oleh: zizi hashim
Suasana malam Khamis tanggal 11 September 2025 itu bagaikan punya denyut nadi yang tersendiri. The Exchange Hall dipenuhi wajah-wajah yang menanti, ada yang duduk sambil menggenggam telefon, ada yang saling berpelukan dalam debar. Saya tiba dengan perasaan bercampur-aduk, ingin tahu, rindu pada lagu-lagu yang pernah menemani, dan sedikit terpesona melihat betapa ramainya yang hadir demi seorang anak muda dari seberang bernama Nadhif Basalamah. Apakah Nadhif mampu membawa magis itu ke pentas hidup?
Seawal langkah pertama di pentas, Nadhif sudah menunjukkan jiwa yang rendah hati. Dengan wajah tenang dan senyum penuh syukur, aura ruang berubah. Ucapannya tentang solidariti rakyat Malaysia yang membantu pekerja penghantar makanan Grab di negaranya beberapa minggu lalu benar-benar menyentuh hati saya. Sorakan penonton bukan sekadar penghargaan, ia bagai satu pelukan kolektif yang menegaskan bahawa muzik mampu menyatukan hati lintas sempadan. Satu momen yang menegaskan bahawa muzik bisa melampau sempadan, menjelma sebagai bahasa sejagat yang menyatukan peradaban manusia.
Bisikan mersik Intro menjadi pintu masuk ke dunia Nadhif. Tanpa berlengah lama, Afterschool Sad Session membuka aliran emosi yang deras. Lagu itu seperti catatan diari seorang remaja, getir dan lembut pada masa yang sama. Ketika Semoga Kau Bisa Maafkan bergema, saya terpaku pada bait-bait yang terasa dekat bagai mengingatkan pada semua kekhilafan yang pernah saya simpan dan cuba padam. Selepas sesi perkenalan penuh mesra, dewan bergegar dengan TTJL dan Bersimpuh. Paduan vokal dan harmoni band pengiring mengangkat khalayak ke ruang lain yang dipenuhi gema perasaan. Di saat itu saya terasa berada di dalam satu lautan rasa yang sama, semuanya saling terhubung oleh irama.
Segmen akustik terasa seperti jendela kecil yang dibuka pada waktu senja. Letting Go dimainkan dengan sederhana, hanya gitar dan suara yang tulus, membuatkan suasana menjadi lebih lembut dan intim. Spaces dan Something More melanjutkan perjalanan itu membawa kami menelusuri lorong-lorong sunyi dalam kepala sendiri. Saya sempat melihat beberapa penonton di sebelah saya menutup mata, membiarkan suara itu menyelinap masuk. Malam itu, Nadhif tidak sekadar menyanyi; dia menyerahkan sepotong jiwanya kepada setiap orang yang hadir.
Konsert kemudian mengalir ke dimensi lebih luas dengan Masih Ada Waktunya dan Isi Kepalaku. Ada letupan energi yang tidak sama, lebih berlapis-lapis dan padat. Energi meningkat, sorakan berbalas dengan vokal, menjadikan lagu-lagu itu bagaikan seruan kolektif. Namun, Jika Kau Lelah yang benar-benar menusuk. Baitnya terasa dekat, seakan ditulis untuk kita semua yang sering menyembunyikan penat lelah yang meski tidak sama tetapi hampir serupa, di sebalik senyuman. Saya sempat menoleh, banyak wajah yang diam, terperangkap dalam refleksi masing-masing. Kehadiran Aziz dan Aisyah sebagai tetamu untuk Kota Ini Tak Sama pula menambah nuansa unik. Lagu itu terasa seperti dialog terbuka, melukiskan realiti kota besar yang berubah dan merenggut kenangan lama.
Masuk ke set berikutnya, beralih kepada karya penuh introspeksi seperti himpunan puisi yang dijelmakan dengan muzik. Tulis/Terapi, Sesuatu, dan Penuh dilantunkan satu demi satu membentuk ruang terapi besar-besaran, di mana ribuan jiwa berkumpul untuk melepaskan beban. Saya lihat ada yang menulis di telefon, mungkin mencatat rasa yang bangkit. Wonder in Time dan Jatuh Cinta Lagi menyalakan kembali cahaya, memberi jeda harapan selepas hujan emosi yang panjang.
Dan ketika Penjaga Hati berkumandang, seluruh dewan menjadi lautan suara. Tidak ada lagi jarak antara pentas dan kerusi; semua yang hadir hanyalah satu kumpulan manusia yang berkongsi melodi yang sama. Lantas akhirnya yang ditunggu-tunggu, Bergema Untuk Selamanya menutup tirai dengan gegaran yang sukar digambarkan. Saya sendiri menjerit tanpa sedar, melantunkan lirik bersama ribuan khalayak, detik itu terasa bagai janji yang akan kekal lama, sekurang-kurangnya di dalam hati saya.
Lebih istimewa, malam itu menjadi lebih bermakna apabila Presiden Geng Galau, Fareeq Zakwan, dijemput naik ke pentas untuk berduet bersama Nadhif. Saya melihat wajahnya bersinar terharu, dan apabila dia mengucapkan bahawa pengalaman ini adalah momen yang tidak ternilai sepanjang penglibatannya dalam dunia konsert, seluruh dewan bergema dengan sorakan sokongan. Kata-katanya tentang menghargai kehadiran Geng Galau yang setia hadir menambahkan lagi aura kekeluargaan di dalam dewan. Sebaik tirai dilabuhkan, penonton kategori VVIP dan VIP mendapat peluang bergambar eksklusif bersama Nadhif, manakala ahli Geng Galau juga diraikan dengan kesempatan keemasan. Malam itu berakhir dengan wajah-wajah yang penuh senyum, membawa pulang memori yang tidak akan mudah luntur.
Nilai malam itu tidak hanya terletak pada susunan lagu atau lontaran vokal yang mantap. Ia hadir daripada jalinan emosi merangkumi ucapan penuh rendah hati, kolaborasi mengejut, air mata yang jatuh, sorakan yang bersambung-sambung, hingga peluang eksklusif yang membuat peminat terasa begitu dekat dengan idola mereka. Saya meninggalkan The Exchange Hall dengan hati yang sarat: penuh gema melodi, penuh rasa syukur, penuh keyakinan bahawa malam ini akan hidup lama. Konsert 'Menjaga Hati Tour 2025' bukan sekadar penanda kejayaan Nadhif Basalamah, tetapi sebuah ritual hati, tempat di mana muzik menjelma sebagai bahasa paling manusiawi, menyatukan rindu, luka, cinta, dan harapan.