oleh: zizi hashim
Udara dingin, kabus yang menyelimuti sana sini, dan keriuhan orang ramai yang bercuti pada Hari Buruh menjadikan laluan ke Arena of Stars seperti menuju ke satu ritual istimewa. Tapi bukan kasino atau pusat beli-belah yang saya tuju. Malam itu, Genting adalah tempat di mana bunyi dan kenangan bertemu. TOTO menjejakkan kaki, dan saya di situ untuk mendengar dan melihat dengan mata kepala saya sendiri sebuah band legenda bermain muzik secara live, tanpa perlu terlalu banyak pencitraan.
Kalau tanya saya, TOTO bukan band nostalgia biasa biasa. Mereka bukan datang sekadar menjual lagu lama, mereka datang sebagai seniman muzik sebenar. Daripada line-up yang dibawa kali ini, jelas mereka tahu keseimbangan antara pengalaman dan idea-idea segar. Steve Lukather dan Joseph Williams memimpin pentas, 2 figura yang bukan sekadar ikon, tapi juga tukang cerita yang masih punya banyak hal mahu dikongsi untuk fanatika setia. 'Toto: Dogz of Oz Tour 2025' membuktikan, dalam dingin malam, muzik ternyata mampu memanaskan jiwa.
"Child’s Anthem” jadi pembuka tirai tepat jam 6:30 petang. Lagu instrumental yang bukan sekadar pemanas pentas, tetapi pengenalan watak untuk setiap line-up. Dari kacamata seorang pemuzik, pemilihan lagu ini ada sebab tersendiri. Lagu itu kompleks dalam struktur, penuh dinamika, dan memerlukan setiap pemain ‘masuk karektor’ (in-character) sejak bar pertama. Lukather terus mempamerkan sebab-sebab kenapa dia dianggap antara gitaris paling berpengaruh di dunia. Tone-nya bulat, sustain-nya cukup terkawal, dan phrasing-nya sentiasa bercerita. Tiada nota berlebihan. Semuanya ada tempat, ada tujuan.
Masuk saja “Rosanna”, satu transformasi berlaku. Seperti dijangka, audiens berdiri, menyanyi dan berdansa bersama. Groove mula mengambil alih. Di sinilah kita boleh hargai cara John Pierce dan Shannon Forrest mengikat segalanya. Groove shuffle "Rosanna" bukan mudah untuk dilakukan secara konsisten. Groove half-time shuffle dalam lagu ini adalah satu ujian stamina dan kehalusan. Dan Shannon? Dia ketuk dram dengan feel Jeff Porcaro tapi tidak meniru. Dia beri nyawa dengan gaya yang tersendiri. Dia membuktikan dia bukan sekadar pemain dram gantian, dia adalah penjaga legasi mendiang Jeff Porcaro yang agung.
Lukather masih bermain seperti seorang komposer, bukan sekadar shredding untuk mennyerlah. Phrasing-nya sentiasa cermat, tone gitarnya seperti wain yang disimpan bertahun, semakin matang, semakin mahal, semakin sedap.
Greg Phillinganes dan Dennis Atlas tampil sebagai keyboard tandem yang saling melengkapi. Greg, dengan pengalaman yang luas dari era Quincy Jones hingga Eric Clapton, menjadi paksi kestabilan. Manakala Dennis Atlas adalah wajah baru yang membawa rasa kuriositi dan ingin tahu. Pemain kibod muda berusia 27 tahun itu menyuntik tenaga baru yang tak canggung sekaligus sukses mencuri perhatian dengan solo ala Baroque selepas “I Won’t Hold You Back”. Mainannya bersih, punya tekstur, dan dia tahu bila mahu berbicara dan bila mahu diam. Satu bakat yang bukan hanya ‘boleh main’, tapi tahu mendengar.
Jujurnya, saya kagum dengan artikulasinya. Dia main dengan jari, tapi juga dengan pendengaran yang peka. Ornamentasi dia bersih, dan transisinya tak berlebihan. Dia bukan sekadar anak muda berbakat — dia faham dinamika band.
Di posisi bass, John Pierce mengekalkan kekukuhan tanpa perlu menunjuk-nunjuk. Meski jauh di sudut hati saya sedikit kecewa kerana mengharapkan kemunculan Nathan East di atas pentas. Sayangnya tidak kelihatan. Pierce menggalas tanggungjawab sebagai tulang belakang groove. Dan dalam banyak lagu seperti “Hold the Line” dan “Don’t Chain My Heart”, dia menjadi penghubung yang tidak kelihatan antara drum dan gitar. Bassline-nya bersih, tegas, dan boleh ‘lock’ teknik dram Forrest dengan sempurna. Ini adalah jenis pemain yang tak ramai perasan, tapi kalau dia tiada, segalanya hancur.
Shannon Forrest pula memberi satu persembahan dram yang sangat refined. Dia tidak cuba menjadi Porcaro, malah dia bangga menjadi dirinya sendiri. Ketukan-nya tidak terlalu agresif, tetapi berat. Stamina dan konsistensi dia sepanjang durasi hampir 2 jam persembahan adalah bukti kenapa dia sering jadi pilihan nama-nama besar di Nashville dan pop mainstream. Lagi satu, ghost note dia dalam “Africa” sangat subtil tetapi memberi tekstur pada lagu. Kita boleh tahu ini kerja orang lama.
Tidak memaksakan vokal, Joseph Williams tahu kapasiti vokalnya, dan itu bukan kelemahan, sebaliknya itu adalah kematangan. Dia memilih nada yang tepat, membawa emosi, dan membiarkan harmoni vokal Greg dan Dennis mengisi ruang yang perlu. Dalam lagu seperti “I’ll Be Over You” dan “Stop Loving You”, kita tidak hanya mendengar vokal, kita mendengar pengalaman.
Yang menarik malam itu, penonton datang dengan penuh hormat. Rata-rata tahu lirik, tahu sejarah, tahu bila mahu duduk diam dan bila mahu berdiri menyanyi. Interaksi antara penonton dan band terasa natural. Arena of Stars memberi ruang akustik yang sangat baik, dan sistem bunyinya diatur rapi. Tiada yang terlalu kuat, tiada yang hilang.
Penataan bunyi malam itu layak diberi pujian. Jelas, dinamik, dan tidak menenggelamkan mana-mana instrumen. Tiada muddy bass, tiada vokal tenggelam, semuanya seimbang. Tata cahaya pula sederhana, tapi efektif. Fokusnya jelas: muzik, bukan perhiasan. Penonton? Paling sporting. Dari generasi 60-an hingga 90-an, semuanya hadir dengan niat yang sama: untuk apresiasi muzik. Ini adalah malam untuk mereka yang menghargai muzik, bukan populariti.
“Hold the Line” memberi gelombang tenaga terakhir sebelum penutup. Tapi semua tahu, saat yang ditunggu-tunggu adalah “Africa”. Lagu yang mungkin sudah terlalu banyak diputarkan di radio dan filem, namun malam itu, ia hadir dengan makna yang berbeza. Saat intro “Africa” dimainkan, saya rasa bulu roma meremang. Joseph mengajak audiens menyanyi bersama. Bukan sebagai penonton, tetapi sebagai teman seperjalanan. Suara-suara berjemaah itu berkumandang di dalam ruang akustik Arena of Stars, memecah dingin malam Genting. Lagu ini bukan lagi milik TOTO. Ia telah menjadi milik semua orang yang membesar dengannya. Saya pandang kiri kanan, atas bawah, saya nampak lagu ini adalah pelukan akhir dari satu band yang mengerti makna berkongsi.
Dalam dingin Genting, TOTO menyalakan bara dalam dada setiap yang hadir. Muzik mereka adalah kehangatan yang tidak dibuat-buat. Ia datang dari latihan, dedikasi, dan cinta terhadap seni. Melihat mereka live di hadapan mata adalah pengalaman mahal paling berharga menyaksikan bagaimana struktur lagu dibina, bagaimana pemain saling mendengar, dan bagaimana rasa lebih penting dari sekadar teknikaliti.
Tidak datang untuk tunjuk siapa paling kuat, siapa paling laju, TOTO datang untuk menunjukkan apa itu muzik dalam erti sebenar, memahami ruang, emosi, dan tujuan. Mereka tidak cuba untuk “kembali muda”. Mereka main seperti orang yang sudah dewasa, dengan kemahiran yang dibina selama hampir 50 tahun. Konsert ini bukan tentang nostalgia. Ia tentang bagaimana muzik boleh menjadi jambatan antara masa lalu dan sekarang dan TOTO membuktikan, selagi kita jujur dalam bermain, muzik itu tak akan lapuk.
Salah satu wishlist saya sudah boleh 'tick'. Hadir untuk TOTO di Genting adalah pertemuan semula dengan diri sendiri yang 'pernah muda' dan kini jiwa 'masih muda', dan masih mencintai muzik dengan sepenuh hati. Terima kasih TOTO dan penganjur konsert UnUsUal Entertainment untuk pengalaman mata dan telinga yang begitu indah, tersimpan kukuh dalam hati selamanya. Bak kata Zakk, "rasa macam naik haji!" Sama seperti yang lain, saya senyum puas. Pulang dapat tidur yang cukup lena.
Foto oleh: UnUsUal Entertainment