4. Armageddon.
Aku jelaskan, “Semua lagu Silent Death tentang mati… kecuali yang ini. Lagu tentang marah!” Dan memang marah itu menyalakan darah malam itu.Lalu kami kembali ke asal, ke akar, ke penghormatan.
5. Lipas Terbang.
Gelak, jerit, dan seakan kita kembali muda, di saat muzik hanyalah tentang jiwa yang liar.Namun malam ini tak lengkap tanpa mengangkat seorang lagenda.
6. Tribute To Ozzy (Prince of Darkness) – Paranoid.
Kami mainkan untuk menghantar doa rock terakhir kepada sang legenda yang baru saja pergi. Suara Ozzy masih bergema di telinga dunia, dan kami titipkan nyanyian ini sebagai tanda terima kasih.Dan akhirnya, aku ucapkan terima kasih. Kepada fans, kepada semua band, kepada penganjur. Malam itu bukan hanya persembahan, ia adalah ritual. Dan setiap ritual punya penutup—saat kematian.
7. Dying Moment.
Aku melangkah ke hujung lagu dengan dada bergelora, merasai sendiri nadi terakhir yang dilepaskan ke udara.Malam itu, Silent Death bukan sekadar sebuah band. Kami adalah doa, marah, kehilangan, dan peringatan bahawa hidup ini sendiri tak lebih daripada satu longgokan “dying moments”.