Bernafas dalam limpahan warna merah, denyut nadi yang bergetar, bukan sekadar dari pancaran lampu pentas, tetapi daripada ribuan jiwa yang berkumpul menyambut pesta yang telah menjelma sebagai gerakan budaya. AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink sekali lagi menjadi altar tempat muzik, seni, dan komuniti bertaut dalam satu lengkung rasa yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Dua belas jam tanpa henti, dari tengah hari hingga tengah malam, MAEPS menjadi ruang abstrak di mana nada menggantikan bahasa, dan manusia menjadi satu dalam getaran bass dan teriakan melodi.
Tema “Paint The Town Red” bukan hanya slogan; ia seperti mantra yang meresap dalam udara. Warna merah itu menandakan keberanian. Keberanian untuk berkarya, bersuara, dan mencipta naratif baharu buat generasi yang menolak untuk diam. Ia benar-benar diterjemahkan oleh warna-warna pakaian, lampu, dan semangat yang menyala di setiap wajah. Tahun ini, 33 artis dari Malaysia dan Indonesia melangkah di pentas sama, mencipta jambatan antara legenda dan yang baharu lahir dari kamar kreatif era digital.
Di antara dentuman drum dan laungan penonton, nama-nama besar seperti Dato’ M. Nasir, Ella, dan Dato’ Jamal Abdillah berdiri megah, seolah-olah mengingatkan bahawa akar budaya muzik tempatan masih kukuh mencengkam tanah. Suara mereka membawa nostalgia, namun auranya tetap segar, seperti wangi hujan pertama selepas musim kering.
Ella, sang Ratu Rock yang tidak pernah kehilangan daya magnetnya, tampil dengan pesona lantang yang menyambar malam. Dato’ Jamal Abdillah pula, dengan suara emasnya, mengikat masa lalu dan kini dalam satu serenade megah. “Kekasih Awal dan Akhir” masih kedengaran seperti doa yang tidak pernah usai. Dan Dato’ M. Nasir, bagaikan pendita muzik, menutup malam pertama dengan persembahan yang sarat jiwa, seolah mengajarkan bahawa muzik bukan hiburan semata, tetapi ritual penyatuan manusia dengan makna.
Namun pentas itu bukan milik legenda semata. Dari arah lain datang generasi muda yang terdiri dari Insomniacks, LOKO, TT.13, No Good, dan Lucidrari yang membawa semangat baharu, liar dan jujur. Mereka tidak bersembunyi di sebalik formula komersial; mereka menulis dengan darah dan menjerit dengan kejujuran. LOKO, yang bermula dari ruang kecil sekolah, kini berdiri di hadapan ribuan manusia. Anak muda yang membuktikan kejujuran boleh menjadi tiket ke pentas besar mendendangkan lagu “Pujaan Hati”. Bergema seluruh MAEPS turut bernyanyi bersama.
The Rudean, pemenang Hausboom Gig 2024, membuktikan bahawa kemenangan sebenar bukan di atas pentas, tetapi dalam keyakinan untuk terus berjuang dalam dunia yang sering melupakan suara kecil. TT.13 pula menyuntik elemen eksperimental yang liar dan menggoda, gabungan trap dan rock yang terasa seperti amukan jujur generasi Z terhadap dunia yang terlalu cepat berubah.
Di antara pentas utama dan kawasan Hausboom Lokal Fest, saya berjalan menyusuri deretan jenama tempatan. SVG, Uncommon, SugarBomb, FortyTwentySix semua ada di situ. Dari pembuat kraf hingga penggerak fesyen jalanan. Setiap reruai bercerita tentang keberanian mencipta dan mencintai hasil tangan sendiri. Setiap satu memiliki roh tersendiri, seperti potongan cerita kecil tentang kreativiti anak muda Malaysia yang sedang tumbuh subur tanpa minta izin sesiapa.
Menjelang petang, udara menjadi padat. Aroma kopi dari vendor tempatan bercampur aroma burger artisan dan nasi lemak fusion. Food truck dari pelbagai penjuru Malaysia, disusun atur bersama KL Foodie, menjadikan festival ini bukan hanya pesta bunyi, tetapi perayaan pancaindera. Setiap sudut punya cerita, setiap suapan punya nostalgia.
Ketika malam mula menurunkan tabir, pentas utama menyala seperti jantung kota. Kehadiran artis Indonesia seperti Kunto Aji, Feby Putri, Bernadya, Ghea Indrawari, Samsons dan Nadhif Basalamah menyempurnakan peta emosi festival ini. Setiap dari mereka membawa serpihan perasaan Nusantara dari lirisisme melankolik “Runtuh” milik Feby Putri, ke refleksi eksistensial “Terlalu Lama Sendiri” nyanyian Kunto Aji, hingga ke kesyahduan Bernadya yang perlahan-lahan menenangkan malam dengan suara lembut dan lirih.
Saat “Satu Bulan” dinyanyikan, seluruh penonton tiba-tiba diam dalam satu nafas panjang. Momen itu memecahkan batas negara, membuktikan bahawa muzik, seperti air, akan selalu menemukan jalannya untuk bersatu. Hausboom Festival bukan hanya pentas muzik; ia kota mini yang hidup dengan budaya pop dan kreativiti lokal.
Hari kedua festival lebih meriah, tapi juga lebih tenang dalam maknanya. Dari Slatan ke Spooky Wet Dreams, Lucidrari hingga Margasatwa, semuanya menandakan kemunculan gelombang baharu muzik Malaysia. Gerhana Skacinta membuat semua orang menari, sementara Ghea Indrawari dari Indonesia mencairkan hati dengan suaranya yang jujur. Ketika Bernadya naik ke pentas dengan Akhirnya, suasana berubah menjadi syahdu, seperti seluruh Serdang berhenti bernafas buat seketika.
Menjelang malam kedua, barisan Slam, Samsons, dan 6ixth Sense membawa suasana sendu yang indah, seperti hela nafas panjang selepas badai. Ella kembali menggegarkan pentas dengan “Standing in the Eyes of the World”, sebelum pentas diambil alih oleh Noh Salleh bersama Restoe Iboe Band. Persembahan yang terasa seperti penutup sebuah puisi. Angin Kencang dan Rahsia Tuhan bergema dalam harmoni saksofon dan gitar AG Coco, meninggalkan ruang kosong yang hangat di dada. Ketika lampu pentas perlahan-lahan padam, ribuan orang masih enggan beranjak. Saya juga begitu.
Noh Salleh melaksanakan tugas menutup tirai AirAsia Hausboom Festival 2025 dengan kelembutan dan elegan, sambil membisikkan pesan, bahawa seni adalah cara paling halus manusia untuk terus hidup dalam kenangan. Saya tidak pulang dengan tangan penuh cenderamata, tetapi dengan hati yang terasa dipenuhi sesuatu, mungkin keyakinan bahawa budaya kita sedang tumbuh dengan cara yang betul.
AirAsia Hausboom Festival 2025 bukan cuma persembahan, tetapi satu manifesto: bahawa muzik dan seni masih menjadi bahasa paling jujur untuk menyatukan bangsa. Mungkin di antara sorakan dan gema itu, saya menemui sesuatu yang hilang, rasa bahawa kita, meski berbeza nada dan rentak, tetap menyanyi dalam lagu yang sama. Irama yang menggoncang, ribut warna yang menari, aroma yang memikat dan dua hari yang menggembirakan, festival ini adalah cetusan kreativiti keberanian, dan semangat, menghubungkan semua dalam satu denyut merah yang tak akan terlupakan.