
oleh: zizi hashim
Bukan selalu saya dihadiahkan sebuah malam yang membuatkan saya kembali menjadi kanak-kanak. Tidak, usia tidak berundur ke belakang, tetapi hati tiba-tiba teringat bagaimana rasanya pertama kali jatuh cinta kepada sebuah cerita. Begitulah yang saya rasakan sebaik sahaja lampu dewan Plenary mulai dimalapkan dan logo Disney muncul di layar gergasi. Saat itu, seluruh ruang seakan-akan berhenti bernafas seketika. Ribuan pasang mata tertumpu ke hadapan, menunggu sebuah karya yang telah merentasi generasi untuk hidup semula dalam bentuk yang jauh lebih megah dan menggetarkan.
Disney's The Lion King Live in Concert bukan sekadar sebuah tayangan filem yang diiringi muzik secara langsung. Ia terasa seperti sebuah upacara meraikan memori. Sebuah perjalanan pulang ke zaman ketika nama Simba, Mufasa, Timon dan Pumbaa menjadi sebahagian daripada dunia yang paling sederhana tetapi paling membahagiakan. Sejurus alunan pembukaan "Circle of Life" bergema, bulu roma saya meremang! Ada sesuatu yang sukar diterjemahkan apabila karya yang selama ini hanya didengari melalui televisyen atau headphone tiba-tiba bernafas di hadapan mata. Setiap not yang lahir daripada petikan alat muzik terasa lebih hidup, lebih besar dan lebih menyentuh daripada apa yang pernah saya bayangkan.



Dipimpin oleh Konduktor Residen Malaysian Philharmonic Orchestra, Eric Lee, bersama 72 pemuzik National Symphony Orchestra Malaysia, setiap komposisi yang pernah menjadikan The Lion King sebuah karya abadi diterjemahkan dengan begitu cemerlang. Tidak kira sama ada karya agung Hans Zimmer, sentuhan magis Elton John, lirik Tim Rice mahupun elemen muzik Afrika yang dibawakan oleh Lebo M, semuanya bersatu dalam sebuah pengalaman yang terasa hampir sempurna.
Yang paling mengkagumkan adalah bagaimana muzik itu sendiri menjadi watak utama. Kita sering bercakap tentang Simba, Mufasa atau Scar. Namun malam itu saya benar-benar sedar bahawa separuh daripada kekuatan The Lion King sebenarnya lahir daripada muziknya. Ketika Mufasa muncul di layar, bunyi orkestra menghadirkan aura seorang raja yang gagah dan dihormati. Ketika Simba kehilangan ayahnya, alunan muzik menjadi bahasa kesedihan yang tidak memerlukan dialog panjang. Ketika perjalanan menuju kedewasaan bermula, irama yang berkumandang seolah-olah turut mengajak penonton mengimbas perjalanan hidup masing-masing.



Barangkali itulah keajaiban sebenar muzik. Ia tidak pernah bertanya umur, bangsa atau bahasa seseorang. Ia terus langsung menuju terus ke hati. Visual yang dipaparkan pada layar gergasi masih kekal mempesonakan meski filem animasi ini sudah berusia lebih tiga dekad. Malah apabila digandingkan dengan persembahan muzik secara langsung, setiap babak terasa seperti memperoleh nyawa yang baharu. Savannah Afrika yang terbentang luas kelihatan lebih megah. Pride Rock terasa lebih berwibawa. Matahari yang terbit pada babak pembukaan seolah-olah benar-benar menyinari ruang dewan.
Saya melihat ramai penonton tersenyum sendirian sepanjang persembahan berlangsung. Ada yang menyanyikan lirik perlahan-lahan. Ada yang sekadar membiarkan air mata mengalir ketika babak-babak tertentu dimainkan. Dan saya faham mengapa. Kerana The Lion King tidak pernah hanya berkisar tentang seekor singa bernama Simba. Ia adalah kisah tentang kehilangan. Tentang keberanian. Tentang memaafkan diri sendiri. Tentang mencari jalan pulang selepas tersesat dalam kehidupan. Semakin meningkat usia, semakin saya memahami bahawa perjalanan Simba sebenarnya sangat dekat dengan perjalanan manusia.



Kita semua pernah kehilangan sesuatu. Kita semua pernah lari daripada tanggungjawab. Kita semua pernah takut untuk berhadapan dengan masa lalu. Dan kita semua akhirnya perlu kembali kepada diri sendiri. Mungkin sebab itulah karya ini masih relevan sehingga hari ini. Malam itu juga membuktikan bahawa bakat pemuzik Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan produksi antarabangsa. Ketelitian setiap petikan violin, kekuatan brass section, kelembutan woodwinds dan keutuhan keseluruhan ensembel menjadikan persembahan ini terasa bertaraf dunia.
Bukan mudah untuk menyelaraskan sebuah filem ikonik dengan puluhan pemuzik secara langsung. Namun mereka melakukannya dengan penuh disiplin dan ketelitian. Hasilnya adalah sebuah pengalaman sinematik yang jauh lebih besar daripada sekadar menonton filem. Ketika kredit penutup mula bergerak dan alunan terakhir bergema memenuhi ruang dewan, saya masih duduk memandang layar beberapa ketika. Bukan kerana enggan pulang. Tetapi kerana saya belum bersedia meninggalkan dunia yang baru sahaja membawa saya mengembara ke zaman yang begitu indah.



Disney's The Lion King Live in Concert mengingatkan saya bahawa sesetengah karya tidak pernah menjadi tua. Ia terus hidup. Terus bernafas. Terus menemukan generasi baharu untuk dicintai. Dan pada malam itu, di tengah-tengah lautan manusia yang sama-sama membesar bersama Simba, saya menyedari bahawa lingkaran kehidupan itu sebenarnya tidak pernah terputus. Ia sentiasa kembali. Sama seperti kenangan. Sama seperti muzik. Sama seperti cinta kita terhadap sebuah karya bernama The Lion King. Terima kasih Disney untuk kenangan terindah ini!
