Pertempuran Hitam Dan Putih, 'Black On White: Cromok x Barbarik' Bukti Legenda Tak Pernah Hilang Taring

oleh: zizi hashim

Bertahun-tahun mengikuti perjalanan muzik berat tanah air, saya semakin percaya bahawa ada satu bahasa yang tidak memerlukan penterjemah. Bahasa itu ialah bunyi petikan enam tali gitar yang berbicara terus kepada jiwa. Malam Black On White: Cromok x Barbarik di Idea Live Arena pada tanggal 27 Jun lalu memberi jawapan mengapa muzik thrash metal dan heavy rock tidak pernah menjadi tua. Genre ini mungkin tidak lagi menguasai carta komersial, namun auranya tetap hidup melalui kelompok peminat yang setia memelihara maruahnya.

Ruang Idea Live Arena malam itu dipenuhi wajah-wajah yang membesar bersama Image of Purity, Forever In Time, Peluru Cokelat, Gerhana dan pelbagai karya yang pernah menjadi runut bunyi zaman muda mereka. Tidak banyak bicara diperlukan. Tatkala lampu mula malap, sorakan yang bergema sudah cukup membuktikan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan hujung minggu. Ia adalah sebuah pertemuan keluarga besar muzik berat Malaysia.

Lebih mengesankan, tiada siapa menyangka di sebalik senyuman Muss sepanjang malam, beliau sebenarnya sedang memikul beban yang amat berat apabila isterinya kembali berada dalam keadaan kritikal. Perkara itu hanya dimaklumkan kepadanya selepas persembahan selesai supaya fokusnya tidak terganggu. Seusai konsert, Mus terus bergegas ke hospital. Mengetahui hakikat itu selepas semuanya berakhir membuatkan setiap jeritan vokalnya malam tersebut terasa jauh lebih mahal nilainya. 

Tanpa sebarang kompromi, "Black Fury" menjadi salam pembuka. Tidak perlu intro yang panjang. Karl terus menghunus riff pembukaan dengan alternate picking yang kemas, padat dan sangat terkawal. Setiap hentakan disokong ketat oleh seksyen ritma sehingga keseluruhan pembukaan terasa seperti ombak besar yang melanggar dinding batu. FOH malam itu harus diberi pujian. Karakter gitar kekal jelas walaupun frekuensi bass dan double kick drum memenuhi ruang arena. Tiada instrumen yang saling menenggelamkan. Segalanya berada pada posisi yang seimbang dan saling mendukung.

Momentum itu diteruskan menerusi "Prophecy". Di sinilah Cromok mula menunjukkan mengapa mereka masih dianggap antara kumpulan metal paling teknikal pernah dilahirkan negara ini. Permainan gitar Karl bukan sekadar laju. Dia bijak menyusun hammer-on, pull-off, legato run, vibrato dan wide bending sehingga setiap solo kedengaran seperti sebuah naratif, bukannya sekadar demonstrasi kelajuan jari. Setiap nota mempunyai ruang untuk bernafas. Setiap sustain mempunyai sebab untuk dipanjangkan. Masuk sahaja "Stranger", atmosfera Idea Live Arena berubah menjadi semakin liar. Ramai mulai headbanging berjemaah. Karl bijak mengawal dinamik petikan menggunakan kombinasi economy picking, chromatic run serta harmonic accent yang sangat bersih.

Kemudian hadir "Memories". Lagu ini sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hati peminat Cromok. Melodinya memberi sedikit ruang kepada emosi sebelum kembali dihempas oleh riff-riff yang berat. Pencahayaan pentas yang lebih lembut ketika lagu ini dimainkan menjadikan suasana lebih intim. Seolah-olah seluruh arena sedang menyusuri semula perjalanan hidup masing-masing bersama karya yang telah menemani mereka selama puluhan tahun.

"Another You" mengangkat semula adrenalin. Solo gitarnya benar-benar menjadi pesta teknikal. Daripada arpeggio sweep, alternate tremolo picking, hinggalah kepada pinch harmonic yang tajam, Karl membuktikan bahawa usia tidak pernah menghakis ketelitian permainannya. Apa yang lebih mengkagumkan ialah semua teknik itu tidak pernah kedengaran berlebihan. Segalanya hadir untuk menyokong lagu. Bukan untuk menunjuk siapa paling hebat.

Momen paling emosional sepanjang segmen Cromok tentunya hadir menerusi "Fallen Heroes". Lagu yang didedikasikan kepada Allahyarham Din dan Miji ini mengubah seluruh aura konsert. Karl sendiri mengakui lagu tersebut diwujudkan sebagai penghormatan kepada insan-insan yang menjadi sebahagian daripada asas pembentukan Cromok sejak awal penubuhannya. Tidak ramai band yang masih mengingati akar mereka dengan cara seindah ini. Bagi saya, "Fallen Heroes" adalah sebuah ucapan terima kasih kepada sejarah.

Malam diteruskan dengan "I Don't Belong Here" dan "Misery" yang kembali menaikkan tempo. Ketika ini saya benar-benar menikmati bagaimana bahagian ritma bekerja. Setiap hentakan bass dan drum terasa sangat rapat. Tiada ruang kosong. Tiada hentakan yang terlepas. Inilah yang membezakan sebuah band yang matang dengan sekadar kumpulan yang pandai memainkan lagu. Keserasian mereka dibina daripada pengalaman berpuluh tahun berada di atas pentas. Kemunculan "Seedling" memberi sedikit variasi sebelum Cromok menghadiahkan sesuatu yang sangat istimewa.

Ketika ramai band legenda memilih untuk hidup di atas nama nostalgia, Cromok memilih jalan yang lebih sukar. Mereka mempertaruhkan "Wisdom", material baharu yang pertama kali diperdengarkan kepada khalayak. Saya hormat keberanian itu. Karl sendiri mengakui mahu mendidik peminat bahawa Cromok masih produktif dan tidak sekadar bergantung kepada katalog lama. Malah penonton malam itu menjadi kelompok pertama yang mendengar lagu tersebut secara langsung. "Wisdom" kalau menurut saya kedengaran lebih moden tanpa mengorbankan DNA thrash metal Cromok. Riff-riff baharunya masih sarat dengan identiti lama, namun susunan melodinya memberi ruang kepada eksplorasi yang lebih segar. Ia bukti bahawa sebuah legenda masih mampu berkembang tanpa hilang jati diri.

Sebagai penutup segmen pertama, "Little One" menjadi noktah yang cukup indah. Sorakan bergema sekali lagi. Tatacahaya pentas dimalapkan. Saya menarik nafas panjang. Kalau Cromok sudah memberikan persembahan sehebat ini sebagai pembuka tirai, saya mula tertanya-tanya... Bagaimana pula Barbarik mahu meneruskan momentum?

Selesai Cromok meninggalkan pentas, sorakan penonton langsung tidak surut. Malah semakin kuat. Aura mula berubah. Jika Cromok membawa karakter thrash metal yang lebih teknikal dan agresif, Barbarik pula hadir dengan pendekatan yang lebih "garang jalanan", keras, kasar, tetapi sarat jiwa. Sebuah identiti yang selama ini menjadi nadi kepada perjalanan mereka. Jeritan pembukaan "Peluru Cokelat" terus meledakkan Idea Live Arena.

Seperti peluru yang dilepaskan tepat ke sasaran, riff pembukaan lagu ini menghambur deras dengan kombinasi palm-muting, syncopated riff, alternate picking dan power chord yang benar-benar padat. Groove rhythm guitar menjadi tulang belakang keseluruhan lagu, manakala seksyen dram pula mengikat setiap hentakan dengan cukup kemas.

Saya suka bagaimana sistem bunyi malam itu berjaya mengekalkan karakter distortion gitar tanpa menjadi terlalu "muddy". Setiap petikan masih jelas kedengaran meski keseluruhan frekuensi rendah memenuhi ruang arena. Muss pula muncul dengan energi yang sukar dipercayai. Kalau saya tidak mengetahui apa yang sedang dilaluinya ketika itu, saya mungkin menyangka beliau sekadar menikmati malam tersebut seperti biasa. Hakikatnya, beliau sedang bertarung dengan kegelisahan yang hanya diketahui selepas konsert berakhir.

Lanjut lagi dengan "Kasmaran Selamanya. Di sinilah sisi melodik Barbarik mula menyerlah. Walaupun masih diselimuti riff-riff berat, lagu ini memberi ruang kepada permainan slide, vibrato, bending dan beberapa frasa gitar yang lebih emosional. Sorakan penonton semakin kuat. Ramai mula menyanyikan setiap bait lirik berjemaah.

Barbarik tidak memberikan ruang untuk tenaga penonton menurun. "Mencari Asal Usul" tampil lebih progresif dengan susunan riff yang lebih kompleks. Beberapa bahagian gitar Jo Branko memperlihatkan penggunaan legato, hammer-on dan pull-off yang diselitkan secara halus di celah riff utama. Masuk sahaja "Nasib Baik", seluruh arena kian kuat bergema. Barbarik benar-benar pakar mengawal momentum persembahan. Tiada satu pun lagu yang terasa seperti "pengisi masa". Semuanya mempunyai fungsi tersendiri dalam membina naratif konsert.

Kalau tanya saya mana bahagian paling ganas sepanjang set Barbarik, bagi saya jawapannya bermula daripada "Periok Api". Riff-riff berat bertali arus memenuhi ruang Idea Live Arena. Permainan gitar konsisten menghasilkan karakter bunyi yang benar-benar menggigit. Tidak lama kemudian hadir "Inspirasi Syakilla", sebuah lagu yang sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat Barbarik. Sorakan bertukar menjadi sing-along beramai-ramai.

"Sakit Bantal Empuk" mengalunkan groove yang sangat seronok untuk dimainkan. Bahagian gitar ritma terasa begitu padat. Momentum diteruskan lagi menerusi "Keris Tak Bersarung" dimana saya benar-benar menikmati interaksi antara kedua-dua pemain gitar yang saling melengkapi. Tiada siapa cuba menenggelamkan yang lain. Masing-masing memahami ruang sendiri. Itulah kematangan sebenar sebuah band.

Segmen yang paling mengejutkan saya malam itu ialah Special Medley Kembara. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan perubahan emosi yang begitu besar boleh berlaku hanya melalui 4 buah lagu. "Hati Emas" membuka ruang nostalgia. Kemudian "Impian Seorang Nelayan" mengambil alih. Lebih teruja melihat Sam yang selama ini sinonim dengan vokal Inggeris Cromok, tampil menyampaikan lagu-lagu Melayu tersebut dengan cukup bersahaja. Menurut beliau sendiri, pemilihan lagu-lagu Melayu popular itu dibuat kerana mahu semua orang turut sama menikmati persembahan, malah beliau menganggap ia mungkin hanya istimewa untuk konsert tersebut.

Kalau menurut saya, itulah antara momen paling mahal malam itu. Kita jarang melihat Sam menyanyikan lagu Melayu secara langsung.Dan apabila beliau melakukannya, seluruh arena menyambutnya dengan penuh kasih. "Ekspress Rakyat" dan "Impian Anak Jalanan" pula mengangkat semula adrenalin penonton. Seluruh Idea Live Arena bertukar menjadi sebuah koir gergasi. Malam itu benar-benar menghapuskan sempadan antara pemuzik dan penonton.

Barbarik kembali kepada identiti asal menerusi "Gerhana". Riff pembukaan yang berat disusuli solo gitar yang sarat dengan bending, vibrato, legato run dan beberapa frasa pentatonic shred benar-benar mengangkat adrenalin menuju kemuncak. Akhirnya "Golok Kayu" dipilih sebagai lagu penutup. Tiada pilihan yang lebih tepat. Sorakan menjadi semakin liar. Lampu pentas bergerak mengikut rentak muzik. Seluruh arena enggan menerima hakikat bahawa malam itu sedang menuju penghujung. Tatkala nota terakhir berhenti bergema, saya masih berdiri memandang pentas yang semakin gelap. Barulah saya mengetahui kisah sebenar tentang Muss.

Muss tidak terus meraikan kejayaan konsert. Dia terus bergegas ke hospital mendapatkan isterinya yang kembali kritikal. Fakta itu menjadikan seluruh persembahan Barbarik malam itu terasa jauh lebih menyentuh daripada apa yang saya rasakan ketika sedang menikmatinya. Malam itu saya belajar satu perkara. Profesionalisme seorang pemuzik tidak diukur melalui kesempurnaan nota yang dimainkan. Ia diukur melalui keberanian mereka tetap berdiri menghiburkan orang lain, meski hati sendiri sedang bergelut dengan kesedihan yang tidak terlihat.

Black On White akhirnya meninggalkan saya dengan satu rasa yang sukar dijelaskan. Cromok membuktikan bahawa thrash metal Malaysia masih berdiri megah melalui disiplin, ketelitian dan keberanian terus berkarya dengan mempertaruhkan material baharu yang menjadi bukti mereka masih produktif. Barbarik pula mengingatkan bahawa rock sentiasa mempunyai ruang untuk emosi, kemanusiaan dan keikhlasan. Mungkin itulah sebabnya konsert ini terasa begitu istimewa. Hitam dan putih memang kelihatan bertentangan. Namun apabila kedua-duanya bertemu di atas satu pentas, yang lahir bukan sekadar sebuah konsert. Sebaliknya sebuah karya yang mengingatkan saya mengapa muzik keras tidak pernah sekadar tentang bunyi. Ia sentiasa tentang jiwa.

Foto Kredit: Danny Kaleda & HarizBadari

Comments
* The email will not be published on the website.